Archive for the SAHSIAH Category

“PERANAN KELUARGA DAN MASYARAKAT DALAM MENANGANI GEJALA SOSIAL”

Posted in SAHSIAH on 22 November 2013 by zanas

 

 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan hadhirin sekalian, marilah kita bertaqwa kepada Allah SWT. dengan sebenar-benar taqwa dengan kembali mengikuti ajaran Islam yang syumul iaitu dengan beramal soleh, menyuruh manusia berbuat kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Mudah-mudahan segala amal bakti kita akan diredhai oleh Allah dan membawa kebaikan untuk kita di dunia
dan akhirat.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Peranan keluarga dan masyarakat dalam membentuk dan mengembalikan Islam kepada generasi umat manusia yang tergelincir daripada landasan iman dan taqwa adalah sangat penting. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama menangani kemelut gejala sosial yang berlaku ini dengan berani dan bijaksana agar golongan sasaran dakwah kita tidak menolak seruan yang disampaikan kepada mereka. Firman Allah SWT. dalam surah An-Nahl ayat 125:
”Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah juga yang lebih mengetahui
akan orang yang mendapat hidayah”.
Setiap anggota masyarakat mestilah berperanan membimbing mereka yang terjebak dengan maksiat atau gejala sosial supaya kembali kepada Islam secara pendekatan dakwah yang bijak. Hanya menggunakan pendekatan yang matang, sesuai dan berhikmah, kita mampu membimbing golongan ini kembali kepada Islam. Suatu masa dahulu pendekatan seperti ceramah, nadwah dan Khemah Ibadah sesuai diguna-pakai dalam menarik minat muda-mudi tetapi hari ini umat Islam harus memaksimumkan penggunaan Medium Dakwah yang melibatkan pendekatan kesukanan, hiburan, teknologi canggih seperti penggunaan IT. yang meliputi penggunaan Laman Sosial, Blog, E-Mail atau melalui Laman-laman Web.
Ibubapa hendaklah bersikap terbuka dalam memainkan peranan mereka bagi menarik minat anak-anak dengan cara atau jalan yang paling baik. Pendekatan tegas, berdisiplin di samping menunjukkan kasih sayang, lembut dan mesra adalah sangat sesuai dalam mentarbiyyah anak-anak. Kita tidak ingin melihat anak-anak
menjadi semakin jauh daripada kita akibat tiada belaian kasih sayang dan kemesraan terhadap mereka.
Justeru, ibubapa hendaklah mempelajari Ilmu-ilmu Motivasi dan Pentarbiyyahan terkini sesuai dengan peredaran zaman. Ada masa dan ketika kita menjadikan mereka teman dan ada masa kita bertegas dengan mereka. Kasih sayang dan kemesraan hendaklah dipupuk, Program-program Pembinaan Ukhuwwah Dan Jalinan Kekeluargaan hendaklah sentiasa dibentuk seperti lawatan, perkhemahan, hari keluarga, riadhah santai bersama keluarga dan sebagainya.
Sidang Jumaat yang dikasihi,
Apa yang paling penting peranan keluarga dalam menangani gejala sosial yang berlaku ialah penerapan asas-asas agama kepada anak-anak kita. Tanggungjawab kita sekurang-kurangnya memberikan Pendidikan Asas Fardhu ’Ain dalam diri setiap anak-anak, mudah-mudahan ianya akan menjadi obor dalam kehidupan mereka untuk memperolehi keredhaan Allah SWT.
Ibubapa hendaklah menjadi contoh utama dalam amalan dan menunaikan kewajipan agama seperti solat secara berjamaah dan membimbing anak-anak berkenaan batas-batas pergaulan dalam Islam, pemeliharaan batasan aurat, galakan untuk menghadhiri kelas-kelas agama dan sebagainya. Di samping itu peranan masjid, NGO, Jabatan-jabatan Kerajaan, Swasta, JKKK. dan Individu Perseorangan dalam membendung gejala sosial hendaklah diperkasakan dengan menyumbang apa-apa yang perlu samada kewangan, kemudahan, dewan, tempat rekreasi atau peralatan mengendalikan Programprogram Kesedaran atau Khidmat Nasihat berupa Ceramah Motivasi, Kaunseling, Penyediaan Kursus-kursus Keinsafan, Bimbingan Kerjaya atau Panduan Berumahtangga demi menyelamatkan generasi muda daripada menjadi mangsa keruntuhan akhlak dan akidah. Kita yakin, sekiranya langkah-langkah ini dilakukan oleh keluarga dan masyarakat yang peka dengan perkembangan yang berlaku di kalangan muda-mudi dan remaja, sudah tentu dapat membendung gejala sosial yang berlaku. Firman Allah SWT. dalam surah Toha ayat 132:
”Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat dan hendaklah engkau bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu;. dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertaqwa”.
Menurut buku ”Apa Ertinya Saya Menganut Islam ” yang dikarang oleh Fathi Yakan menyatakan untuk kembali kepada Islam dan sekaligus membendung penularan gejala-gejala sosial yang melibatkan keruntuhan akidah, syariat dan akhlak mestilah membudayakan masyarakat Islam dengan beberapa langkah:
Pertama: Memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa matlamat hidup insan ialah sebagai khalifah dan sebagai hamba Allah. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:
”Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi”.
Ini menjelaskan kepada kita bahawa sebagai khalifah dan hamba Allah, umat Islam wajib menegakkan agama Allah dan mentadbir alam ini berlandaskan syarak dan agama serta patuh dan taat mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Firman Allah SWT. dalam surah Az-Zariyat ayat 56: ”(Ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku”.
Kedua: Manusia haruslah memahami bahawa nilai dunia adalah terlalu sedikit dan bersifat sementara berbanding akhirat.
Ketiga: Manusia hendaklah menyedari bahawa kematian pasti datang menemui kita. Justeru, carilah bekalan menuju alam akhirat. Firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 185: ”Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan hanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan”.
Keempat: Umat Islam mestilah mengetahui hakikat Islam itu dengan mempelajari selok-belok agama agar hilang kejahilan umat dan kebaikan akan terserlah akhirnya. Hadith ini diriwayatkan oleh Al-’Askari daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
”Sesungguhnya ilmu itu didapati dengan belajar dan kefahaman itu didapati dengan mendalami ilmu, barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akan kebaikan, nescaya Allah akan memberikannya kefahaman dalam agama”.
Kelima: Umat Islam mestilah mengenali siapakah jahiliyyah atau musuh Islam. Semua perkara yang menyimpang daripada agama adalah jahiliyyah. Kita hendaklah waspada bahawa musuh-musuh ini akan sentiasa menghancurkan kita termasuk budaya dan pemikiran. Tegasnya untuk menyelesaikan sebahagian masalah gejala sosial ini adalah dicadangkan:
Pertama: Sesebuah keluarga mestilah menggalakkan mereka yang bujang supaya berumahtangga kerana Rasulullah menegaskan dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Al-Hakim:
“Sesiapa yang berkahwin sesungguhnya ia telah menyempurnakan separuh dari agamanya maka bertaqwalah ia pada separuh yang lain”.
Kedua: Pembinaan sesebuah keluarga hanya berjaya dengan tarbiyyah, asuhan dan didikan menurut nilai-nilai Islam. Bukan hanya dididik dengan ber jaya dalam pelajaran semata-mata dan agama jauh daripada diri mereka, maka akan hancurlah generasi kita sekiranya hanya faham kebendaan ditanamkan kepada mereka.
Ketiga: Sesebuah keluarga amat wajar memantau dan mengambil tahu pergaulan dan pergerakan anak-anak mereka agar tidak terjebak dengan perkaraperkara negatif.
Keempat: Sesebuah Keluarga, Ahli Masyarakat dan Pemerintah perlulah memainkan peranan penting dalam usaha membentuk dan mencorakkan generasi kini menjadi Generasi Soleh dengan Penyediaan Alternatif Aktiviti dan Program Membina Generasi Taqwa dan menjadi Modal Insan yang hakiki untuk hari ini dan akan datang, sebagaimana usaha yang dibuat oleh Kerajaan Malaysia ke arah Pembinaan Modal Insan yang baik dengan pelaksanaan Program SPIES di semua peringkat.
Ayuhlah kita sebagai umat yang dianugerahkan akal yang waras dan diberikan kesedaran Islam yang tinggi, bertindaklah segera kembalikanlah umat Islam ke jalan yang lurus dan jalan taqwa agar kehidupan kita akan memperolehi ketenangan di dunia dan di akhirat.
(At-Thur: 21) Dan orang yang beriman dan diikuti oleh zuriat keturunan mereka dalam keimanan, Kami hubungkan zuriat keturunan itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amalan mereka; Setiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya”.

SIFAT BELAS KASIHAN BUKTI KESEMPURNAAN IMAN

Posted in SAHSIAH on 22 November 2013 by zanas

Masyarakat negara ini terkenal dengan budaya budi pekerti lemah lembut dan bersopan santun. Keadaan itu menepati ajaran Islam yang menganjurkan umatnya menghias diri dengan sifat terpuji.
Cuma, mutakhir ini banyak perkara yang meruntun hati berlaku. Penganiayaan di sana-sini, tidak terkecuali dalam institusi perkahwinan. Rentetan itu cukup membimbangkan dan menggambarkan segelintir masyarakat Malaysia ketandusan sifat kemanusiaan. Bagi umat Islam, penderaan dan penganiayaan dilarang keras kerana Islam adalah al-Din yang bersifat belas kasihan. Jika kita benar-benar menghayati agama, tiada kepincangan dalam hubungan kemasyarakatan bahkan Rasulullah SAW juga menunjukkan cara berakhlak dengan ahli keluarga, tetangga dan masyarakat.
Menjadi orang yang membawa kebaikan kepada alam sejagat bukan mudah, kerana itu Rasulullah SAW mengajar perbuatan baik supaya Baginda tidak berseorangan dalam urusan ini sebaliknya dibantu dan disokong oleh sahabat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu sekali-kali tidak akan dianggap beriman sehingga kamu bersifat rahmat. Ujar sahabat: “Kami semua sememangnya bersifat rahmat.” Lantas Baginda SAW menjawab: “Bukan itu maksudku rahmatmu kepada kawan kamu, sebaliknya maksudku ialah rahmatmu kepada umum (alam sejagat).” (Hadis riwayat Tabarani)
Rahmat adalah perkara yang membawa kebaikan dan Islam agama yang membawa keamanan, kedamaian, keharmonian, kemesraan dan rahmat kepada seluruh isi alam membabitkan semua makhluk.
Bagi menjamin kedamaian dan rahmat terlaksana, Islam memerintahkan umatnya menghiaskan diri dengan sifat belas kasihan yang turut menjadi bukti kesempurnaan iman seseorang kepada Allah.
Belas kasihan ini bukan saja kepada sahabat terdekat tetapi alam seluruhnya, terutama jiran tetangga dan yang ada hubungan nasab.
Sebagai umat Islam, kita perlu berbuat baik terhadap mereka yang paling hampir sehinggakan apabila ingin memberikan juadah, Rasulullah SAW mengajar supaya diberi kepada jiran yang pintunya paling hampir dengan rumah kita, bukan jiran paling rapat.
Sifat belas kasihan membuatkan kita mudah tersentuh apabila melihat kesusahan menimpa orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika perasaan seumpama itu tidak wujud dalam diri manusia, ia menurunkan taraf manusia lebih teruk daripada haiwan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjadikan rahmat 100 bahagian, satu bahagian daripadanya sudah diturunkan ke bumi. Daripada bahagian satu inilah, sekalian makhluk dapat berbelas kasihan antara satu sama lain hinggakan ada seekor haiwan yang mengangkat kakinya kerana takut terpijak anaknya sendiri.” (Hadis riwayat Bukhari)
Ibu bapa perlu mempunyai kasihan belas dalam proses pendidikan anak. Jika anak melakukan kesalahan, hendaklah ditegur dan dibetulkan kesalahannya dengan lemah lembut serta kasih sayang, bukan memukul dengan kekerasan.
Pada tahap pendidikan di awal usia, anak perlu dibelai, ditatang serta diasuh dengan penuh kasih sayang dan lemah lembut. Perlu diingat gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat antaranya berpunca daripada kepupusan perasaan kasihan belas dan kemesraan dalam rumah.
Justeru, apabila berlaku kesilapan atau kesalahan oleh anak, ibu bapa perlu menilai semula kemungkinan itu berpunca daripada kesilapan mereka yang gagal mewujudkan keharmonian rumah tangga seperti dituntut Islam.
Dalam konteks kekeluargaan pula, suami isteri perlu bertolak ansur dan berbelas kasihan antara satu sama lain menguruskan rumah tangga. Ia selaras objektif perkahwinan dalam Islam untuk menyuburkan kasih sayang dan kemesraan antara suami isteri bagi mengecapi kebahagiaan sejati
MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.