ASPIRASI NEGARA DAN FALSAFAH PENDIDIKAN

1.01 Misi Nasional yang diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri pada 31 Mac 2006 semasa pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RM9) di Parlimen merupakan fasa kedua usaha kerajaan ke arah mencapai Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Misi ini menggariskan lima teras, iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama; menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif; meningkatkan tahap dan kelestarian kualiti hidup; dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaannya. Misi Nasional ini akan meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan ekonomi negara yang lebih berdaya saing dan
berdaya tahan.

1.02 Selaras dengan teras kedua Misi Nasional, negara perlu melahirkan modal insan yang memiliki minda kelas pertama untuk menghadapi cabaran pembangunan ekonomi yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan inovasi. Modal insan yang dibangunkan perlu mempunyai keupayaan pengetahuan, kemahiran dan ciri-ciri peribadi yang unggul.
Bersesuaian dengan matlamat pembangunan modal insan yang dihasratkan, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara digubal dengan visi untuk mentransformasikan pengajian tinggi dalam konteks menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa. Transformasi ini merupakan peletakan asas ke arah kegemilangan dan kelestarian pengajian tinggi melangkaui tahun 2020.

1.03 Transformasi yang diperlukan menuntut perubahan yang drastik untuk merevolusikan pengajian tinggi supaya dapat meletakkan asas yang kukuh untuk pembangunan dan perkembangan sektor ini dalam jangka masa panjang.
Perubahan untuk merevolusikan pengajian tinggi adalah selaras dengan idea yang diilhamkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dalam Forum Dialog Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 13 Januari 2004 seperti berikut:

“… Saya percaya bahawa untuk memastikan aspirasi kita untuk menerapkan budaya pencapaian yang baru tidak terbantut oleh ketidakmampuan, kita membangunkan modal insan yang sepadan dengan tanggungjawab dan cabaran masa mendatang, apa yang kita perlukan adalah tidak kurang daripada suatu ‘revolusi pendidikan’…”

Ucapan Y.A.B. Perdana Menteri dalam Forum Dialog Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada 13 Januari 2004

1.04 Transformasi ini juga merupakan kesinambungan falsafah pendidikan seperti yang dinyatakan dalam Akta Pendidikan 1996 untuk melahirkan modal insan yang seimbang, harmoni, berpengetahuan dan berakhlak mulia. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berikut menjadi asas kepada Falsafah Pengajian Tinggi di Malaysia:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta mampu memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam Akta Pendidikan 1996

1.05 Sejajar dengan falsafah ini, ‘Laporan Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia’ yang telah disiapkan pada Julai 2005 menegaskan keperluan transformasi pengajian tinggi untuk mencapai keseimbangan pembangunan individu dan keperluan industri serta
cabaran masa hadapan. Petikan laporan mengenai perkara ini adalah seperti yang berikut:

“Wujud dua pemikiran yang saling bertentangan dan sekali gus mempengaruhi penggubal-penggubal dasar mengenai matlamat pendidikan. Pemikiran pertama ialah pendidikan untuk memenuhi objektif utilitarian, manakala pemikiran kedua ialah pendidikan untuk pembangunan manusia dan perkembangan ilmu. Polemik antara dua aliran pemikiran tersebut menjadi semakin ketara dengan wujudnya fenomena pengangguran di kalangan siswazah di negara ini.
…Fenomena ini telah dimanfaatkan oleh aliran utilitarian untuk memperteguhkan pandangan mereka bahawa matlamat pendidikan tinggi ialah menyediakan teknokrat, birokrat, saintis, ahli ekonomi dan ahli profesional yang berkepakaran tinggi, yang sangat diperlukan oleh pasaran pekerjaan, yang berkeupayaan untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan pembangunan perindustrian dan perdagangan negara.
…Namun, aliran kemanusiaan tetap berpendirian bahawa pendidikan tiada hubungkaitnya dengan membekalkan sesuatu kemahiran khusus dalam sesuatu bidang pekerjaan, atau menyediakan pekerja industri atau melayani tuntutan-tuntutan ekonomi. Matlamat pendidikan mengikut aliran kemanusiaan ialah menghasilkan manusia yang seimbang perkembangan fizikal, intelektual, sosial, emosi dan kerohaniannya, manusia yang berterusan meneroka perkembangan ilmu, manusia yang sarat dengan nilai-nilai murni, dan manusia yang mendukung perpaduan dan integrasi nasional.
…Jawatankuasa berpendapat bahawa kedua-kedua aliran pemikiran adalah relevan dan penting, dan dengan itu perlu disepadukan dalam gerakan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi Negara.”
…Laporan Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Tentang Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia, 2005

1.06 Matlamat pengajian tinggi ialah untuk menghasilkan graduan yang berpengetahuan dan kompeten dalam bidang pengajian serta berkemampuan untuk menggunakan pengetahuan kepada amalan. Di samping itu, graduan perlu berinovatif, mempunyai kebolehan kognitif yang tinggi (berfikiran analitikal dan kritikal, berupaya menyelesaikan
masalah dan penaakulan), menguasai pelbagai bahasa dan keupayaan berkomunikasi dengan berkesan serta celik teknologi, menghayati nilai-nilai murni sebagai asas kehidupan, dan mampu untuk memberikan sumbang bakti kepada masyarakat, negara dan dunia.

1.07 Selaras dengan itu, IPT mempunyai peranan penting sebagai gedung ilmu dan pembangunan manusia bagi menghasilkan ilmuwan, cendekiawan, kesarjanaan, pekerja mahir dan separa mahir untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara. Dalam era k-ekonomi, peranan IPT perlu berubah ke arah menyediakan graduan yang berketerampilan melalui pembangunan kurikulum yang relevan, ahli akademik yang berwibawa dan persekitaran akademik yang kondusif untuk pembelajaran berfokuskan pelajar. Di samping itu, IPT terutama IPTS mempunyai peranan yang signifikan dalam usaha pengantarabangsaan dan menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama pelajar antarabangsa.

PELAN STRATEGIK PENGAJIAN TINGGI NEGARA

1.08 Cabaran yang dihadapi oleh IPT adalah untuk meningkatkan kualiti institusi secara keseluruhan untuk mengekalkan keyakinan rakyat pada tahap yang lebih tinggi terhadap keunggulan sistem pengajian tinggi negara dan membina reputasi institusi. Dalam hal ini,
aspek tadbir urus, sumber pembiayaan, pengajaran dan pembelajaran yang merangkumi terutamanya kurikulum, kokurikulum dan pedagogi perlu dimantapkan supaya IPT lebih berdaya saing dan berdaya tahan dalam menangani cabaran globalisasi dan perubahan teknologi yang dinamik. Pelan Strategik ini dirangka untuk memenuhi keperluan
transformasi pengajian tinggi dalam melahirkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama dan menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa.

SENARIO GLOBAL PENGAJIAN TINGGI

1.09 Globalisasi telah menuntut landskap serta ekosistem institusi pengajian tinggi berubah secara revolusi bagi menentukan modal insan turut berubah daripada ekonomi berasaskan pengeluaran kepada ekonomi berasaskan pengetahuan. Perspektif sejarah ketamadunan dunia menunjukkan bahawa tidak pernah wujud suatu rangka tindakan yang kekal bagi pembangunan sesebuah institusi pengajian tinggi. Ia sentiasa berubah mengikut peredaran zaman sesuai dengan pemikiran dan tuntutan semasa.

1.10 Cabaran dalam pengajian tinggi menuntut perubahan secara dinamik ekoran daripada fenomena globalisasi telah menukar corak permintaan dan kerelevanan institusi pengajian tinggi. Antara tuntutan kepada cabaran tersebut ialah:

• Peranan universiti dan ahli akademik;
• Perkembangan kurikulum mengikut keperluan pasaran;
• Penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan dalam sistem inovasi kebangsaan;
• Kaedah pengajaran dan pembelajaran;
• Perluasan akses dan mobiliti pengetahuan;
• Globalisasi dan piawaian melalui pemeringkatan dan penarafan; dan
• Peluang guna tenaga.

1.11 Senario kesejagatan ini telah menukar corak dan kaedah pencarian harta kekayaan negara. Kuasa ekonomi global yang baru adalah berteraskan kreativiti, keaslian dan imaginasi para ilmuwan dan teknopreneur. Pengoptimuman inovasi dan idea, kreativiti, keterampilan dan penerokaan ilmu oleh rakyat merupakan faktor terpenting dalam kejayaan dan kesejahteraan sesebuah negara.

1.12 Jadual 1.1 menunjukkan imperatif yang diperlukan untuk meningkatkan daya saing global melalui hubung kait modal insan dalam rantaian sistem inovasi kebangsaan. Salah satu faktor terpenting ialah peningkatan peratusan tenaga pekerja kepada 33 peratus1 yang mempunyai kelayakan pendidikan tertiari menjelang tahun 2020. Selain peratusan tenaga pekerja, imperatif ini juga menekankan aspek kualiti iaitu pembinaan keupayaan melalui penghasilan modal insan mahir dan berpengetahuan. Sistem inovasi yang mantap merangkumi pengintegrasian sains, teknologi dan kejuruteraan, keberkesanan penyelidikan dan peningkatan keusahawanan yang lebih berinovatif dalam penghasilan modal insan yang dihasratkan oleh negara.

Jadual 1.1
Imperatif Meningkatkan Daya Saing Global

Sistem Inovasi:
• Pengintegrasian sains, teknologi dan kejuruteraan ke dalam proses pembuatan dan pengeluaran untuk menghasilkan produk bertambah nilai dan teknologi intensif.
• Penambahbaikan keberkesanan penyelidikan universiti.
• Peningkatan penglibatan dalam rantaian nilai system inovasi kebangsaan dan global.
• Peningkatan keusahawanan yang lebih inovatif dan berdaya saing

Modal Insan:
• Peningkatan peratusan tenaga kerja berpendidikan tertiari kepada 33 peratus menjelang tahun 2020.
• Pembinaan keupayaan melalui penghasilan modal insan mahir dan berpengetahuan yang:

– dapat menggunakan ilmu secara kreatif dan berimaginasi untuk mereka bentuk dan menghasilkan inovasi dan ciptaan bernilai tinggi.
– memiliki kemahiran yang mudah dilentur dan mudah diubahsuai serta mampu meningkatkan pengetahuan dan menambah baik kemahiran melalui pembelajaran sepanjang hayat untuk menjamin kerelevanan

HALA TUJU PENGAJIAN TINGGI

1.13 Perancangan strategik yang rapi oleh institusi pengajian tinggi negara penting sebagai panduan hala tuju untuk menjana, menerapkan dan mengeksploitasi ilmu pengetahuan bagi pertumbuhan ekonomi. Hala tuju pengajian tinggi merangkumi aspek tadbir urus universiti, R&D, kualiti pengajaran dan pembelajaran serta pembangunan modal insan selaras dengan Misi Nasional. Kecemerlangan IPT bergantung secara kritikal pada kepimpinan yang berkesan selain daripada budaya kerja yang cemerlang di setiap peringkat bagi mencapai visi, misi, objektif strategik dan hala tuju organisasi tersebut.

1.14 IPT mempunyai peranan yang kritikal bagi menyediakan landasan ke arah meningkatkan daya saing negara di peringkat global melalui penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti, berkesan, relevan dan mempunyai komitmen yang tinggi kepada pembelajaran sepanjang hayat. Tenaga kerja masa hadapan dan IPT perlu bersedia menghadapi cabaran globalisasi, persaingan yang sengit dan perubahan teknologi terkini. Berhadapan dengan cabaran tersebut dan berpandukan aspirasi negara serta kekuatan dasar yang sedia ada, KPT menggubal pelan strategik dengan meneliti peranan dan fungsi IPT bagi memartabatkan sistem pengajian tinggi negara.

1.15 IPT negara akan terus dibangunkan melalui dua pendekatan iaitu pendidikan dan latihan yang berjalan secara bersepadu. Pertama, IPT akan terus memperkukuh pembelajaran yang berteraskan pengetahuan, menjalankan penyelidikan yang memberi impak kepada dunia akademia-industri menerusi konsep elitis serta memberikan
perkhidmatan kepada masyarakat yang berterusan. Kedua, membuka laluan pengajian tinggi yang bersifat terbuka dan sepanjang hayat melalui institusi pengajian seperti universiti terbuka, politeknik, dan kolej komuniti. Melalui sistem pengajian tinggi yang bersepadu ini, IPT menyediakan peluang dan ruang yang lebih luas kepada mobiliti
pelajar untuk mendapat pendidikan dan latihan. Di samping itu, IPT dapat memenuhi keperluan pasaran kerja dan meningkatkan inovasi

TRANSFORMASI PENGAJIAN TINGGI

1.16 Pendidikan tertiari meliputi domain pelbagai kementerian dalam latihan dan pengajian vokasional, pendidikan pasca menengah dan pengajian tinggi. Walau bagaimanapun, skop Pelan Strategik Pengajian Tinggi ini hanya merangkumi bidang kuasa di bawah KPT berkaitan dengan peranan dan fungsi IPTA, IPTS, politeknik, kolej komuniti dan agensi berkaitan di bawahnya. Semua institusi ini merupakan komponen utama ekosistem pendidikan dan latihan negara yang akan melahirkan para pemikir, ilmuwan, sarjana, tenaga kerja mahir dan separa mahir sesuai dengan peranan masing-masing. Program kursus yang ditawarkan oleh semua institusi berkenaan melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran atau latihan dalam kursus pengajian yang berakhir dengan penganugerahan kelayakan selepas tamat mengikuti dengan jayanya kursus tersebut.

1.17 Menerusi ekosistem pengajian tinggi yang lebih fleksibel dan interaktif hasil gabungan modal insan keluaran universiti, kolej universiti, politeknik dan kolej komuniti akan lebih responsif dan berupaya menterjemahkan objektif mutakhir negara melalui penggemblengan kekuatan cendekiawan negara yang merangkumi terutamanya:

• modal insan minda kelas pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif, inovatif dan berkemahiran teknikal serta pengurusan bagi menangani persekitaran global yang berubah-ubah untuk meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara serta sejagat;
• ilmu, idea, kreativiti dan inovasi yang dijana daripada penyelidikan, penyerapan dan adaptasi ilmu sedia ada dari seluruh dunia yang mampu menjadi landasan kemajuan negara dan masyarakat sejagat; dan
• penggemblengan kekuatan kepelbagaian yang mengukuhkan perpaduan, jati diri kebangsaan, keadilan sosial, kesejahteraan negara dan masyarakat sejagat.

1.18 Perancangan transformasi pengajian tinggi ini mengambil kira cabaran semasa dan masa hadapan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang, sama ada di peringkat negara, serantau atau sejagat. Justeru, pengajian tinggi perlu terus memperkukuh pembangunan negara dan bangsa yang mampu untuk membangunkan masyarakat demokratik, adil, progresif, menghormati kepelbagaian, berintegriti, harmoni dan mempunyai jati diri dalam menghadapi cabaran tersebut.

1.19 Untuk mencapai matlamat menghasilkan modal insan yang mempunyai minda kelas pertama dalam konteks menjadikan Malaysia hab kecemerlangan pengajian tinggi antarabangsa, maka langkah-langkah transformasi yang sesuai akan dilaksanakan. Langkah-langkah ini merangkumi usaha untuk menjamin pendemokrasian pengajian
tinggi; mempermudah mobiliti pelajar dan menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; membina massa kritikal penyelidik, dan meneruskan usaha melahirkan cendekiawan untuk Nobel Laureate; mewujudkan satu atau dua buah universiti apex yang berautonomi; mempergiatkan pengantarabangsaan pengajian tinggi; masifikasi
pembelajaran sepanjang hayat; mempergiat massa kritikal penyelidik dan tenaga pengajar; dan memperkasakan sistem penyampaian KPT.

1.20 Struktur laporan ini mengandungi beberapa bab. Bab berikutnya mengenai kerangka Pelan Strategik Pengajian Tinggi yang mengenal pasti asas dan teras kepada pembentukan serta pelaksanaan pelan strategik ini. Bab-bab seterusnya masing-masing membincangkan teras yang berkaitan dengan:

• Meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti;
• Menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran;
• Memperteguh penyelidikan dan inovasi;
• Memperkasakan institusi pengajian tinggi;
• Mempergiatkan pengantarabangsaan;
• Membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan
• Mengukuhkan sistem penyampaian KPT.

1.21 Setiap bab disusun mengikut format yang mengandungi pendahuluan, status semasa, cabaran, objektif, strategi, pelan tindakan, faktor kritikal kejayaan dan penutup.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,172 other followers

%d bloggers like this: