EGM: MMustahil Hadi mahu ikut arahan Nik Aziz ‘hantuk kepala ke dinding’…


Oleh: ROSLAN BIAN

pas3-mus

Sidang media Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pagi Isnin untuk memberitahu satu mesyuarat khas Jawatankuasa Pusat PAS akan diadakan Rabu ini ekoran saranan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya diadakan Muktamar Agung Luar Biasa (EGM) tidak memberi petunjuk jelas mengapa Musyridul Am PAS itu ‘ meletup’.

Malah, diasak kiri kanan oleh media dalam majlis lebih setengah jam itu di ibupejabat PAS di Kuala Lumpur,Mustafa menolak dakwaan kononnya PAS mulai pecah atau retak akibat perbezaan pendapat antara Nik Aziz dengan pemimpin lain termasuk beliau sendiri selain Timbalan Presiden PAS , Nasaruddin Mat Isa dan Persuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Beliau mengakui tidak tahu hujung pangkal kenapa Menteri Besar Kelantan itu membangkitkan perkara tersebut seperti ditulisnya dalam blog tokguru.com.“Itu kena tanya tok guru,” katanya.

Jawapan sama juga bagi soalan apakah pihak lain yang menulis di blog tersebut termasuk kemungkinan Mursyidul Am PAS itu mahu mengalih isu dakwaan kononnya Exco Kelantan Datuk Husam Musa menumbuk seorang tetamu di jamuan hari raya parti itu di Taman Melewar baru-baru ini.

“Setahu saya tidak ada masalah ( dalaman PAS). Anda tanya tok guru kenapa bangkit soalan itu,” beberapa kali Mustafa memberi jawapan bagi mengelak media cuba ‘mengorek’ kemungkinan PAS di ambang perpecahan ekoran perbezaan pendapat antara Nik Aziz dengan kumpulan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mustafa menjelaskan, perkara itu tidak pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat. Beliau turut enggan menjawab soalan apabila ditanya perasaaan serta pendirian beliau kerana turut dikecam Nik Aziz yang mengaitkan ‘dua tiga kerat pemimpin’ PAS dengan isu kerjasama bersama UMNO.

“Saya tak mahu jawab mengenai peribadi saya. Hanya soal mesyuarat khas yang akan diadakan nanti,” katanya. Mustafa memanggil sidang media bagi memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat khas jawatankuasa yang turut disertai pesuruhjaya PAS negeri-negeri.

Mesyuarat berkenaan diadakan Rabu ini bagi membincangkan cadangan Nik Aziz sama ada perlu EGM atau sebaliknya dalam menyelesaikan isu tersebut. Beliau mengakui Nik Aziz tiada kuasa memanggil EGM berdasarkan peruntukkan perlembagaan PAS.

Fasal 16 (1)(b) antara lain menyatakan EGM boleh iadakan berulang kali dalam setahun jika arahan presiden atau disokong satu pertiga Jawatankuasa PAS Pusat seramai 37 orang ataupun permintaan bertulis oleh satu pertiga daripada 170 PAS Kawasan.

Mustafa berkata, pihaknya berharap Nik Aziz hadir dalam mesyuarat itu atas kedudukannya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan.

“Kita harap tok guru hadir walaupun ketika ini ada sidang Dewan Undangan Negeri. Bagaimanapun, beliau sudah amanatkan pada (Naib Presiden) Salahuddin (Ayob). Kita akan berpandukan apa yang beliau sudah maklumkan pada Salahuddin,” katanya.

Pada sidang media itu, Mustafa sekali lagi menjelaskan pendirian PAS mengenai kerjasama dengan UMNO sudah ‘tutup pintu’ kecuali kerjasama kerajaan antara kerajaan dengan kerajaan Pusat dan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Persoalannya, tanpa kehadiran Nik Aziz dalam mesyuarat khas Rabu ini, apakah keputusan Jawatankuasa PAS Pusat itu nanti?

Mustafa memberitahu, mesyuarat itu diputuskan oleh Hadi dengan mengambil kira pelbagai pandangan sejak itu itu dibangkitkan beberapa hari lalu. Dengan Hadi, Nasaruddin dan Mustafa yang jadi tunjang utama mesyuarat itu Rabu nanti, jawapannya sudah boleh diduga. Adalah selamat untuk mengandaikan Mustahil Hadi atau ‘beberapa kerat pemimpin lain’ mahu menerima cadangan itu yang boleh diibaratkan seperti Nik Aziz mengarahkan mereka menghantuk kepala ke dinding.

Apapun, ada pihak menduga akan berlaku pengundian ketika mesyuarat itu kelak dalam menentukan sama ada EGM ini perlu atau tidak. Menariknya seperti kata Mustafa, tidak pernah ada pengundian dalam membuat keputusan ketika mesyuarat jawatankuasa selain bermusyawarah atau konsesnsus. Selain itu, jika idea Nik Aziz ini dipengaruhi kumpulan Erdogan yang pro Datuk Seri Anwar Ibrahim, geng tersebut juga tidak boleh memang jika pengundian kerana mereka hanya ada beberapa kerat dalam barisan jawatankuasa itu.

Ada juga kalangan ahli PAS yang berpendapat sebenarnya yang ‘beberapa kerat’ ini perlu disingkir oleh parti kerana mereka dilihat lebih memihak pemimpin Pakatan Rakyat daripada menghormati Hadi mahupun Nasaruddin yang dipilih secara demokrasi dalam Muktamar Agung parti itu Jun lalu.

Menurut mereka nampak macam isu sebenarnya bukan soal kerjasama PAS-UMNO hingga memaksa Nik Aziz mahu menghukum Nasaruddin, Mustafa mahupun Dr Hasan tetapi mereka ini dilihat kurang senang tidur sebantal dengan PKR dan DAP kerana masing-masing mempunyai mimpi berbeza.

Nik Aziz rupa-rupanya mahu menebang pokok bukannya dahan tempat kumpulan pro Anwar bergayut sedangkan dahan-dahan ini yang sudah dihinggapi dedalu api. Dedalu api ini adalah tumbuhan parasit yang hidupnya menumpang pokok atau dahan lain dengan memakan segala makanan yang dicari akar pokok yang ditumpang sampaikan pokok itu mati. Mungkinkah PAS akan mati jika hanya cakap Nik Aziz sahaja perlu didengar?

___________________________________________________________________________________________

TENANG-TENANG… Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub sedang rancak berbual dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen BN Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah di bilik rehat Ahli Parlimen di bangunan Parlimen.Gambar ini dirakam tidak lama selepas selesai sidang akhbar Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali di ibu pejabat PAS,Kuala Lumpur pagi Isnin.Duduk disebelah mereka,tidak kelihatan dalam gambar ialah Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: