Kesepakatan pembangkang?


Oleh ZULKIFLEE BAKAR

JIKA di dalam Pas masih ada di kalangan pemimpin atau ahlinya yang masih mencurigai Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kerajaan perpaduan, maka mulai kelmarin mereka harus menghapuskan prasangka itu.

Kalau di dalam Pas masih ada ahlinya, tidak yakin bahawa Presiden Pas tersebut mahu mengukuhkan kerjasama dengan pakatan pembangkang bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, maka mulai kelmarin mereka sudah boleh yakin.

Malah kalau di kalangan ahli dan penyokong Pas masih ada yang berpegang kepada ucapan dasar Abdul Hadi pada muktamar lalu bahawa ‘Islam memimpin perubahan’ melalui kepimpinan Pas maka lupakanlah.

Penulis mengetengahkan perkara-perkara ini kerana mulai kelmarin, sebaik sahaja Abdul Hadi menurunkan tandatangan di kertas yang menggariskan permuafakatan pakatan pembangkang di konvensyen pertama mereka di Shah Alam, maka perjuangan Islam Pas kini di persimpangan.

Ia kerana melalui permuafakatan tersebut, sama ada PKR, DAP mahupun Pas hanya mempunyai satu sahaja matlamat perjuangan. Masing-masing tidak boleh lagi bercakap soal dasar asal perjuangan mereka. Kalau itu dilakukan bermakna mereka ingkar dengan persefahaman yang sudah dicapai.

Kita tidak pasti sama ada hendak mengucapkan tahniah atau berkata kasihan kepada Pas yang akhirnya terpaksa akur dengan kehendak politik PKR dan DAP. Tanpa Pas sedari, PKR dan DAP telah berjaya “memerangkap” parti itu untuk melupakan dasar perjuangannya.

Lihat sahaja apa yang digariskan dalam resolusi permuafakatan tersebut. Ia sudah ibarat manifesto awal pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13. Tiada lagi istilah “negara berkebajikan”. Tiada lagi pembentukan negara Islam dan tiada lagi pelaksanaan undang-undang Islam.

Hanya satu sahaja sebutan perkataan Islam dalam resolusi berkenaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Melalui permuafakatan itu, ia sekali gus mengikat Pas untuk terus berjuang bersamasama PKR dan DAP. Selepas ini Pas tidak boleh berkata apa-apa lagi kerana semuanya sudah dipersetujui secara bersama.

Walaupun di konvensyen tersebut tidak diisytiharkan secara rasmi pembentukan satu parti yang bakal menyaksikan ketiga-tiga parti berjuang dalam satu lambang dan satu manifesto, hakikatnya resolusi tersebutlah petanda awal bentuk manifesto yang akan digunakan oleh ketiga-tiga parti pada PRU13.

Persoalannya, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Pas selepas ini?

Mungkinkah kita boleh mengucapkan tahniah kepada Pas kerana setelah sekian lama, walaupun mampu berdiri sendiri sebagai parti Islam, akhirnya Pas menerima realiti politik Malaysia bahawa jika mereka mahu mendapat sokongan kaum lain, mereka perlu menerima bantuan parti sekular.

Jika sebelum ini mereka mengecam UMNO sebagai sekular kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC tetapi sekarang mereka sendiri terpaksa mengikut jejak tersebut.

Bagi UMNO, ia tidak ada masalah kerana walaupun ia parti induk Melayu namun sejak dulu lagi ia turut memperjuangkan nasib kaum lain.

Tetapi Pas akan dilihat tidak berpendirian kerana setelah sekian lama bertungkus-lumus memperjuangkan dasar Islam, akhirnya ia terpaksa mengalah kerana begitu yakin hanya bekerjasama dengan PKR dan DAP sahaja mereka mampu membentuk kerajaan. Namun setakat ini, ia hanya baru impian.

Kasihan Pas kerana ternyata sekali PKR dan DAP terlalu bijak dalam berpolitik bagi memerangkap Pas tanpa sedikit pun Pas sedari. Keghairahan Pas untuk menunjukkan kesetiaannya kepada pakatan pembangkang akhirnya memakan diri.

Pas harus sedar bahawa mereka sudah berada dalam genggaman PKR dan DAP, selepas ini Pas hanya perlu mengikut sahaja apa juga yang diputuskan oleh pakatan pembangkang.

Pas juga harus bersedia mengerahkan segala tenaga parti itu untuk turut memastikan kemenangan PKR dan DAP kerana bukankah ”kalian sudah sepakat”.

Lagipun Pas ingin sekali bersama memenuhi impian Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bagi menawan Putrajaya sekaligus membolehkan Anwar mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

Tidak apa Pas akan menjadi pengikut setia kepada pakatan pembangkang kerana matlamat Pas sebenarnya ialah mahu menumbangkan BN kerana bukankah di konvensyen itu Abdul Hadi berkata, ”Pakatan rakyat yang diwujudkan berasaskan masyarakat majmuk mahu menyelamatkan rakyat negara ini (daripada pemerintahan BN)…”

Oleh itu, selepas ini ahli dan penyokong Pas yang begitu teruja dan taksub mahukan Pas memperkukuhkan hubungan dengan pakatan pembangkang tidak boleh mengeluh lagi, kalau mereka dipermain dan diperkotak-katikkan oleh PKR dan DAP.

Doakan sahaja perjuangan Pas bersama pakatan pembangkang akan berjaya walaupun kita tahu di dalam politik segala-galanya boleh berlaku.

Lagipun apa salahnya kalau Pas yang merupakan parti Melayu kedua terbesar selepas UMNO hendak berbaik-baik dengan PKR yang hari demi hari para pemimpinnya terus berusaha menggugat satu demi satu institusi Melayu.

Atau apa silapnya kalau Pas bekerjasama dengan DAP yang satu ketika dulu cukup menentang penubuhan negara Islam dan pasti sampai bila-bila pun akan tetap menentangnya.

Tahniah juga kepada Pas kerana mempunyai satu keberanian luar biasa untuk mempertaruhkan kewibawaannya memandangkan selepas ini Pas tidak boleh lagi menarik diri daripada pakatan pembangkang.

Jika mereka berbuat demikian PKR dan DAP akan menjaja di seluruh tanah air bahawa Pas adalah parti yang tiada pendirian.

Namun apa pun, adalah wajar jika kita menanti langkah Pas seterusnya selepas ‘tangan sudah diikat’ oleh PKR dan DAP. Kita ingin mendengar apakah hujah pemimpin-pemimpin Pas mengenai kedudukan perjuangan Islam yang menjadi dasar parti itu sejak tahun 1951.

Tetapi kita sudah boleh membuat kesimpulan bahawa dalam pilihan raya umum nanti yang pastinya jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi oleh Pas sama sekali tidak akan melebihi kerusi yang diperuntukan kepada PKR dan DAP.

Ia memandangkan PKR dan DAP mahu Anwar menjadi Perdana Menteri bukannya Abdul Hadi atau mana-mana pemimpin Pas. Lebih kasihan lagi kepada Pas, kalau mereka terpaksa ‘sedekah’ kerusi di kubu mereka kepada PKR.

Kalau itu berlaku Pas tidak boleh berbuat apa-apa kerana yang mengatur perjalanan dan menentukan segala-galanya dalam pakatan pembangkang bukannya Pas tetapi PKR dan DAP. Seperti biasa Pas yang hakikat jauh lebih besar dan berpengaruh hanya menjadi ‘pak turut’ kepada kehendak kedua-dua parti berkenaan. Kasihan Pas!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: