Nama Allah: JPM dan KDN akan bawa ke Mahkamah Rayuan


Ekoran keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan akhbar mingguan Herald-The Catolic Weekly menggunakan perkataan “Allah” dalam penerbitan mereka, pelbagai bantahan daripada kalangan umat Islam semakin banyak kedegaran.

Antara desakan yang dibuat ialah mahukan pihak kerajaan segera memfailkan rayuan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.

Sehubungan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom hari Sabtu dalam satu kenyataan berkata, JPM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung dengan keputusan Mahkamah Tinggi Khamis lalu demi memastikan kesucian Islam terpelihara.

Serentak itu beliau meminta semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam agar bertenang dan memberi peluang agar perkara berkenaan diselesaikan melalui proses perundangan negara.

“Saya akan mengambil langkah untuk mengadakan pertemuan dengan pihak NGO dalam masa terdekat bagi mendengar pandangan mereka dan membincangkan perkara ini selanjutnya, ” katanya dalam kenyataan tersebut.

Permohonan menggunakan perkataan Allah dibuat oleh Ketua Paderi Roman Katolik Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam pada 16 Februari 2008 sebagai penerbit majalah Herald-The Catolic Weekly yang memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi menuntut satu deklarasi bahawa keputusan Menteri Dalam Negeri melarang beliau menggunakan perkataan “Allah” dalam majalah itu adalah haram dan perkataan itu bukan eksklusif bagi agama Islam.

Menjelaskan mengenai soal penggunaan nama Allah, Jamil Khir dalam kenyataan tersebut juga menyatakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 mencapai keputusan bersetuju bahawa lafaz “Allah” adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam.

Menurut beliau, dalam persetujuan itu Majlis Fatwa menegaskan “Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

“Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: