BERSYUKURLAH ATAS APA YANG KITA ADA

Posted in SASIAH on 22 November 2013 by zanas

 

 

Kisah Si Sopak, Si Botak dan Si Buta

PADA suatu masa dahulu, terdapat tiga bersaudara daripada keturunan Bani Israel. Mereka hidup dalam kemiskinan dan sentiasa dihina. Salah seorang daripada tiga bersaudara itu digelar Si Sopak.
Dia digelar begitu kerana kulitnya dijangkiti penyakit sopak. Saudaranya yang kedua, botak kepalanya. Maka digelarnya Si Botak. Yang ketiga digelar Si Buta, kerana matanya buta.
Pada suatu hari, Si Sopak berkata: “Alangkah bahagianya aku jika kulitku sehalus sutera dan aku pula menjadi kaya.”
Allah mendengar kata-kata itu dan mengutuskan malaikat pergi ke rumah Si Sopak dalam bentuk manusia. Malaikat itu bertanya kepada Si Sopak: “Apakah yang engkau inginkan?”
“Kulit yang halus dan sihat daripada penyakit ini. Aku juga inginkan unta agar aku boleh menternaknya nanti,” kata Si Sopak.
Malaikat pun menyapu sekujur tubuh Si Sopak. Kulit Si Sopak pun berubah menjadi halus. Selepas itu, malaikat pun menyerahkan seekor unta yang sedang bunting kepada Si Sopak.
Malaikat seterusnya pergi ke rumah Si Botak pula. Si Botak sedang menyesali nasib dirinya yang malang. Kepalanya yang botak kelihatan berkilat.
“Apakah yang engkau inginkan, wahai Botak,” tanya malaikat.
“Saya ingin sembuh daripada penyakit botak ini. Biarlah rambut yang halus dan lebat tumbuh. Aku juga inginkan lembu untuk dipelihara,” kata Si Botak malu-malu.
Malaikat pun mengusap lembut kepala Si Botak. Dengan izin Allah, tumbuhlah rambut yang lebat. Wajahnya pula menjadi kacak. Malaikat pun menyerahkan seekor lembu betina bunting kepada Si Botak. Si Botak pun memeliharanya sehingga beranak pinak.
Kemudian malaikat pergi pula ke rumah Si Buta. Seperti dua saudaranya yang lain, malaikat bertanya apa yang Si Buta inginkan.
“Aku inginkan mataku yang buta ini disembuhkan oleh Allah. Maka dapatlah aku melihat saudara-saudaraku,” kata Si Buta.
Malaikat pun mengusap mata Si Buta. Si Buta pun membuka mata dan alangkah terperanjatnya dia apabila dia sudah dapat melihat. Malaikat pun bertanya kekayaan apakah yang Si Buta inginkan, dan apabila Si Buta meminta kambing, malaikat juga menyerahkan seekor kambing yang sihat dan sedang bunting kepadanya.
Beberapa tahun kemudian, terkenallah ketiga-tiga orang bersaudara itu kerana kekayaan masing-masing. Ternakan mereka memenuhi ladang ternakan masing-masing.
Mereka sekarang sudah digelar Tuan Sopak, Tuan Botak dan Tuan Buta. Kekayaan mereka tersebar di kalangan Bani Israel.
Allah kemudian mengutuskan malaikat untuk turun ke bumi dalam rupa seorang pengemis. Mula-mula sekali, malaikat pergi ke rumah Tuan Sopak.
“Saya ini musafir yang miskin, tuan,” kata malaikat. “Tiada bekal untuk pulang. Demi Allah yang mengurniakan paras yang indah dan harta yang banyak, berilah unta seekor kepada saya untuk teruskan perjalanan.”
Tuan Sopak jijik melihat musafir di depannya itu. Maka dia pun berkata: “Aku harus menyelesaikan banyak hutang. Aku tidak boleh memberi apa-apa kepada kau.
“Moga Allah mengembalikan keadaan tuan yang asal,” balas malaikat yang menyerupai pengemis itu.
Selepas malaikat tersebut beredar, Si Sopak menjadi seperti dahulu. Kulitnya kembali dijangkiti sopak. Ternakan untanya semakin hari semakin susut kerana mati. Akhirnya habislah semua harta kekayaannya.
Malaikat pergi menemui Tuan Botak pula untuk meminta sedekah, Tuan Botak memberi alasan yang sama dengan Tuan Sopak. Maka malaikat pun berdoa agar Allah menjadikan Tuan Botak seperti dulu.
Kepalanya pun menjadi botak kembali. Lembu Si Botak juga mati seekor demi seekor. Maka Si Botak pun kembali miskin.
Malaikat menemui Tuan Buta pula. Lelaki itu sentiasa bersyukur kepada Allah. Apabila malaikat meminta agar diberikan seekor kambing, Tuan Buta pun berkata: “Dulu aku seorang buta. Allah telah menyembuhkan mataku. Oleh itu, kau ambil mana-mana kambing yang engkau sukai untuk dibuat bekalmu.”
Mendengar jawapan itu, malaikat pun berkata: “Jagalah hartamu baik-baik. Sebenarnya Allah hanya ingin mengujimu. Allah telah meredaimu, sedangkan saudara-saudaramu telah mendapat kemurkaan.”
Si Buta pun menadah tangan lalu mengucapkan syukur.
Advertisements

RUKUN NEGARA TERAS PERPADUAN MALAYSIA

Posted in ARTIKAL on 22 November 2013 by zanas

 

 

Rukun Negara diasaskan pada 1970 bertujuan mewujudkan satu persefahaman yang minimum terhadap aspirasi nasional di kalangan pelbagai komuniti di Malaysia tanpa mengira kaum atau daerah masing-masing. Selain daripada mencapai tahap perpaduan yang lebih tinggi, mengekalkan demokrasi sebagai cara hidup, mewujudkan masyarakat yang adil, satu pendekatan yang liberal terhadap budaya dan tradisi serta membangunkan masyarakat yang progresif, berorientasikan sains dan teknologi moden. Rukun Negara juga bertujuan dijadikan panduan negara berasaskan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.
Rukun Negara yang membolehkan Malaysia menyatupadukan rakyatnya berbilang kaum dan agama serta menjadi prinsip asas kepada kenegaraan perlu disemaikan di sanubari generasi muda kita yang akan menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.
Perpaduan adalah satu hadiah yang tidak ternilai dan simbol kemanusiaan kita. Ia adalah asas kita membina hubungan, keluarga, masyarakat dan negara. Ia adalah ikatan yang mengukuhkan kenegaraan kita.
Perpaduan perlu bermula dari setiap individu. Jika ada perpaduan dalam pemikiran emosi dan perbuatan seseorang, ia akan diluahkan di dalam perilaku terhadap orang lain.
Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia memperkukuhkan perpaduan. Kita mesti memulakan bersuara dengan satu suara yang merangkumi semua rakyat Malaysia pelbagai kaum. Kita semua menyumbang ke arah kestabilan dan kemakmuran ekonomi negara ini. Marilah kita sama-sama mengukuhkan komitmen untuk meningkatkan budaya keamanan, keharmonian dan perpaduan.
Marilah kita memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan semangat persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan perkauman melampau dan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecah-belahkan negara yang kita cintai kerana ini adalah tempat kita dilahirkan, tempat kita tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita akan disemadikan.

Institusi raja bukti konsep ketuanan Melayu masih relevan

Posted in Uncategorized on 21 November 2013 by zanas

 

 

AGUNG1Sistem politik dan pemerintahan tradisi Melayu meletakkan raja atau sultan sebagai pemerintah tertinggi yang diberikan sepenuh ketaatan dan kesetiaan. Sistem ini berlangsung berabad lamanya. Ketika berlangsungnya penjajahan British di Tanah Melayu, Sultan masih

lagi mempunyai kuasa untuk hal tertentu bagi negeri masing-masing. Kedudukan mereka masih dianggap berdaulat ketika itu.

Apabila perlembagaan moden Persekutuan Tanah Melayu digubal oleh British, pengiktirafan terhadap kepentingan sistem beraja tetap diambil kira dengan meletakkannya sebagai Raja berperlembagaan. Ia menjadi sebahagian elemen penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Menurut Tun Salleh Abbas (1997), apabila kemerdekaan diberikan kepada Tanah Melayu, institusi beraja dikekalkan dengan beberapa pindaan untuk disesuaikan dengan konsep demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Ia sekali gus melambangkan Raja Melayu adalah kesinambungan sejarah dan warisan negara. Kewujudan institusi Raja menjadi sebahagian daripada identiti negara dan ia dilindungi oleh perlembagaan. Ia disebut di dalam Perkara 159(5) yang menjelaskan bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Perkara 71 pula menjamin hak seseorang raja dalam negeri baginda untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan. Demikian juga Perkara 38(4) menyebut bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Institusi raja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menjadi ‘payung negara’, menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan anutan kepercayaan agama. Ini adalah selari dengan Perkara 32(1) yang meletakkan kedudukan baginda sebagai ‘Ketua Negara’ dan selaras dengan kedudukannya sebagai Raja berperlembagaan, baginda perlu mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri (Perkara 39 dan 40).
Bagi orang Melayu institusi Raja berperlembagaan dengan fungsinya yang tertentu penting bagi ‘survival’ orang Melayu. Ini dapat difahami di dalam Perkara 153 yang mana ia meletakkan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk melindungi dan memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak. Ia termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153.
Berdasarkan Perkara 153, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau kemudahan lain yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan.
Peruntukan 153 tidak boleh dipinda tanpa persetujuan Majlis Raja-raja seperti yang digariskan di bawah Perkara 159(5). Selain itu, kedudukan istimewa orang Melayu juga terkandung dalam Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu. Demikian juga pasukan Rejimen Askar Melayu hanya boleh dianggotai oleh orang Melayu saja seperti dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f).
Di dalam Perlembagaan negeri yang memiliki raja pula menetapkan Raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ia orang Islam. Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong yang dipilih di kalangan Raja-Raja Melayu itu juga adalah seorang Melayu dan beragama Islam. Justeru, institusi raja turut melambangkan kedaulatan dan kuasa Islam di negara ini.
Kesimpulan, institusi Raja seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu pengiktirafan oleh penggubal perlembagaan yang memahami sejarah, warisan dan tradisi masyarakat dan kedaulatan politik Melayu.
Mereka memahami bahawa ketuanan Melayu sudah pun mengakar lama dengan kewujudan kuasa raja yang menjadi pemerintah di negeri-negeri Melayu, iaitu berabad-abad lamanya sebelum British bertapak di negara ini. Kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong, terutama dalam Perkara 153 adalah untuk memelihara kedaulatan Melayu.

MEMBINA KOMUNIKASI BERKESAN

Posted in ARTIKAL on 21 November 2013 by zanas

Kadang-kadang setengah perkataan yang diucapkan oleh ibu bapa kepada anak remaja tidak dapat diterima dengan baik. Malah mengundang banyak masalah, terutamanya anak-anak remaja yang sedang bermasalah.
Kebanyakan ibu bapa tidak tahu apa harus dilakukan apabila anak-anak remaja mereka datang dengan masalah atau perasaan.
Setengah ibu bapa langsung tidak membantu memainkan peranan sebagai kaunselor atau sesetengah itu langsung tidak mahu berperanan sebagai pembantu atau kaunselor kepada anak mereka sendiri.
Apabila anak remaja mendapati ibu bapa mereka tidak peka dengan masalah mereka, maka mereka akan mencari alternatif sama ada merujuk kepada guru atau kaunselor di sekolah.
Ada juga yang akan mencari rakan baik atau memasuki mana-mana laman sosial dengan harapan ada insan yang prihatin akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi.
Ibu bapa mempunyai dua alasan yang lumrah digunakan iaitu merasakan tidak pandai atau tidak berupaya untuk menangani masalah remaja dan kedua, merasakan apa yang diperkatakan sentiasa tidak diterima oleh anak remaja mereka.
Mengikut kajian dan juga maklum balas daripada remaja, didapati ramai ibu bapa menggunakan bahasa yang kurang tepat dan kurang senang diterima.
Terdapat banyak mesej yang tidak boleh diterima yang diguna pakai oleh ibu bapa dan di sini dapat dikategorikan kepada 12.
Kesemua 12 jenis mesej ini merupakan halangan kepada komunikasi berkesan antara ibu bapa dan anak remaja. Ia boleh memperlahankan, atau menyekat proses komunikasi dua hala antara anak dan ibu bapa dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi remaja.
Terdapat juga tiga kategori mesej yang dianggap sebagai menghukum, menilai, menjatuhkan atau memandang rendah.
Ramai ibu bapa berpendapat bahawa mesej begini penting untuk menunjukkan atau mengajar dan membetulkan atau memperbaiki apa kesalahan yang dilakukan oleh anak tetapi tidak kepada penerimanya (si anak):
l Menghukum, mengkritik, menuduh atau menyalahkan. Contohnya; “kau ni malas” atau “dah besar macam ini pun masih buat kerja bodoh” atau “bila bercakap suka menipu” atau “bodohhh pakai seluar pun tak pandai londeh macam orang berak dalam seluar”
l Melabelkan, name-calling (memberi nama gelaran). “Apa halnya perangai macam budak kecil saja?” atau “cakap pun tak betul macam budak cacat” atau “jangan takut macam pondan pulak”
l Mentafsir (Interpreting), menganalisis atau mendiagnosis. “Jangan cuba buat helah aku tahu kau nak lari dari tugas ya?” atau “jangan buat-buat sakit, mak tahu…”
Manakala terdapat dua jenis mesej yang digunakan ibu bapa untuk meredakan keadaan agar anak merasa lebih selesa walaupun tidak realistik, menyelesaikan masalah atau mengelak ia menjadi lebih serius.
l Memberi pujian, bersetuju atau memberi penilaian positif. “Jangan risau mak dan ayah rasa kau ni patut dapat jadi pengawas” atau “anak abahkan lawa ramai orang nak?”
l Simpati, memberi harapan, konsul. “Janganlah risau mak pun sama juga masa mak dulu…” atau “nanti sampailah tu jangan risau ayah pasti…”
Banyak dari kalangan ibu bapa yang suka menggunakan halangan di bawah ini apabila menggunakan mesej dengan anak remaja, iaitu menggunakan soalan dengan harapan untuk mendapatkan penjelasan.
l Menyoal, interrogate, cross-examining. “Siapa yang yang kasi, beri tahu ayah nama budak itu?” atau “Kenapa adik ikut budak yang poteng?” atau “Sebab apa tak minta izin dulu?”
Kategori 12 pula mengandungi mesej yang digunakan oleh ibu bapa untuk mengubah cerita atau subjek atau cuba lari daripada masalah sebenar.
l Sarkastik, gurauan, menarik diri atau mengalih. “Ok papa faham jom kita cakap benda lain lah yang lebih baik…” atau “tak elok sebut masa makan ni” atau ” padan muka siapa suruh cari pasal.”
Ramai ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja bermasalah atau tidak bermasalah telah menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada 12 halangan di atas. Malah ramai yang tidak menyedari, ia akan memberi kesan yang kurang baik kepada anak-anak mereka dalam menyediakan ruang untuk berinteraksi dan meluahkan perasaan serta tekanan.
Apabila anak remaja sedang mengalami masalah, sama ada masalah peribadi atau di sekolah, maka segala yang dituturkan dan dicakapkan oleh ibu bapa akan diandaikan oleh anak sebagai kurang selesa, sama juga dengan mesej pujian akan menjadi kurang kena jadinya.
Apabila keadaan menjadi serba salah dan tidak kondusif, maka ibu bapa boleh membantu dengan cara yang lebih konstruktif iaitu:
l Mendengar secara pasif – dengan tidak berkata-kata (berdiam) juga merupakan satu bentuk komunikasi penerimaan. Remaja tidak dapat bercakap mengenai masalah mereka apabila ibu bapa pada masa sama turut bercakap.
l Tunjuk dan buktikan yang kita bersamanya – Berdiam ada ketikanya kurang membina kepercayaan remaja yang kita sebenarnya mendengar mereka. Oleh itu, setidak-tidaknya kita mesti menunjukkan isyarat tanpa lisan seperti angguk, memfokus mata atau memegang tangan sambil mendengar dengan empatik
l Pembuka/door opener – tidak cukup sekadar mendengar dan mengangguk sahaja tetapi ibu bapa boleh bertindak dengan lebih berkesan dengan memberi laluan seperti “Ok dan mungkin Ani nak cerita lebih lanjut lagi dan Mama mendengar ni” atau “bagusnya anak mama ni apa lagi yang…” atau “nampaknya anak mak ni ada… mungkin kena kongsi dengan mak siapa kawan lelaki tu…”
Kita diberikan dua telinga dan satu mulut, jadi adalah lebih berkesan dengan memberikan lebih tumpuan kepada kemahiran mendengar dan lebih berhati-hati apabila bercakap, kerana lontaran perkataan itu boleh menyinggung perasaan si pendengar itu seperti pepatah Melayu “Terlajak perahu boleh ditarik, terlajak kata akan binasa.”
Selain itu, kemahiran mendengar juga perlu dipelajari dan keikhlasan dalaman adalah sangat penting dalam menghulurkan bantuan. Ibu bapa disarankan supaya bangun malam meminta dengan Allah SWT supaya hati dilembutkan untuk perubahan kepada kebaikan dan segala usaha kita dalam mendidik anak cuma 10 peratus dan selebihnya adalah ketentuan Allah. Maka, usaha, doa dan tawakal. Semoga Allah memberikan hidayah. Insya-Allah
Oleh DR. KHAIDZIR ISMAIL

PERTAHANKAN WARIS MERDEKA

Posted in ARTIKAL on 21 November 2013 by zanas

 

 

Tanyalah kepada generasi pasca merdeka, apakah kemerdekaan yang mereka fahami pada hari ini. Kita pasti akan mendengar jawapan merdeka ialah apabila negara bebas dari penaklukan dan cengkaman penjajah. Tidak ada yang salah pada jawapan ini kerana jawapan tersebut adalah benar.
Namun bagi golongan pasca merdeka ini, adakah kita benar-benar memahami perjuangan mendapatkan kemerdekaan tersebut? Suka duka yang ditempoh generasi terdahulu berjuang mendapatkan kemerdekaan untuk negara dan untuk kita dan anak-anak yang tercinta.
Berjuang bukan sekadar mengangkat senjata. Berjuang bukan sekadar berpadu suara. Berjuang bergabung minda dan tenaga demi mempertahankan agama, bangsa dan negara.
Kedatangan tarikh keramat bagi negara pada tahun 2010 ini bagai satu rahmat kerana jatuhnya pada bulan yang sungguh mulia bagi umat Islam, bulan Ramadan.
Bulan di mana semua pintu keberkatan, kebaikan dan kemuliaan dibuka seluas-luasnya bagi manusia menginsafi dan memperbaiki diri agar kita menyedari bahawa nikmat kemerdekaan itu sungguh besar, biarpun bukan kita yang berusaha mendapatkannya.
Kemakmuran bulan Ramadan yang dinikmati hari ini memperlihatkan rakyat berbilang agama semakin matang dalam menghormati tuntutan bulan yang mulia ini.
Dalam kebanyakan majlis berbuka puasa yang dianjurkan, kita pasti melihat kelibat rakan-rakan yang berlainan agama memberi penghormatan dan sokongan dengan menghadirkan diri. Nikmat rezeki dikongsi dengan harapan agar penyatuan ini berkekalan untuk selama-lamanya.
Usia negara yang menginjak kepada 53 tahun seharusnya menyedarkan kita bahawa biarpun tidak sama, tidak bermakna kita goyah. Biar berbeza pendapat, tidak bermakna tidak boleh sepakat.
Semangat kekitaan perlu disemai kerana bumi yang bertuah ini bukanlah tempat untuk beradu siapa lebih kaya, siapa lebih berkuasa. Benar, kita berbeza daripada mereka. Namun kekuatan kita yang sebenar ialah, kita ada satu sama lain.
Dunia tanpa sempadan hari ini adalah cabaran utama generasi pasca merdeka dalam memikul tanggungjawab untuk mencorakkan negara. Andai kita lemah, lemahlah negara. Andai kita buta sejarah, hancurlah perpaduan yang disemai datuk nenek kita terdahulu.
Modenisasi bukan alasan untuk lupa bertutur dalam bahasa kabangsaan, lupa bertatasusila ketimuran dan lupa kepada asal usul terbentuknya sebuah negara bernama Malaysia.
Kecelaruan tafsiran modenisasi ini menyebabkan ia menjadi punca kepada masyarakat bersikap hedonisme dan individualistik. Kesenangan dan kenikmatan duniawi menjadi matlamat utama biarpun menyimpang daripada ajaran agama dan budaya.
Penjajahan sejak sebelum merdeka rupanya masih belum tamat. Kita melihat lahirnya ramai generasi yang berkiblatkan wang yang tidak mempeduli kesan buruk cara hidup tersebut atas alasan modenisasi.
Kita juga terpanar melihat ramainya anak-anak lahir tanpa bapa dengan alasan kebebasan hidup individu. Inikah kenikmatan kemerdekaan yang kita dambakan?
Atas alasan lebih telus dan adil yang lemah tetap jauh tertinggal kerana tidak punya kekuatan daya bersaing. Manakala yang kaya bertambah kaya. Begitulah keadilan dalam kapitalisme yang berjaya menguasai minda lalu membutakan mata hati kita untuk melihat bahawa hidup bernegara bukanlah sekadar memenuhi ‘satu perut’ semata-mata. ‘Cukup makan sudah’ jangan dijadikan budaya hidup.
Menjadi sebahagian dari golongan belia pasca merdeka menuntut kita supaya berusaha bersungguh-sungguh dalam mencari kesenangan dan kekayaan supaya yang lebih itu dapat kita kongsi bersama mereka yang tidak berpeluang menikmatinya.
Islam tidak pernah menghalang umatnya mencari kekayaan dengan sebanyak-banyaknya namun harus menjadi ummatan wasatan dengan menyeimbangkan tuntutan dunia dan akhirat. Bahkan, memelihara kekayaan harta benda di dunia ini merupakan salah satu daripada lima objektif syariah yang perlu dijaga oleh umat Islam.
Sesungguhnya mempertahankan sesuatu itu lebih payah daripada usaha mendapatkannya. Begitulah jua dengan kemerdekaan bagi negara ini dan perpaduan di antara semua kaumnya.
Bukan sehari dua masa diambil untuk menyemaikannya. Tetapi hanya dengan sekelip mata kita boleh memusnahkannya.
Semua ini bakal terjadi sekiranya perasaan saling menghormati kian hilang, diganti perasaan curiga apatah lagi jika agama dibuat taruhan. Tidak mustahil apa yang kita miliki pada hari ini tidak akan dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang.
Lalu apakah sebenarnya kemerdekaan yang kita, generasi pasca merdeka fahami. Cukupkah memadai pengertiannya sebagai kebebasan daripada cengkaman penjajah?
Apakah kemerdekaan itu perlu bergantung kepada sejauh mana negara menyerap modenisasi dan liberalisasi yang bertunjangkan acuan Barat? Atau mungkin jua kemerdekaan itu hanya perlu dilihat pada pembangunan fizikal semata-mata dan bukan pada pembangunan rohani rakyatnya?
Kemerdekaan adalah satu perjuangan yang belum selesai. Perjuangan yang sentiasa menuntut kepada kemakmuran, kekuasaan dan keselesaan tetapi bukanlah hanya untuk kehidupan kita semata-mata dan bukan jua bagi kepentingan orang yang tertentu sahaja.
Perjuangan ini sebenarnya bekalan buat anak-anak kita pada masa akan datang. Tidak malukah kita kepada generasi terdahulu yang bermati-matian demi kita berjuang untuk mewariskan bumi ini kepada kita yang belum pun lahir?
Tidak malukah kita meminjam tanah air ini daripada generasi akan datang dan pulangkan kepada mereka dalam keadaan kusut dan berpecah-pecah? Tepuk dada tanyalah minda, merdekakah sudah diri kita?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0827&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Halal dan Haram Mempengaruhi Keperibadian Muslim

Posted in ARTIKAL on 14 November 2013 by zanas

jakim01

Pengenalan

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna ‘dibenarkan’ atau ‘dibolehkan’ oleh hukum Syarak. Di Malaysia isu makanan halal dan haram menjadi agenda yang begitu hangat diperkatakan. Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada masyarakat beragama Islam sahaja, malahan turut mendapat perhatian daripada penganut-penganut agama lain kerana pengusaha makanan di Malaysia terdiri dari pelbagai kaum. Sebagai umat Islam adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal, iaitu bebas daripada sumber najis dan haram bermula dari proses penyediaan bahan mentah, proses pembuatan, penyimpanan, masakan, pengilangan, pembungkusan dan pengangkutan. Masyarakat Islam di negara ini kadang kala digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya

Hadis Yang Berkaitan Halal dan Haram
Surah 2 – Al Baqarah : Ayat 172)
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya.

Surah 6 – Al An’nam : Ayat 121)
Dan janganlah kamu makan dari (sembelihan binatang-binatang halal) yang tidak disebut nama Allah ketika menyembelihnya, kerana sesungguhnya yang sedemikian itu adalah perbuatan fasik (berdosa) dan sesungguhnya Syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikut-pengikutnya, supaya mereka membantah (menghasut) kamu dan jika kamu menurut hasutan mereka (untuk menghalalkan yang haram itu), sesungguhnya kamu tetap menjadi orang-orang musyrik.

Status Halal Haram
Sejak kebelakangan ini ramai tidak lagi memberatkan status halal haram dan kadang kala  makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal. Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

Pengaruh halal kepada peribadi

  • Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.
  • Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.
  • Keperibadian seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya.
  • Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka.

Kenapa Kita Perlu Kepada Makanan Halal?

  • Makanan merupakan keperluan asas dalam kehidupan manusia. Tanpa makanan kesihatan manusia akan terjejas. Makanan dapat membekalkan haba dan tenaga bagi tujuan menjaga serta mengekalkan suhu badan.
  • Makanan juga berfungsi dalam aktiviti pernafasan dan aliran darah bagi semua kerja otot dalam badan serta terlibat bagi proses penggantian zat dalam badan (metabolisme). Selain itu, umat Islam memerlukan makanan untuk tujuan beribadat kepada Allah SWT.
  • Pemakanan dapat ditakrifkan sebagai sains yang berkenaan dengan zat, khasiat dan nutrien dalam makanan. Ia merupakan kombinasi satu proses di mana organisma mengambil, menghadam, menyerap, mengangkut, mengguna dan mengkumuh bahan makanan untuk tujuan pembuatan serta membaik pulih komponen dalam badan.
  • Aktiviti pemakanan yang baik akan membolehkan seseorang itu mendapat faedah daripada pengambilan sesuatu makanan. Ia dapat mengawal aktiviti organ-organ tubuh badan dengan baik (mata, jantung, peparu dan sebagainya) serta membolehkan seseorang bergerak, berjalan, berlari, bekerja dan bermain.

Doa Dimakbulkan

Persoalan yang mungkin timbul kepada manusia ialah mengapa Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW menyeru agar umat Islam memilih makanan yang halal dalam kehidupan seharian. Sudah tentu adanya hikmah dan kelebihan yang dapat membantu manusia menjalani kehidupan sebagai hamba Allah SWT dengan lebih baik sebagaimana berikut:

Supaya Doa Dimakbulkan Oleh Allah SWT Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya di penuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapi dengan sesuatu yang haram,
Bagaimana akan diperkenankan permohonannya. (Hadis Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmizi).

Kesimpulan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia peka kepada masalah ini.  Sehubungan ini makmal tiga tingkat yang akan dibina  akan memulakan operasinya pada 2013 yang akan menganalisa makanan, menguji pelbagai produk atau bahan termasuk peralatan yang digunakan dalam pembedahan klinikal. Fasa kedua pembinaan pula akan melibatkan pembinaan bangunan latihan untuk membolehkan Jakim melatih pegawai dan kakitangan tempatan serta dari luar negara. Kewujudan makmal ini kelak akan melambangkan kesungguhan pihak Kerajaan dalam memajukan Malaysia sebagai hub halal yang diiktiraf di seluruh dunia.

 

Sumber disunting dari :  Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Portal Rasmi Halal Malaysia
Utusan Malaysia

 

Fahami Perlembagaan Elak Sentuh Isu Sensitif

Posted in ARTIKAL on 14 November 2013 by zanas

Bukan semua perkara boleh dibincang terbuka bagi jamin perpaduan, keharmonian

org-melayu-protes3Perlembagaan Persekutuan merupakan udang-undang utama dan tertinggi negara kita. Kefahaman mendalam terhadap perkara-perkara asas dalam perlembagaan dapat membentuk rakyat Malaysia menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap negara dan masyarakat sekelilingnya. Sekiranya setiap rakyat memahami dan menghayati beberapa peruntukan utama yang terkandung dalam perlembagaan maka kita yakin tidak akan berbangkit isu-isu sensitif seperti isu perkauman, keagamaan dan soal-soal mengenai kebebasan. Setiap rakyat mesti tahu menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh perlembagaan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya, generasi muda harus dididik mengenai Perlembagaan Malaysia. Sekurang-kurangnya terdapat lima peruntukan asas dalam perlembagaan yang mesti difahami dan dihayati. Perkara asas terbabit ialah perkara berkaitan bahasa, agama, hak-hak istimewa Bumiputera, kewarganegaraan dan hak asasi (kebebasan). Sejak dulu lagi perkara terbabit dianggap sebagai kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

Kedudukan bahasa Melayu

Peruntukan berkaitan dengan bahasa disebutkan di bawah Perkara 152 yang menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1963(pindaan 197), Perkara 150 Fasal 6A dan Dasar Pelajaran Kebangsaan turut memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 memperuntukkan BM sebagai satu-satunya bahasa rasmi tunggal. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan meletakkan kedudukan BM sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Kedudukan BM sebagai bahasa pengantar ilmu juga diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang memansuhkan Akta Pendidikan 1961. Namun, peruntukan terbabit tidak menghalang atau mengengkang kaum-kaum lain menggunakan bahasa ibunda mereka termasuk dalam sistem pendidikan. Pengecualian penggunaan bahasa Melayu dibenarkan di bawah Seksyen 17(2) Akta Pendidikan bagi institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan tetapi BM hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib.

Hakikatnya bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menjadi medium penyatuan nasional dan sekali gus menjadi lambang dan identiti bagi negara. Ia menjadi sebahagian daripada jati diri nasional yang berfungsi sebagai bahasa penyatu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Proses pemilihan dan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah melalui kesepakatan dan tolak ansur dalam kalangan kesemua kaum di negara ini.

Sultan, Raja ketua agama Islam

Berhubung dengan agama pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan agama bagi Persekutuan ialah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh dianuti secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan. Institusi yang ada kaitan langsung dengan kedudukan agama Islam ialah Sultan atau Raja. Perlembagaan menyatakan bahawa Sultan atau Raja sesebuah negeri ialah ketua agama Islam bagi negeri tersebut. Bagi negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Sultan atau Raja pula akan diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan ini sepatutnya diketahui, difahami dan dihormati oleh setiap rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan tetapi juga menjunjung tinggi pengamalan keagamaan yang dilihat selari dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

Pada dasarnya, pemilihan agama Islam sebagai agama Persekutuan dibuat berdasarkan faktor sejarah dan warisan sosiobudaya di negara ini. Namun, agama lain di negara bebas diamalkan dan mereka diberi hak untuk membina rumah-rumah ibadat mereka bagi menjalankan upacara dan peribadatan keagamaan masing-masing. Pembinaan rumah-rumah ibadat ini mestilah mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. Kebebasan beragama ini selari dengan Perkara 11 perlembagaan.

Pun begitu, Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam”.

Hak istimewa orang Melayu

Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra dinyatakan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah. Takrif Melayu dinyatakan di dalam Perkara 160 (2) yang menyebut orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Berdasarkan peruntukan 153 maka dapat difahami bahawa terdapat tiga bidang yang menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak, iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Peruntukan hak keistimewaan ini adalah diletakkan di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Baginda atas nasihat jemaah menteri berhak untuk menentukan perizaban jawatan di dalam sektor awam bagi orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.

Berkaitan aspek ekonomi, orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak digalakkan untuk menyertai sektor ekonomi, industri dan perniagaan. Ini bagi mengimbangi kedudukan ekonomi kaum lain yang jauh lebih maju berbanding mereka kesan daripada amalan penjajah. Justeru, mereka perlu dibantu melalui dasar affirmative termasuk mempermudah kelulusan permit atau bantuan kepada mereka dalam hal-hal berkaitan ekonomi. Manakala di dalam bidang pendidikan pula, keistimewaan harus diberi kepada mereka dalam soal pemberian biasiswa.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah Perkara 89 dan 90 yang memberikan kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang sedia ada melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.

Hak Kewarganegaraan

Satu lagi perkara asas yang wajar diketahui oleh kita selaku warganegara Malaysia ialah perkara berkaitan dengan hak-hak kewrganegaraan. Perkara mengenai Kewarganegaraan ini terkandung di dalam Bahagian 3 Perlembagaan Malaysia. Dalam konteks ini, Perkara 14 hingga 22 menyatakan mengenai hak serta cara-cara mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Manakala Perkara 23 hingga 28 pula adalah berkaitan cara bagaimana seseorang wargannegara boleh terlucut dan dilucutkan hak kewarganegaraanya.

Secara umumnya kewarganegaraan seseorang itu boleh didapatkan melalui kuat kuasa Undang-Undang, secara pendaftaran atau permohonan melalui cara kemasukan dan melalui percantuman wilayah. Kewarganegaraan Malaysia melalui cara Kemasukan terbuka bagi individu atau warga asing yang berumur lebih daripada 21 tahun dan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia.

Antara syarat-syaratnya ialah individu terbabit telah menetap di Persekutuan Malaysia selama sepuluh daripada dua belas tahun sebelum tarikh permohonan, berniat menjadi pemastautin tetap di Malaysia, mempunyai tingkah laku yang terpuji dan mempunyai pengetahuan Bahasa Malaysia.

Di sisi yang lain, hak-hak kewarganegara Malaysia boleh terlucut atau dilucutkan oleh Perlembagaan Malaysia jika melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan kehendak perlembagaan. Antaranya individu itu tidak lagi berminat untuk mengekalkan kewarganegaraan dengan menjadi warganegara asing. Kewarganegaraan juga boleh dilucutkan jika individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya. Ini termasuk menjalankan perhubungan atau perniagaan dengan negara atau musuh negara seperti Israel.

Begitu juga dengan individu yang telah bermastautin di negara asing selama lebih daripada lima tahun secara berterusan dan tidak pernah melapor atau mendaftardi Pejabat Konsul Persekutuan boleh dilucutkan kewarganegaraannya. Proses pelucutan kewarganegaraan ini boleh dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses kehakiman.

Hak asasi

Satu lagi isu yang sering mengundang kontroversi ialah perkara berkaitan dengan hak asasi. Hak Asasi adalah perkara asas yang perlu dinikmati oleh rakyat. Terdapat sembilan peruntukan hak asasi di dalam perlembagaan (perkara 5 hingga Perkara 13). Jelaslah bahawa Perlembagaan Persekutuan memperakui dan mengiktiraf hak setiap individu seperti hak untuk beragama, hak untuk mengumpul harta, hak untuk mendapat peluang pendidikan, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Selain itu, setiap warganegara Malaysia tidak boleh dijadikan abdi atau menjadi buruh paksa oleh mana-mana pihak.

Semua rakyat mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang-undang dan seseorang yang didakwa perlu mendapat perbicaraan yang adil. Malah, tertuduh juga tidak boleh dituduh dengan tuduhan yang sama buat kali kedua, sekiranya telah dilepas dan dibebas oleh mahkamah atas tuduhan yang sama.

Hakikatnya, perlembagaan tidak menyekat kebebasan dan pergerakan seseorang kecuali atas sebab-sebab keselamatan, kesihatan awam dan hukuman seperti hukuman kediaman terhad. Bagaimanapun, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak adalah tertakluk kepada undang-undang imigresen negeri terbabit seperti yang telah dipersetujui ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.

Sayugia diingat bahawa kebebasan yang diberi oleh perlembagaan itu tidak bermakna semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka kerana isu-isu sensitif seperti isu berkaitan agama, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-raja adalah dilarang dibicarakan secara terbuka. Isu terbabit perlu difahami dan tidak disentuh sewenang-wenangnya demi menjadi perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia.

Hayatilah sebahagian daripada petikan Pemasyuran Kemerdekaan 1957: “ Dan bahawa sanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan dan keutamaan hak-hak Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berpelembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen”. BH13/11/2013
_______________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di bahagian Penerbitan dasar negara, Jabatan penerangan, kementerian Komunikasi dean Multimedia.

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.