70 peratus sokong pelan perpaduan


Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

Chua Soi Lek (dua kiri) bercakap kepada media sambil diperhatikan Ong Tee Keat (tengah) selepas sesi dialog bersama pemimpin bahagian MCA mengenai pelan perpaduan di Wisma MCA, Jalan Ampang, semalam. – UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

 


KUALA LUMPUR 15 Nov. – Lebih 70 peratus pemimpin bahagian MCA yang menghadiri taklimat khas parti itu hari ini menyokong Pelan Perpaduan Menyeluruh yang dibentangkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Tee Keat berkata, kira-kira 620 pemimpin bahagian yang hadir pada majlis taklimat itu mahu melihat kemelut dalaman parti dapat diselesaikan dengan segera.

”Kehadiran dan sokongan ke atas pelan itu akan dijadikan wadah parti untuk kembali stabil, seterusnya membantu Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas taklimat dan dialog tertutup MCA di Wisma MCA di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan respons hari ini juga, MCA akan cuba menepati permintaan para pemimpin bahagian tersebut untuk membentangkan Pelan Perpaduan Menyeluruh ke peringkat akar umbi khasnya di peringkat negeri.

Taklimat tertutup dan sesi dialog itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa khas bagi pelaksanaan Pelan Perpaduan Menyeluruh MCA.

Pemimpin bahagian MCA terlibat juga sebulat suara menolak usul mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti yang dijadual berlangsung pada 28 November ini kerana perkara-perkara yang akan dibangkitkan menyalahi perlembagaan MCA.

Majlis tersebut sepatutnya dihadiri oleh 955 pemimpin bahagian MCA dari seluruh negara bagaimanapun kira-kira 620 orang yang menghadirinya.

Sementara itu, Soi Lek memberitahu, kepimpinan tertinggi MCA menghormati hak ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti untuk mengadakan EGM pada 28 November ini namun menegaskan sebarang usul yang akan dibentang tidak akan diterima oleh MCA Pusat.

”Apabila para perwakilan hadir ke satu EGM yang usulnya tidak sah, maka sebarang keputusan EGM itu tidak dapat dilaksanakan.”Dalam perbincangan hari ini, kebanyakan pemimpin MCA termasuk dari peringkat akar umbi bersetuju untuk tidak hadir dalam EGM 28 November itu” jelasnya.

Diminta mengulas lanjut, Soi Lek sekadar memberitahu, perkara itu akan dijelaskan oleh para peguam parti berkenaan kelak. Tee Keat dan Soi Lek juga sependapat mereka tidak akan menghalang hasrat kumpulan 16 anggota CC parti yang ingin menjalankan EGM pada 28 November ini dan pada masa yang sama, mereka juga ditawar menyertai Pelan Perpaduan Menyeluruh itu.

Kemelut kepimpinan MCA bertambah parah apabila EGM pertama pada 10 Oktober lalu meluluskan usul undi tidak percaya terhadap Tee Keat dan membatalkan keputusan Majlis Presiden untuk memecat Soi Lek tetapijawatan Timbalan Presiden tidak dikembalikan kepada Soi Lek.

Bagaimanapun pada mesyuarat CC MCA 15 Oktober lalu, Tee Keat mengumumkan beliau tidak akan meletakkan jawatan Presiden dan Tiong Lai dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Namun Pendaftar Pertubuhan (ROS) kemudiannya mengesahkan Soi Lek masih Timbalan Presiden MCA sementara Tiong Lai kembali menyandang jawatan Naib Presiden. Ekoran itu sekumpulan 16 anggota CC termasuk Tiong Lai kemudiannya mendesak dan merancang mengadakan satu lagi EGM bagi memberi laluan kepada pemilihan baru parti pada 28 November ini.

________________________________________________________________________________________________________________

Anggota Dewan bertikam lidah

 

Noh Omar menjadi tumpuan wartawan selepas berlaku kekecohan menggunakan peribahasa ‘anjing menyalak bukit’ yang menjadi kemarahan pembangkang pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, semalam.

 


KUALA LUMPUR 12 Nov. – Pertikaman lidah antara ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang hari ini memaksa sidang Dewan Rakyat ditangguhkan selama 10 minit bagi meredakan ketegangan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu, kedua-dua belah pihak mula bertegang urat gara-gara ungkapan yang digunakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 bagi peringkat kementeriannya.

Noh yang menggunakan peribahasa ‘anjing menyalak bukit’ bagi merujuk kepada wakil rakyat pembangkang yang berkali-kali mencelah bagi mendesaknya menyiasat dakwaan mereka bahawa borang program baucar Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur) perlu ditandatangani dan mendapat pengesahan daripada Ketua UMNO bahagian. Beliau terus membuatkan wakil rakyat pembangkang hangat hati apabila menyamakan perbuatan mereka membuat bising “seperti kera dalam sarkas” apabila enggan mendengar penjelasan bahawa perkara itu sebenarnya tidak berlaku.

Antara yang bangun meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan penjelasan itu ialah Dr. Dzulkefly Ahmad (Pas-Kuala Selangor), Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) dan Jeff Ooi (DAP-Jelutong).

Sebelum itu, Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) bangun mencelah sambil memegang keratan sebuah akhbar Cina yang menyiarkan contoh borang Subur berkenaan yang jelas menunjukkan terdapat ruangan untuk ditandatangani Ketua UMNO bahagian.

Berikutan dakwaan itu, Noh telah meminta bentara mengambil keratan akhbar Sin Chew Jit Poh dari Koo Ham bagi membolehkannya membuat penelitian.

Setelah membuat semakan, Noh menegaskan, borang yang disiarkan oleh akhbar itu adalah berlainan dengan borang asli yang boleh dimuat turun dari laman web kementerian.

‘‘Saya dapati borang yang disiarkan ini bukannya asli kerana tidak mempunyai logo kementerian. Kita akan menyiasat dan akan menyaman akhbar berkenaan sekiranya benar-benar ada unsur fitnah,” katanya.

Noh turut menempelak Koo Ham yang disifatkannya sebagai cuba mendapat keuntungan politik dengan menimbulkan isu tidak benar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: