Usul potong RM10 gaji AG, ketua SPRM ditolak


Persidangan Dewan Rakyat menolak dua usul Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) untuk memotong RM10 dari gaji Peguam Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Semasa membentangkan usul pertamanya terhadap gaji Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Lim mendakwa Abdul Gani telah memberi keterangan palsu dalam siasatan insiden ‘mata lebam’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Beliau juga mendakwa Abdul Gani tidak pernah menafikan dakwaan berkenaan meskipun dakwaan itu dibuat oleh pegawai penyiasat kes itu iaitu Datuk Mat Zain Ibrahim.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee kemudiannya memutuskan usul pertama itu ditolak setelah undian secara belah bahagian dibuat dengan 50 ahli parlimen pembangkang menyokong usul dan 85 penyokong kerajaan pula tidak bersetuju.

Pada usul keduanya Lim mendakwa Malaysia adalah negara yang paling buruk prestasinya di kalangan negara-negara Asia Pasifik dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International sejak 16 tahun kebelakangan ini yang juga ditolak oleh Dewan Rakyat setelah majoriti suara menolak usul berkenaan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz ketika menjawab usul terhadap gaji Peguam Negara berkata, perkara berkenaan akan dipanjangkan ke dalam mesyuarat Kabinet untuk tindakan susulan.

“Demi keadilan semua pihak terutama Peguam Negara, saya memerlukan notis mengenainya dan ia juga tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat kerana pada masa ini beliau tiada dalam negara kerana sedang mengerjakan ibadah Haji di Mekah,” kata beliau.

Dalam pada itu Mohamed Nazri berkata tiada indeks lain selain Indeks Persepi Rasuah (CPI) yang boleh diambil kira sebagai kayu pengukur bagi memastikan seluruh dunia dapat melihat usaha Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Namun CPI adalah berkait rapat dengan persepsi dan ia bukan realiti. Kadang-kadang persepsi yang lahir dari kenyataan liar itu dibuat tanpa fakta jelas. Ini sudah tentu akan mempengaruhi indeks kita yang tak semestinya tunjuk kesungguhan kita untuk melawan nak hapuskan rasuah di negara kita,” katanya.

Sehubungan itu Mohamed Nazri meminta semua ahli parlimen terutamanya parti pembangkang supaya bersama-sama mencari jalan memerangi rasuah dan bukannya terus mengkritik kedudukan negara yang mendapat 0.1 mata lebih rendah berbanding tahun sebelumnya.

Beliau juga berpendapat ketika ini agak sukar untuk Malaysia mendapat skor yang baik dalam CPI berbanding sebelum ini kerana beberapa perubahan yang berlaku di Malaysia.

“Misalnya keterbukaan. Mungkin 15 tahun dulu skor tinggi. Masa itu mungkin takda keterbukaan seperti sekarang. Maka maklumat tak dapat disebar begitu meluas,” katanya.

– Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: