Orang BN, Pakatan dituduh seleweng dana DUN


kemaskini 4.17pm Ahli parlimen Sabak Bernam, Abd Rahman Bakri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program yang tidak wujud.

Lapan program itu meliputi bantuan kepada pelajar sekolah, penganjuran forum perdana dan sambutan Maulidur Rasul.

Beliau, ketika itu ADUN Sungai Air Tawar, didakwa melakukan kesalahan-kesalahan itu antara 21 Januari hingga 18 Februari tahun lalu.

Abd Rahman (foto kiri) bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dan dibenarkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Ahli parlimen Umno itu hadir sejak jam 8 pagi tadi di mahkamah tersebut dengan  ditemani lapan ahli parlimen BN, antaranya Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Datuk Halimah Siddiq (Tenggara) dan Datuk Dr Mohamed Shahrom Osman (Lipis).

Pertuduhan terhadap Abd Rahman dibacakan menjelang jam 1 tengah hari tadi. Hakim Syafeera Mohd Said menetapkan tarikh perbicaraan pada 14 Februari depan.

Sementara itu, pembantu Abd Rahman, Mohd Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan majikannya membuat tuntutan palsu itu.

Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan beliau diikatjamin dengan jumlah RM9,000.  Mahkamah sama turut mendakwa bekas pegawai menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohd Yahya Mohd Sahri dituduh memperdaya seorang ahli perniagaan sejumlah RM50,000 bagi program sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di negeri itu tahun lalu.

Bekas pemimpin PKR Selangor itu juga dituduh memalsukan dokumen untuk membuka satu akaun parti itu. Beliau mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM10,000.

Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub dan beberapa aktivis Pemuda PKR turut hadir memberikan sokongan kepada Mohd Yahya.

Pembantu kepada exco kerajaan Selangor, Wong Chua How (foto kanan), dituduh membuat tuntutan palsu RM2,500 kepada Majlis Perbandaran Sepang berhubung pembelian bendera.

Wong, pembantu Ronnie Liu di DUN Sungai Pelek, juga dihadapkan dengan pertuduhan pecah amanah sekeping cek bernilai RM5,000 bagi penganjuran satu perjumpaan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di kawasan itu pada 19 Feb lalu.

Hakim Syafeera membenarkan beliau diikat jamin RM10,000. Ronnie turut hadir ketika pertuduhan kes itu dibacakan kepadanya.

Wong mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan. Kes tersebut akan dibicarakan pada 29 Mac depan.

Kecuali Mohd Yahya yang didakwa bawah Kanun Keseksaan, kesemua mereka dituduh di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Keempat-empat tertuduh ini antara enam orang ahli politik dan pembantu mereka yang diseret oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke muka pengadilan berhubung penyelewengan dana kerajaan negeri untuk pembangunan DUN di Selangor.

Sebelum itu Ronnie, sewaktu bercakap di luar mahkamah, berkata SPRM telah menjalankan siasatan terhadap 20 wakil rakyat Selangor dan turut merampas fail-fail daripada mereka.

“Wong adalah yang pertama, tetapi dia mungkin bukan yang terakhir,” katanya.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

%d bloggers like this: