Permohonan SPR isu kerusi Kota Siputeh diketahui Isnin


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menangguhkan keputusan yang mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh sementara menunggu rayuan, akan diketahui pada 23 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) Datuk Alizatul Khair Othman Khairuddin menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah SPR yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said.

Kerusi kawasan Kota Siputeh diisytiharkan kosong oleh Hakim Alizatul pada Isnin lalu ekoran kegagalan penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sarif menghadiri dua persidangan Dewan secara berturut-turut pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Dalam penghakimannya, beliau turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan SPR pada 1 September lalu yang memutuskan kerusi DUN tersebut masih disandang oleh Abu Hassan.

Mahkamah yang sama juga mengeluarkan perintah terhadap SPR untuk mengeluarkan writ bagi mengadakan pilihan raya bagi DUN Kota Siputeh.

Ekoran keputusan tersebut, SPR mempunyai masa selama 60 hari dari tarikh pengosongan kerusi untuk mengadakan pilihan raya kecil.

Selain SPR, Abu Hassan yang tidak berpuas hati dengan keputusan Hakim Alizatul turut memfailkan rayuan.

Pada prosiding hari ini, Kamaluddin berhujah, perbelanjaan mengadakan pilihan raya kecil akan membabitkan penggunaan wang rakyat dalam jumlah yang besar.

Bagi menyokong permohonan tersebut, Kamaluddin mendedahkan SPR terpaksa membelanjakan RM200,365 bagi pilihan raya umum yang lalu untuk kerusi DUN Kota Siputeh yang mempunyai 17 saluran.

Menurut beliau, sekiranya penangguhan itu ditolak dan pilihan raya kecil diadakan sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan, ia akan memprejudiskan pengundi yang mengundi Abu Hassan pada pilihan raya umum yang lalu.

Namun tambah beliau, tiada pihak dalam permohonan itu yang haknya diprejudiskan sekiranya mahkamah membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah pengosongan kerusi.

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun yang mewakili Abu Hassan menyokong permohonan SPR dengan menyatakan, jika penangguhan tidak dibenarkan, ia akan menjurus kepada penyalahgunaan proses mahkamah.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail membantah permohonan penangguhan kerana sebaik sahaja kerusi diistiharkan kosong maka SPR bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya kecil.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: