2010 Malaysia diharap bangkit lebih ampuh – Najib


Salam 1 Malaysia dan Selamat Menyambut Tahun Baru 2010 kepada Pengunjung-pengunjung yang Amat di Hormati ...daripada Zanas

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap Malaysia akan bangkit lebih ampuh dengan pertumbuhan positif dalam tahun 2010.

Beliau juga berharap agar kadar defisit fiskal kerajaan berkurangan daripada 7.4 peratus kepada 5.6 peratus tahun depan.

“Sungguhpun begitu, matlamat jangka panjang kita bukan semata-mata untuk pulih daripada krisis tetapi yang lebih penting

ialah

mengambil peluang ini untuk meletakkan asas-asas kukuh bagi kemakmuran dan masa depan negara dengan pembaharuan berterusan,” katanya dalam perutusan sempena Tahun Baru 2010 yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini Khamis malam.

Beliau berkata adalah menjadi suatu imperatif kepada kemakmuran masa depan untuk Malaysia meningkat dalam rantaian nilai ekonomi global.

“Merintis jalan ke hadapan bererti mewujudkan ekonomi yang berteraskan pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah yang tinggi,” katanya.

Justeru, Perdana Menteri berkata dalam tahun 2010, kerajaan akan membentangkan dua inisiatif penting iaitu inisiatif jangka panjang melalui satu model ekonomi baru yang akan menjadi panduan hala tuju pembangunan negara menuju 2020 serta tahun-tahun berikutnya.

“Keduanya pula, satu inisiatif yang bersifat jangka pendek dan sederhana dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Sememangnya, kejayaan kedua-dua inisiatif ini memerlukan peranan proaktif setiap rakyat Malaysia.

“Adalah benar, dalam mendepani saat-saat sukar cabaran ekonomi, kita telah bersama meraih kejayaan bukanlah secara kebetulan bahkan dengan membuat pilihan yang bijaksana.

“Saya amat percaya bahawa kunci kepada kejayaan masa depan bukanlah semata-mata kekayaan sumber alam akan tetapi yang lebih utama adalah modal insan yang berilmu dihiasi semangat keusahawanan waja dalam menjana kekayaan baru untuk tanah air,” katanya.

Sambil mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010, Najib mahu seluruh rakyat bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan bersama kerana masih banyak denai dan cabaran yang akan diredahi.

“Apa yang membumbungkan semangat ini adalah kerana saya percaya bahawa saya tidak keseorangan, saya tahu rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi.

“Kita akan bersama penuh optimistik menjulang nama Malaysia,” katanya sambil berharap agar tahun 2010 akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah untuk Malaysia dan rakyatnya.

Najib menyifatkan tahun 2009 merupakan detik waktu yang diselubungi oleh cabaran cukup luar biasa seperti krisis pemanasan global yang telah mengancam kelestarian dan kesejahteraan planet ini serta krisis kewangan sejagat yang julung kali seumpamanya menghentam di luar jangka dan skala sehingga memporak- peranda keluarga serta perniagaan di setiap penjuru dunia.

“Walau apapun dugaan dan rintangan, dengan izin-Nya jua, kita berupaya melalui semua itu bukan dengan duduk bersimpuh, akan tetapi, tegak berdiri, bertindak membuat keputusan yang sukar sekaligus melaksanakan pelbagai dasar secara berhemah,” katanya.

Bernama melaporkan beliau berkata sama ada di peringkat Asean, Apec dan baru-baru ini di Copenhagen, Malaysia telah memainkan peranan sewajarnya dalam mengetengahkan diri di antara pelaku-pelaku utama kerjasama global untuk mencapai kemajuan di lapangan dagang, keselamatan juga perubahan iklim.

“Daripada sudut ekonomi, walaupun kita masih belum pulih sepenuhnya daripada kemelesatan, namun, petanda-petanda memperlihatkan bahawa Malaysia sedang bergerak keluar daripada kemuraman awan mendung dan mencatatkan pertumbuhan kadar dalam negara kasar (KDNK) positif bermula suku keempat tahun ini,” katanya.

Beliau berkata rekod dan catatan lalu memberi keyakinan bahawa Malaysia bukan sahaja akan kembali pulih daripada kemelut yang dialami, malah berpotensi muncul sebagai ekonomi lebih kuat dan makmur.

Hakikatnya, beliau berkata Malaysia telah membuktikan hal ini di celah-celah merudumnya harga komoditi sekitar 80-an dan di tengah-tengah ribut kewangan Asia yang menyerang akhir tahun 90-an juga negara telah bolos dengan formula tersendiri.

“Kita juga telah menggubal dan melaksanakan satu pelan tindakan ke arah membentuk sektor perbankan dan kewangan negara yang lebih kukuh. Hasilnya, dewasa ini kita terselamat di kala banyak negara sedang dirempuh bencana ekonomi akibat kegagalan sistem perbankan dan kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini, rakyat Malaysia harus berani dan tegas untuk melaksanakan perubahan dan pembaharuan untuk terus berada dalam kemakmuran selain melakukan pengorbanan bagi meningkatkan produktiviti, daya saing serta menguasai kemahiran baru.

Perdana Menteri berkata kesan darurat ekonomi global yang melanda menyebabkan kesegeraan kerajaan adalah untuk mengembalikan negara ke landasan pertumbuhan ekonomi yang optimum.

“Ini telahpun kita lakukan melalui pengambilan langkah-langkah konkrit seperti suntikan rangsangan berjumlah RM67 bilion, pembentangan bajet tambahan, liberalisasi sektor terpilih, mencipta pekerjaan, menyediakan perumahan yang selesa, menambah baik khidmat pengangkutan awam dan penstrukturan semula subsidi,” katanya.

Ketika memegang tampuk pemerintahan negara sembilan bulan lalu, beliau telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan yang diutamakan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

“Walaupun ada pihak yang cuba memesong dan mengelirukan inisiatif murni ini, saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia mula memahami falsafah yang melatari konsep 1Malaysia.

“Kekuatan kita terbina di atas nama meraikan perbezaan dan kemajmukan tidak kira tua, muda, Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban ataupun etnik lain. Untuk memastikan matlamat ini terlaksana maka peranan kerajaan haruslah ditransformasi daripada penyedia mutlak kepada pemudahcara terbaik,” katanya.

Beliau berkata masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat Malaysia tanpa mengenal batas dan latar belakangnya.

“Sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah mustahak bagi menentukan kejayaan, tiada rakyat Malaysia yang tidak penting atau terpinggir. Kerajaan mengalu-alukan setiap setiap bakat yang ada. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk di bawah langit Malaysia diambil faedah untuk memakmurkan negara lain,” katanya.

Di bawah pentadbirannya juga, Najib telah menggubal enam bidang keberhasilan utama (NKRA) yang meliputi antaranya mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.

“Di sini ingin saya nyatakan bahawa NKRA dan Petunjuk Indeks Prestasi (KPI) yang ada bukanlah sesuatu yang ‘exhaustive’ atau sudah lengkap kerana kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan idea dan pendapat rakyat.

“Saya yakin bahawa dengan wujudnya sintesis di antara kerajaan dan rakyat, kita akan mendapat idea-idea tersaring untuk menambah baik apa yang ada,” katanya.

One Response to “2010 Malaysia diharap bangkit lebih ampuh – Najib”

  1. elakkan kakitangan kerajaan terutamanya golongan atasan menerima rasuah..jika ini tidak dihapuskan,negara kita akan mundur dan negara kita akan digeruni di mata dunia serta akan menyebabkan ekonomi negara malaysia jatuh keran tiada pelabur asing datang untuk melabur..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: