Mahkamah tidak boleh selesai isu kalimah “Allah” – Dr Mahathir


Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penyelesaian kontroversi berkenaan kalimah “Allah” tidak boleh dicapai dengan membuat rayuan kepada mahkamah rayuan.

Ini,kata bekas Perdana Menteri itu kerana undang-undang tidak mengambilkira soal sensitif atau tidaknya sesuatu, soal mencetuskan ketegangan dan permusuhan antara penganut-penganut agama yang berlainan.

“Undang-undang mengutamakan maksud undang-undang sahaja,”katanya dalam tulisan terbarunya di laman blognya.

Menurut Dr Mahathir sebenarnya kontroversi ini bermula di waktu beliau masih Perdana Menteri.  “Pendapat Kabinet pada masa itu ialah kegunaannya dalam kitab Injil adalah perkara yang sensitif. Perkara yang sensitif seperti ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya merujuk kepada undang-undang,”ujarnya .

Beliau memberi contoh sebagai perbandingan agak mudah dirujukkan perkataan “kaum pendatang” kepada mahkamah, tetapi ia adalah sesuatu yang sensitif yang tidak dapat diselesaikan oleh undang-undang.

Dr Mahathir berkata sebenarnya kalimah “Allah” tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah.

“Nama bagi Tuhan dalam bahasa yahudi ialah “Yahweh“, yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai “Jehovah”.

“ Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.

“ Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada “Allah” supaya mudah difaham oleh pendengar.

“ Mungkin juga kalimah “Allah” dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan “Tuhan” digunakan untuk God.

“ Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep “Trinity” yang mana terdapat “God the Father, God the Son and the Holy Ghost”. Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan “Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci”, maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam. Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.

“ Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, “God is dead”. Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn “Allah is dead”?

Bekas Perdana Menteri itu berkata di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah “Allah” apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu.

“Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?” beliau bertanya.

Beliau harap pihak kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan. – 5/1/2010

___________________________________________________________________________________________

Kalimah Allah: Ini pula pendirian rasmi PKR

Parti Keadilan Rakyat telah mengambil pendirian rasmi yang ‘paling terbuka’ dalam isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan Herald mengunakan kalimah ‘Allah’.

Pendirian ini dinyatakan menerusi laman blog Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa.Ia dikeluarkan oleh Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR,Dr. Muhd Nur Manuty.

Parti itu berpendirian keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka.

Berikut ialah kenyataan penuh berkenaan:

Merujuk kepada kenyataan kami pada 22 November 2009 mengenai perkara di atas, maka BIPPA PKR sekali lagi ingin menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.

Kami berpendirian bahawa, keinginan masyarakat bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang positif dan perlu diterima secara terbuka dan tidak perlu pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan untuk menjadikan isu ini sebagai agenda politik untuk menampakkan bahawa merekalah jaguh dalam mempertahankan Islam di negara ini.

Sesungguhnya, kami melihat fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani bahawa manusia memperakui penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmannya yang

bermaksud:

“Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah…” (Al Quran, Az-Zumar (39):38).

Adalah jelas bahawa penggunaan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Ini adalah serasi dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan lain-lain agama boleh diamalkan dengan aman dan damai. Sesungguhnya, ini juga bersesuaian dengan muafakat Pakatan Rakyat yang diputuskan baru-baru ini.

Selanjutnya, kami berpandangan perjuangan untuk menegak makruf dan mencegah mungkar akan menjadi lebih mudah dan selesa berasaskan firman Allah:

“Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)” (Surah Ali `Imran(3):64).

Sehubungan itu, demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara semua pihak perlulah menyelesaikan konflik ini dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana (hikmah) sebagaimana saranan Allah mengenainya (Al Nahl: 125 dan Al Ankabut:46).

Sekian. Terima kasih.

Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
05 Januari 2010

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: