MCA perlu fikir hak pelbagai kaum


MUHYIDDIN menyampaikan bantuan pada pelancaran Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

MUHYIDDIN menyampaikan bantuan pada pelancaran Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR: MCA diingatkan supaya berhati-hati menyatakan pendirian mereka terutama dalam isu membabitkan kepentingan Bumiputera supaya tidak menimbulkan keresahan dan kemarahan kaum berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata walaupun pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk MCA berhak memperjuangkan kepentingan kaum Cina, pendirian yang mereka ambil seharusnya tidak menjejaskan hak dan kepentingan kaum lain.

“Walau apa pun yang hendak diperjuangkan oleh pemimpin mana-mana kaum, itu hak mereka tetapi jangan sampai ia menjejaskan kaum lain. UMNO memperjuang nasib orang Melayu tapi masih mengambil kira kepentingan kaum lain.

“Jangan kita timbulkan keresahan atau kemarahan hanya kerana hendak pertahan resolusi kita sehingga tidak ambil kira sensitiviti dan hak kaum lain,” katanya pada sidang media pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Skim Prihatin 1Wilayah Persekutuan iaitu skim bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga yang tinggal di Wilayah Persekutuan apabila berlaku kematian.

Muhyiddin mengulas pendirian MCA dan Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang menyokong 13 deklarasi yang diluluskan dalam Kongres Ekonomi Cina Malaysia pada Sabtu lalu.

Soi Lek yang menjawab peringatan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MCA yang kini diterajui kepimpinan baru percaya bahawa pendirian itu mempunyai asas dan wajar.

Sebelum itu, Hishammuddin mengingatkan agar MCA tidak mengambil pendirian menyimpang daripada perjuangan yang sudah disepakati sekian lama dalam BN.

Peringatan Naib Presiden UMNO itu dibuat ekoran kenyataan Soi Lek yang mendesak kerajaan supaya mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera.

Tambah Muhyiddin, soal sama ada MCA ingin bersama DAP merupakan perkara kedua kerana apa yang penting pendirian yang diambil mereka tidak sepatutnya boleh menimbulkan prasangka, buruk sangka, kemarahan dan mengguris sensitiviti kaum lain.

“Jika ia mempunyai hubung kait dengan dasar kerajaan, MCA harus tahu dan faham apakah pendirian kerajaan tentang soal hak istimewa bumiputera dan semangat menyeimbangkan pengagihan kekayaan dalam negara ini.

“Pendirian kerajaan adalah amat jelas dalam perkara ini iaitu kita tidak akan berkompromi terutama dalam soal menyentuh kepentingan kaum dan bumiputera,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin menjelaskan bahawa tuntutan Melayu untuk mendapat 30 peratus kekayaan bukannya satu tuntutan melampau kerana sasaran Dasar Ekonomi Baru itu sehingga kini masih belum tercapai.

Sedangkan, katanya, kaum Cina sudah menguasai lebih daripada 40 peratus kekayaan negara dan Melayu tidak pernah sekalipun iri hati.

“Kecualilah jika kekayaan Cina berbanding dahulu semakin menurun kerana diambil oleh Melayu, itu boleh kita faham dan pertimbang.

“Jadi adakah adil jika MCA tuntut supaya apa yang diperjuangkan Melayu untuk menguasai 30 peratus itu secara adil itu sebagai sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Tegas Muhyiddin, desakan MCA itu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana sejarah membuktikan bahawa kepincangan dalam masyarakat telah berlaku kerana pengagihan kekayaan tidak dilakukan secara adil dan saksama.

“Ia sebagaimana yang berlaku pada 1969. Kerajaan berharap ia tidak berlaku lagi. Oleh sebab itulah kita sasarkan ada perseimbangan penguasaan kekayaan negara secara adil dan saksama,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: