Setelah Anwar ‘habis cara’ bersilat…akhirnya tiba giliran Saiful ‘ buka langkah’


Walaupun perbicaraan pokok tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dijangka bermula di Mahkamah Tinggi jam 2.30 petang, Rabu, namun boleh kata Ketua Pembangkang itu sebenarnya sudah ‘tewas’ kepada sistem perundangan.

Segala usahanya melalui peguam-peguan tersohor termasuk mempertikai kumpulan pendakwa serta memohon mendapatkan dokumen dan bahan kes penting antaranya sampel DNA Mohd Saiful gagal.

Usaha terakhirnya memohon mahkamah mengenepikan pertuduhan liwat juga tidak berhasil dan kini perbicaraan sebenar kes yang sudah lebih setahun tertangguh itu bakal menjadi tumpuan ramai dalam dan luar negara.

Apapun, melalui sisa-sisa terakhir, pagi Rabu pihak pembelaan yang mewakili Anwar akan bertemu dengan dengan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff di Putrajaya.

Ianya bagi memohon tarikh awal semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu yang menolak permohonan Anwar mendapatkan dokumen dan material penting termasuk sampel DNA Mohd Saiful bagi persediaan pembelaan kes liwat itu.

Itulah saja satu-satunya ruang bagi Anwar melambat-lambatkan perbicaraan sekiranya Alauddin bersetuju dengan permohonan itu dan memberikan tarikh baru perbicaraan yang sudah ditetapkan hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, petang esok.

Peguam utama Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah petang Selasa, Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi, mengarahkan Alaudin mengaturkan pertemuan itu dengan peguam Anwar esok di dalam kamar.

Pihak pembela Anwar berkenaan.berpendapat semakan itu penting bagi meneruskan perbicaraan kerana Karpal antara lain mendakwa laporan perubatan yang dimilikinya tidak menyebut bahawa plastik dimasukkan ke dalam dubur Saiful.

Tersepit dengan peluang nipis itu, Anwar cuba mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak serta isteri Datin Seri Rosmah Mansor kononnya mereka bersepakat dengan Mohd Saiful untuk memiftnahnya.

Anwar dengan begitu yakin memberitahu media di lobi Kompleks Mahkamah Jalan Duta bahawa beliau ada bukti pembabitan Najib serta Rosmah dan akan mengeluarkan sapina meminta kedua-dua mereka hadir perbicaraannya kelak.

Jelas sekali, penasihat PKR itu mahu orang lain kena getah, walaupun dia sebenarnya yang didakwa makan nangka. Beliau barangkali tidak sedar dirinya sudah tewas kepada sistem perundangan kerana pelbagai alasan menolak dan menangguhkan pertuduhan terhadapnya hingga melebihi 20 kali sejak kes itu mula didengar pada 7 Ogos 2008.

Ada yang berpendapat Anwar juga tewas disegi moral agama apabila enggan bersumpah laknat sama seperti dilakukan Mohd Saiful yang mahu membuktikan beliau benar-benar diliwat mantan timbalan perdana menteri itu.

Sementara itu, insan yang paling tidak sabar dalam perbicaraan ini adalah Mohd Saiful. Selain menjadi mangsa liwat yang didakwa berlaku di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara jam 3.01 petang dan jam 4.30 petang 26 Jun 2008, hak beliau dalam kes itu hampir dinafikan apabila Anwar menggunakan pelbagai cara bagi membatalkan pertuduhan tersebut.

Sejak pagi Mohd Saiful ditemani bapanya Bukhari Azlan Lazim serta peguam Zambri Idrus sabar di bilik lain tidak jauh dari Mahkamah Tinggi 3, tempat kes Anwar didengar hakim Mohd Zabidin.

Walaupun nampak keletihan, beliau yang ditemui media sebaik kes itu ditangguhkan, sekali lagi menjelaskan kesiapsediaannya memberi keterangan jika kes itu mula dibicarakan petang esok.

Persoalannya kini, apakah Anwar dapat mempertahankan dirinya daripada pertuduhan kali ke dua selepas tuduhan pertama meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar pada tahun 2000?

Beliau disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos 2000, tetapi dibebaskan pada September 2004 selepas menghabiskan hampir enam tahun di penjara selepas Mahkamah Persekutuan menggugurkan sabitan dan mengenepikan hukuman penjara itu.

Anwar dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dituduh meliwat Azizan antara Januari dan Mac 1993 di apartmen Sukma di ibunegara.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu kini didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kali ini, Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan dan dibantu dibantu lima Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Noorin Badaruddin dan Shamsul Sulaiman.

Anwar pula menghimpunkan sekumpulan 13 peguam untuk membelanya.

Mereka ialah peguam bela utama Raja Aziz Addruse, Datuk Param Cumaraswamy, Karpal Singh, Datuk C V Prabakharan, S N Nair, Wan Anuar Shadat, R Sivarasa, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin.

Jika pada kes lalu, Anwar mengaitkan konspirasi Tun Dr Mahathir Mohamad, kini sebab sama dijadikan alasan dengan Najib pula sebagai sasaran.

Hakikatnya dalam menilai tindak tanduk Anwar mengelak seribu satu macam dan menuduh sana sini, seperti kata Rajalawak Nabil, “ Lu Fikirlah Sendiri”.-2/2/.2010


KES LIWAT ANWAR VS SAIFUL : LANGSUNG DARI MAHKAMAH SELASA 2 FEBRUARI

3.40 PETANG – AKHIRNYA – Perbicaraan sebenar kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dinanti-nantikan akan bermula di Mahkamah Tinggi KL 2.30 petang esok.Hakim Mohd Zabidin Mohd Diah putuskan tak sebab tertentu yang istimewa nak tangguh lagi.Dalam pada itu peguam Anwar akan bertemu dengan Hakim Tan Sri Alaudin Mohd Sherif bagi menetapkan tarikh dengar semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang tolak beri dokumen kes.

2.30 PETANG – Datuk Seri Anwar tiba mahkamah untuk sambung kesnya.Setakat ini suasana di mahkamah masih lengang.Adalah sekitar 50 orang awam sekitar mahkamah.Polis mengenakan kawalan lebih ketat berbanding pagi tadi.Semua jurukamera tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan.Mereka hanya di tangga lobi mahkamah saja.Hanya wartawan dibenarkan masuk.

11.00 PAGI – Ada berbagai kemungkinan termasuk perbicaraan kes liwat yang asalnya dijadual bermula hari ini tidak dapat dijalankan.Ini kerana mahkamah kena buat penentuan keatas dua hal lagi iaitu permohonan peguam Datuk Seri Anwar bagi semakan keputusan Mahkamah Persekutuan tolak beri dokumen-dokumen kes dan permohonan kes ditangguhkan.

10.30 PAGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang akhbar sekitar jam 10.20 pagi sebelum meninggalkan mahkamah cuba seret Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri ke dalam kes liwatnya.Beliau dakwa ada bukti mereka terlibat konspirasi dengan Saiful Bukhari Azlan untuk fitnahnya.Katanya beliau akan minta peguamnya sapina Najib dan Rosmah hadir ke mahkamah sebagai saksi.

10 PAGI – perbicaraan ditangguh ke 2.30 petang ini sementara menunggu permohonan semakan pihak pembelaan terhadap keputusan Mahkamah Perseutuan yang tidak benarkan Anwar mendapatkan dokumen-dokumen kes seperti sampel DNA dan sebagainya.Sementara itu jam 9.50 tadii Tian Chua cuba bikin kecoh nak berucap di lobi mahkamah.Polis terpaksa bertindak halang.

9.30 PAGI – DS Anwar tiba di mahkamah jam 8.54 pagi tadi bersama DS Wan Azizah,Nurul Izzah dan dua lagi anak perempuan mereka.Setakat jam 9.15 pagi keadaan di kompleks mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur masih tenang-tenang sahaja.Jumlah penyokong DS Anwar adalah lebih 100 orang.Ada kalangan mereka jerit ‘ reformasi’.Jumlah wartawan yang masuk ke ruang bicara terhad.Antara yang kelihatan ialah Azlan Mohd Lazim,bapa kepada Saiful Bukhari.Ramai yang kumpul di luar.Datuk Nik Aziz Nik Mat tiba jam 9.26 pagi untuk menyertai pimpinan pakatan lain yang sudah hadir.

8.45 PAGI – Keadaan di kompleks mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur tenang-tenang sahaja.Setakat ini cuma nampak kalangan pemimpin pakatan sahaja.Ada kira-kira 50 orang.Tidak kelihatan para penyokong.Paling ramai wartawan dan jurugambar.Polis mengadakan kawalan keselamatan biasa sekitar kawasan mahkamah.

BERITA SEBELUM INI : Perhatian bertumpu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di Jalan Duta dimana penentuan akan dibuat samaada perbicaraan kes dakwaan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sekian lama tertangguh akan bermula atau tidak hari ini.Ia asalnya dijadualkan bermula hari ini.

Kini segalanya bergantung pada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang perlu terlebih dahulu akan mendengar permohonan Anwar bagi penangguhan.

Ini berikutan langkah terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim Khamis lalu memfailkan permohonan bagi menangguhkan prosiding perbicaraan kes liwatnya itu menerusi peguamnya S.N.Nair.

Jumaat lalu Mahkamah Persekutuan di Putrajaya memutuskan bahawa Anwar tidak berhak untuk mendapatkan dokumen penting termasuk sampel spesimen bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan kerana perbicaraan liwatnya belum bermula.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman memberi amaran kepada mana-mana pihak, khususnya penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berniat mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur supaya melupakan hasrat mereka itu.

Katanya pada wartawan di pejabatnya Isnin minggu lepas polis menerima maklumat bahawa ada pihak yang mengajak orang ramai berkumpul, hadir dan mendengar perbicaraan kes yang membabitkan Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok Selasa.

“Setakat ini polis tidak menerima sebarang permohonan oleh mana-mana pihak untuk mengadakan sebarang perhimpunan. Sekiranya ada perhimpunan esok, ia adalah satu perhimpunan haram sepertimana yang peruntukkan Seksyen 27 Akta Polis 1967, (kerana) ia tidak mendapat permit atau lesen untuk mengadakan perhimpunan orang ramai,” katanya..

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang terlibat atau menyertai perhimpunan itu.

Muhammad Sabtu berkata perhimpunan haram itu pastinya akan menimbulkan kesesakan lalulintas di sekitar kawasan terbabit di samping mengganggu keselamatan dan ketenteraman orang awam.

“Saya harap orang ramai tidak menyertai perhimpunan itu demi menegakkan proses keadilan mahkamah yang akan berjalan esok kerana sebarang bentuk perhimpunan merupakan unsur-unsur kepada tindakan untuk menghalang kelancaran dan kelicinan proses keadilan itu,” katanya.

“Tolong dengar dan beri kerjasama, jangan libatkan diri (dengan perhimpunan) esok yang akan menyusahkan orang lain,” tambahnya.-1/2/2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: