HARI ARAFAH & HARI NAHAR


 

 
Penulis Tamu: Ust Lukman MS.

Bismillah, alhamdulillah, wassolaatu wassalaamu ala Rosulillah;

Beberapa hari lagi kita akan bertemu dengan hari yang agung, hari yang mendapat penyaksian Allah. itulah hari Arafah. kemudian, datang pula hari raya Adha, hari Haji Akbar @ hari Nahar. Bagi tiap-tiap hari tersebut kedapatan hukum-hukumnya yang tertentu. Kita akan menyentuh beberapa hukum yang berkaitan dengan kedua-dua hari ini agar kita dapat mendepaninya dengan ilmu, mendapat petunjuk dan hidayah Allah.

Diantara hukum yang paling penting adalah yang berkaitan dengan ibadah puasa pada hari arafah. Terdapat pelbagai faedah dan keistimewaan berpuasa. Maksud firman Allah menjelaskan kelebihan puasa sunat: “…Barangsiapa yang melakukan kebajikan dengan kerelaan hati, maka itu adalah lebih baik baginya…” [al-Baqarah 2:184]. “…Lakukanlah kebaikan, semoga kamu beroleh kejayaan.” [al-Haj 22:77]. Setiap insan sangat memerlukan amalan soleh sebagai mendekatkan diri kepada Allah. Amalan soleh ini pula hendaklah dilakukan atas dua tujuan:

1- Mendekatkan diri kepada Allah.

Imam Ahmad berkata: “Puasa adalah ibadah sunat yang paling baik kerana ia tidak didatangi riya`. Seperti yang diketahui, riya` akan memusnahkan amalan dan mengheret pelakunya ke dalam neraka (semoga kita dipelihara). Kerana itu kita dituntut melakukannya dengan penuh keikhlasan.” Firman Allah: “Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus…” [al-Bayyinah 98:5].

Sabda Nabi: “Kata Allah: Aku maha kaya daripada sebarang kesyirikan. Barangsiapa yang melakukan amalan dengan mensyirikkan Aku, maka Aku berlepas diri darinya dan apa yang dipersekutukannya.” [Ahmad]. Sabda Nabi lagi: “Ya Allah! Haji yang tidak mengandungi riya`dan sum`ah”. [ibnu Majah. al-Bani mensahihkan dalam Sahih al-Jami`, no: 1313].

Umumnya, ibadah puasa dapat menjauhkan kita dari api neraka. Sabda Nabi: “Tiada seorang hamba yang berpuasa satu hari di jalan Allah melainkan dijauhkan mukanya dari api neraka 70 tahun.” [Muttafaq alaih]. Banyaknya puasa adalah tanda seseorang itu dikasihi Allah dan mendapat kedudukan yang tinggi di sisiNya. Orang yang dikasihi Allah juga akan mendapat tempat di sisi penghuni bumi dan langit. Sabda Nabi: “Allah berfirman: “Senantiasalah seorang hamba mendekatkan diri kepadaKu sehingga Aku mengasihinya.”

2- Menampung kekurangan pada amalan.

Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, kekurangan dan maksiat. Kerana itu disyariatkan amalan-amalan sunat bagi menampung kecacatan amalan fardhu. Sabda Nabi: “Amalan sunat akan meyempurnakan kekurangan amalan fardhu pada hari kiamat.” [Ahmad dan Abu Daud dan lain-lain. Ahmad Syakir mensahihkan dalam Tahqiq Musnad]. Maka kerana itu, seorang muslim hendaklah berusaha menambah pahala dan pahala tidak akan datang melainkan kita melakukan amalan yang wajib dan memperbanyakkan amalan sunat. Antara amalan sunat tersebut adalah puasa hari Arafah.

Kelebihan Puasa Hari Arafah.

Puasa Arafah adalah puasa pada 9 Zulhijjah. Ulama telah bersepakat bahawa puasaArafah adalah puasa yang paling afdhal berbanding hari-hari yang lain. Sabda Nabi: “Aku berharap daripada Allah dengan puasa hari Arafah, akan dihapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang.” [Muslim]. Puasa Arafah mengangkat darjat, memperbanyak kebaikan dan menghapus dosa.

 

Dosa Apakah Yang Dihapuskan?

Dosa yang dimaksudkan di dalam hadis adalah selain dosa besar. Dosa kecil pula akan terhapus jika kita meninggalkan dosa besar. Firman Allah: “Jika kamu meninggalkan dosa-dosa besar yang dilarang keatas kamu, nescaya kami menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu (dosa-dosa kecil).” [an-Nisa`4:31]. Sabda Nabi: “Solat lima waktu, antara dua Jumaat dan antara dua Ramadhan, menghapuskan dosa diantara keduanya, jika dia meninggalkan dosa-dosa besar.” [Muslim].

 

Puasa Arafah untuk yang tidak melaksanakan haji sahaja ;

Disunatkan puasa hari Arafah bagi orang yang tidak melakukan haji. Manakala jemaah haji hendaklah memberi perhatian kepada ibadah dan doa, tidak menyibukkan diri dengan makan dan minum sehingga merugikan masanya. Dari Abi Hurairah: “Rasulullah melarang puasa hari Arafah di Arafah.” [Ahmad dan ibnu Majah. Kesahihannya dipertikaikan]. Tabrani meriwayatkan daripada Aisyah dengan makna yang sama. Disokong dengan hadis Bukhari dan Muslim: “Orang ramai mengadu berkenaan puasa Nabi pada hari Arafah, maka dikirimkan kepada Nabi satu mangkuk susu. Baginda minum susu tersebut pada waktu Dhuha hari Arafah dan orang ramai menyaksikannya.” [Bukhari dan Muslim]. Maka dengan itu, Nabi telah menghilangkan keraguan berkenaan hukum puasa Arafah bagi yang melakukan haji. Kata sebahagian ulama: larangan dalam hadis di atas membawa maksud haram. Kata ibn al-Qayyim: “Antara petunjuk Nabi adalah tidak berpuasa pada hari Arafah di Arafah.”

Kata al-Mundziri: “Ulama berkhilaf berkenaan puasa hari Arafah di Arafah. Kata ibnu Umar: “Nabi tidak berpuasa, Abu Bakar, Umar dan Usman juga tidak berpuasa. Maka aku juga tidak berpuasa.” Abdul Razzaq menyebutnya dengan lafaz: “Aku mengerjakan haji bersama Umar dan dia tidak berpuasa. begitu juga Usman. Maka aku juga tidak berpuasa, tidak menyuruh dan tidak menegahnya.” Kata `Ato`: “Barangsiapa yang tidak berpuasa hari Arafah dengan tujuan menjadi lebih bertenaga untuk berdoa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa.” [Musannaf Abdul Razzaq 4:284,285].

Kata as-Sa`ati dalam al-Fath ar-Rabbani: “Antara yang berpendapat dengan sunat tidak berpuasa bagi yang berada di arafah adalah para imam; Abu Hanifah, Malik, as-Syafi`e, Sufian al-Thauri dan jumhur ulama. Ia juga adalah pendapat Abu Bakar, Umar, Usman dan ibnu Umar. Kata as-Sa`ati: “Pendapat ini yang paling adil disisiku.”

Puasa Sunat Bagi Orang Yang Wajib Qadha`:

Ulama`berselisih pendapat tentang hukum puasa sunat sebelum seseorang selesai menqadha`puasa ramadhan;

1) Mazhab Hanafi mengatakan harus dan tidak makruh kerana puasa qadha`tidak wajib dilakukan dengan segera. Kata ibnu Abidin: “Sekiranya ia wajib dengan segera maka pasti hukum puasa sunat adalah makruh kerana ia telah melewatkan yang wajib dalam waktunya yang sempit.”

2) Mazhab Maliki dan Syafi`e melihat keharusannya beserta makruh kerana ia sudah pasti melewatkan puasa wajib. Kata ad-Dasuqi: dimakruhkan puasa sunat bagi orang yang masih belum menyelesaikan puasa wajib seperti nazar, qadha`dan kaffarah sama ada puasa sunat itu muakkad ataupun tidak, seperti puasa `Asyura`dan 9 Zulhijjah mengikut pendapat yang kuat.

3) Mazhab Hambali mengatakan haram puasa sunat sebelum puasa qadha` Ramadhan dan puasa sunat itu dikira tidak sah, walaupun waktu qadha`masih panjang. maka hendaklah dimulakan dengan qadha`sehingga selesai kemudian nazar (jika ada) seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawasanya Nabi bersabda: Barangsiapa yang masih belum menqadha`puasa Ramadhan, tidak akan diterima daripadanya puasa sunat sehingga dia berpuasa qadha`.” [Ahmad]. Hukum ini juga berdasarkan qias kepada haji iaitu tidak boleh melakukan haji sunat atau untuk orang lain sebelum dia sendiri melakukan haji yang wajib. [Mausuah Fiqhiah 28:100].

Lajnah Daemah Lil Buhus Wal Ifta’ ditanya: “Adakah harus seseorang itu menghimpunkan dua niat dalam satu amalan? Contohnya dengan menghimpunkan antara puasa qadha`dan puasa hari Arafah; yang pertamanya wajib dan keduanya pula adalah sunat? Jawapan Lajnah: “Tidak mengapa berpuasa qadha`pada hari Arafah dan dia tidak mendapat kelebihan puasa hari Arafah disebabkan ketiadaan dalil. Yang paling afdhal adalah menyelesaikan puasa qadha`pada selain hari Arafah, bagi mendapat kedua-dua fadhilat; fadhilat qadha`dan fadhilat puasa hari Arafah.” [10: 397,398].

 

Padang Arafah tahun 1950M

 

Hari Arafah Dan Hari Jumaat.

Sekiranya hari Arafah (9 zulhijjah) atau `Asyura` (10 zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat, harus berpuasa pada hari Jumaat tersebut. Larangan berpuasa pada hari Jumaat yang disebut didalam hadis adalah sekiranya puasa itu kerana dan pada hari Jumaat sahaja tanpa ada sebab yang lain. Bagi hari Arafah, adalah lebik afdhal kita berpuasa sehari sebelum hari Jumaat tersebut sebagai jalan untuk beramal dengan kedua-dua hadis. Sebaliknya kita dilarang untuk berpuasa sehari selepas hari Arafah kerana hari tersebut adalah hari raya. Hari raya adalah hari yang diharamkan berpuasa sama ada bagi jemaah haji atau bukan berdasarkan hadis Abi Said bahawa Rasulullah melarang berpuasa pada dua hari raya; raya Fitri dan raya Korban. [Muttafaq alaih].

Abu Ubaid, hamba kepada ibn al-Azhar meriwayatkan: “Aku bersama Umar pada hari raya. Umar datang bersolat kemudian berkhutbah: “Sesungguhnya Nabi melarang berpuasa pada dua hari ini; hari kamu berbuka dari puasa dan hari kamu makan dari binatang sembelihan.” [Bukhari dan Muslim]. Larangan di sini bermaksud haram.

Ulama bersepakat tentang pengharaman berpuasa pada dua hari raya. Ibnu Hazam menukilkan ijma`ini. [Maratib al-Ijma`ms:72]. Ibnu Hubairah dan ibnu Qudamah pula menambah: “Pengharaman ini merangkumi puasa fardhu, sunat, qadha` nazar dan kaffarah.” [ al-Ifsah 3:174]. 

Begitu juga dengan puasa sunat hari Isnin, Khamis dan hari Putih (13,14 dan 15 pada setiap bulan) sekiranya jatuh pada hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) berdasarkan hadis Nubaisyah al-Hudzali katanya: “Kata Rasulullah: Hari Tasyriq adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” [Bukhari, Muslim dan lain-lain]. Ia tidak diberi kelonggaran untuk berpuasa melainkan untuk jemaah haji (Tamattuk dan Qiran) yang tidak mampu membeli binatang sembelihan. Mereka hendaklah berpuasa 10 hari; tiga hari ketika melakukan haji dan tujuh hari lagi apabila telah pulang ke tempat masing-masing berdasarkan hadis Aisyah dan ibnu Umar: “Tiada kelonggaran untuk berpuasa melainkan kepada jemaah haji yang tidak mempunyai binatang sembelihan.” [Bukhari].

 

Solat Raya Dan Solat Jumaat.

Sabda Nabi: “Telah berhimpun dua hari raya pada hari ini (Jumaat). Maka dibolehkan untuk tidak hadir solat Jumaat. Walaubagaimanapun kami akan mengerjakan kedua-duanya (solat sunat Idul Adha dan Jumaat).” Inilah sunnah Nabi dan yang afdhal kerana solat raya adalah fardhu kifayah bahkan fardhu ain pada pendapat sebahagian ulama kerana Nabi memerintahkan perempuan yang telah baligh dan haidh untuk hadir menyaksikan solat raya tanpa mereka masuk ke tempat solat. Kata ulama: “Inilah dalil kewajipannya pada setiap individu.” Adapun jumhur ulama mengatakan ianya adalah fardhu kifayah. 

Pendapat yang sahih dalam masalah ini; barangsiapa yang solat raya, maka tidak wajib baginya solat Jumaat. Sekiranya dia tidak hadir solat raya disebabkan keuzuran yang tertentu, maka wajib baginya solat Jumaat. Sementara para imam, mereka wajib mengerjakan kedua-duanya sekali kerana solat tidak dapat didirikan tanpa mereka. Wallahu a`lam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: