Fahami Perlembagaan Elak Sentuh Isu Sensitif


Bukan semua perkara boleh dibincang terbuka bagi jamin perpaduan, keharmonian

org-melayu-protes3Perlembagaan Persekutuan merupakan udang-undang utama dan tertinggi negara kita. Kefahaman mendalam terhadap perkara-perkara asas dalam perlembagaan dapat membentuk rakyat Malaysia menjadi warganegara yang bertanggungjawab terhadap negara dan masyarakat sekelilingnya. Sekiranya setiap rakyat memahami dan menghayati beberapa peruntukan utama yang terkandung dalam perlembagaan maka kita yakin tidak akan berbangkit isu-isu sensitif seperti isu perkauman, keagamaan dan soal-soal mengenai kebebasan. Setiap rakyat mesti tahu menjaga batas-batas yang ditetapkan oleh perlembagaan bagi menjaga keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Hakikatnya, generasi muda harus dididik mengenai Perlembagaan Malaysia. Sekurang-kurangnya terdapat lima peruntukan asas dalam perlembagaan yang mesti difahami dan dihayati. Perkara asas terbabit ialah perkara berkaitan bahasa, agama, hak-hak istimewa Bumiputera, kewarganegaraan dan hak asasi (kebebasan). Sejak dulu lagi perkara terbabit dianggap sebagai kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin pelbagai kaum di negara ini.

Kedudukan bahasa Melayu

Peruntukan berkaitan dengan bahasa disebutkan di bawah Perkara 152 yang menegaskan bahawa bahasa kebangsaan bagi negara ini ialah Bahasa Melayu. Akta Bahasa Kebangsaan 1963(pindaan 197), Perkara 150 Fasal 6A dan Dasar Pelajaran Kebangsaan turut memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Akta Bahasa Kebangsaan 1967 memperuntukkan BM sebagai satu-satunya bahasa rasmi tunggal. Seksyen 17(1) Akta Pendidikan meletakkan kedudukan BM sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Kedudukan BM sebagai bahasa pengantar ilmu juga diwartakan dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang memansuhkan Akta Pendidikan 1961. Namun, peruntukan terbabit tidak menghalang atau mengengkang kaum-kaum lain menggunakan bahasa ibunda mereka termasuk dalam sistem pendidikan. Pengecualian penggunaan bahasa Melayu dibenarkan di bawah Seksyen 17(2) Akta Pendidikan bagi institusi pendidikan yang bahasa pengantar utamanya bukan bahasa kebangsaan tetapi BM hendaklah diajar sebagai mata pelajaran wajib.

Hakikatnya bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan adalah untuk menjadi medium penyatuan nasional dan sekali gus menjadi lambang dan identiti bagi negara. Ia menjadi sebahagian daripada jati diri nasional yang berfungsi sebagai bahasa penyatu bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Proses pemilihan dan penetapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah melalui kesepakatan dan tolak ansur dalam kalangan kesemua kaum di negara ini.

Sultan, Raja ketua agama Islam

Berhubung dengan agama pula, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memaktubkan agama bagi Persekutuan ialah agama Islam, tetapi agama-agama lain boleh dianuti secara aman dan harmoni di mana-mana bahagian Persekutuan. Institusi yang ada kaitan langsung dengan kedudukan agama Islam ialah Sultan atau Raja. Perlembagaan menyatakan bahawa Sultan atau Raja sesebuah negeri ialah ketua agama Islam bagi negeri tersebut. Bagi negeri-negeri yang tidak diperintah oleh Sultan atau Raja pula akan diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong.

Peruntukan ini sepatutnya diketahui, difahami dan dihormati oleh setiap rakyat Malaysia kerana ia bukan sahaja meletakkan kedudukan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan tetapi juga menjunjung tinggi pengamalan keagamaan yang dilihat selari dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan.

Pada dasarnya, pemilihan agama Islam sebagai agama Persekutuan dibuat berdasarkan faktor sejarah dan warisan sosiobudaya di negara ini. Namun, agama lain di negara bebas diamalkan dan mereka diberi hak untuk membina rumah-rumah ibadat mereka bagi menjalankan upacara dan peribadatan keagamaan masing-masing. Pembinaan rumah-rumah ibadat ini mestilah mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan. Kebebasan beragama ini selari dengan Perkara 11 perlembagaan.

Pun begitu, Perkara 11 (4) Perlembagaan memperuntukkan “Undang-undang Negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam”.

Hak istimewa orang Melayu

Hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputra dinyatakan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Malaysia. Pemberian hak-hak istimewa ini perlu dilihat dan difahami daripada perspektif sejarah. Takrif Melayu dinyatakan di dalam Perkara 160 (2) yang menyebut orang Melayu itu mestilah beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Berdasarkan peruntukan 153 maka dapat difahami bahawa terdapat tiga bidang yang menjadi keistimewaan bagi orang-orang Melayu dan bumiputra di Sabah dan Sarawak, iaitu perkhidmatan awam, ekonomi dan pendidikan. Peruntukan hak keistimewaan ini adalah diletakkan di bawah kuasa Yang Di-Pertuan Agong. Baginda atas nasihat jemaah menteri berhak untuk menentukan perizaban jawatan di dalam sektor awam bagi orang Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak.

Berkaitan aspek ekonomi, orang-orang Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak digalakkan untuk menyertai sektor ekonomi, industri dan perniagaan. Ini bagi mengimbangi kedudukan ekonomi kaum lain yang jauh lebih maju berbanding mereka kesan daripada amalan penjajah. Justeru, mereka perlu dibantu melalui dasar affirmative termasuk mempermudah kelulusan permit atau bantuan kepada mereka dalam hal-hal berkaitan ekonomi. Manakala di dalam bidang pendidikan pula, keistimewaan harus diberi kepada mereka dalam soal pemberian biasiswa.

Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah Perkara 89 dan 90 yang memberikan kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang sedia ada melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.

Hak Kewarganegaraan

Satu lagi perkara asas yang wajar diketahui oleh kita selaku warganegara Malaysia ialah perkara berkaitan dengan hak-hak kewrganegaraan. Perkara mengenai Kewarganegaraan ini terkandung di dalam Bahagian 3 Perlembagaan Malaysia. Dalam konteks ini, Perkara 14 hingga 22 menyatakan mengenai hak serta cara-cara mendapatkan kewarganegaraan Malaysia. Manakala Perkara 23 hingga 28 pula adalah berkaitan cara bagaimana seseorang wargannegara boleh terlucut dan dilucutkan hak kewarganegaraanya.

Secara umumnya kewarganegaraan seseorang itu boleh didapatkan melalui kuat kuasa Undang-Undang, secara pendaftaran atau permohonan melalui cara kemasukan dan melalui percantuman wilayah. Kewarganegaraan Malaysia melalui cara Kemasukan terbuka bagi individu atau warga asing yang berumur lebih daripada 21 tahun dan berminat untuk menjadi warganegara Malaysia.

Antara syarat-syaratnya ialah individu terbabit telah menetap di Persekutuan Malaysia selama sepuluh daripada dua belas tahun sebelum tarikh permohonan, berniat menjadi pemastautin tetap di Malaysia, mempunyai tingkah laku yang terpuji dan mempunyai pengetahuan Bahasa Malaysia.

Di sisi yang lain, hak-hak kewarganegara Malaysia boleh terlucut atau dilucutkan oleh Perlembagaan Malaysia jika melakukan sesuatu tindakan yang bertentangan dengan kehendak perlembagaan. Antaranya individu itu tidak lagi berminat untuk mengekalkan kewarganegaraan dengan menjadi warganegara asing. Kewarganegaraan juga boleh dilucutkan jika individu itu tidak lagi setia kepada negara melalui tindakan atau percakapannya. Ini termasuk menjalankan perhubungan atau perniagaan dengan negara atau musuh negara seperti Israel.

Begitu juga dengan individu yang telah bermastautin di negara asing selama lebih daripada lima tahun secara berterusan dan tidak pernah melapor atau mendaftardi Pejabat Konsul Persekutuan boleh dilucutkan kewarganegaraannya. Proses pelucutan kewarganegaraan ini boleh dilakukan oleh pihak kerajaan melalui proses kehakiman.

Hak asasi

Satu lagi isu yang sering mengundang kontroversi ialah perkara berkaitan dengan hak asasi. Hak Asasi adalah perkara asas yang perlu dinikmati oleh rakyat. Terdapat sembilan peruntukan hak asasi di dalam perlembagaan (perkara 5 hingga Perkara 13). Jelaslah bahawa Perlembagaan Persekutuan memperakui dan mengiktiraf hak setiap individu seperti hak untuk beragama, hak untuk mengumpul harta, hak untuk mendapat peluang pendidikan, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan. Selain itu, setiap warganegara Malaysia tidak boleh dijadikan abdi atau menjadi buruh paksa oleh mana-mana pihak.

Semua rakyat mendapat perlindungan dan kesamarataan di sisi undang-undang dan seseorang yang didakwa perlu mendapat perbicaraan yang adil. Malah, tertuduh juga tidak boleh dituduh dengan tuduhan yang sama buat kali kedua, sekiranya telah dilepas dan dibebas oleh mahkamah atas tuduhan yang sama.

Hakikatnya, perlembagaan tidak menyekat kebebasan dan pergerakan seseorang kecuali atas sebab-sebab keselamatan, kesihatan awam dan hukuman seperti hukuman kediaman terhad. Bagaimanapun, pergerakan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak adalah tertakluk kepada undang-undang imigresen negeri terbabit seperti yang telah dipersetujui ketika pembentukan Persekutuan Malaysia 1963.

Sayugia diingat bahawa kebebasan yang diberi oleh perlembagaan itu tidak bermakna semua perkara boleh dibincangkan secara terbuka kerana isu-isu sensitif seperti isu berkaitan agama, bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-raja adalah dilarang dibicarakan secara terbuka. Isu terbabit perlu difahami dan tidak disentuh sewenang-wenangnya demi menjadi perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat Malaysia.

Hayatilah sebahagian daripada petikan Pemasyuran Kemerdekaan 1957: “ Dan bahawa sanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan dan keutamaan hak-hak Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berpelembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen”. BH13/11/2013
_______________________________________________________
Penulis ialah Penganalisis Media di bahagian Penerbitan dasar negara, Jabatan penerangan, kementerian Komunikasi dean Multimedia.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,162 other followers

%d bloggers like this: