Gigit polis:Mahukah Anwar korbankan Tian Chua ?


Oleh: ROSLAN BIAN

TIAN440

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua muncul di lobi parlimen tengahari Khamis, kira-kira dua jam selepas Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam bulan serta denda RM3,000. Di wajahnya tidak nampak riak bersalah mahupun menyesal setelah majistret Mohd Faizi Che Abu memutuskan hukuman itu selepas beliau didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan dengan mengigit seorang konstabel polis dalam perhimpunan haram di pekarangan Parlimen, dua tahun lalu.

Malah pemimpin PKR itu tersenyum dan melambai-lambai tangan sebaik sahaja wartawan dan jurugambar menyerbunya. Seperti diduga, Tian Chua mengekalkan pendiriannya bahawa beliau tidak bersalah dan menganggap ia adalah kes fitnah. “Hukuman itu adalah enam bulan penjara dan denda RM3,000. Ini bermaksud jika dilaksanakan (saya) akan hilang kelayakkan ahli parlimen. Bagaimanapun, saya akan failkan rayuan ke Mahkamah Tinggi dalam tempoh 14 hari,” katanya. Baginya, hukuman itu tidak adil dan sebab itu beliau akan merayu.

“Dalam pengadilan yang dibacakan, hakim mengakui pendakwaraya tidak membekalkan saksi yang melihat insiden itu dan hukuman berdasarkan bukti mengikut keadaan,” katanya. Dalam masa sama beliau menegaskan akan terus berkhidmat sebagai ahli parlimen dan bertugas memberi jasa kepada penduduk dan pengundi-pengundi di kawasan Batu. Sebabnya beliau mahu membina masyarakat yang adil dan institusi kerajaan yang menyakinkan rakyat bahawa ada perlaksanaan undang-undang yang adil.

Itulah kehebatan pemimpin PKR ini apabila bercakap. Sebab itu, beliau pernah dilantik Ketua Penerangan PKR – parti yang dinasihati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau bertegaskan kononnya mahu memperjuangkan perlaksanaan undang-undang yang adil tetapi apabila dijatuhi hukuman yang boleh menyebabkan kedudukannya sebagai ahli parlimen ‘melayang, hukuman itu dikatakan tidak adil.’

Begitulah pembangkang di negara ini selepas tsunami politik pada pilihan raya umum Mac tahun lalu. Keputusan mahkamah yang memihak kepada mereka dikatakan adil dan sebaliknya. Malah kenyataan ini terbukti apabila dua lagi kes mahkamah pada Khamis memihak kepada pemimpin pembangkang. Kes pertama membabitkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar, dan enam lagi yang diberi kebenaran oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak mengadakan pilihan raya kecil bagi tiga kerusi DUN di Perak.

Sivakumar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, Chen Fook Chye, Tai Singh Ng dan A Sivanesan, serta tiga pengundi, Ahmad Sabry Wahab (Behrang), Abdul Latif Ariffin (Changkat Jering) dan Foo Hon Wai (Jelapang) diberi kebenaran mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan SPR itu.

Sebelum ini, SPR mengambil keputusan tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang apabila wakil rakyat kerusi berkenaan menjadi Adun Bebas. Sementara itu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) menolak permohonan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, agar perintah penggantungannya daripada Dewan Rakyat selama setahun mulai awal tahun ini, ditarik balik.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Ariff Md Yusof, membuat keputusan bahawa wakil rakyat DAP itu berhak menerima ganjaran termasuk semua elaun dan manfaat sebagai seorang Ahli Parlimen. Beliau mengarahkan agar Gobind Singh dibayar faedah 8 peratus bagi elaunnya. Sudah pasti keputusan ini mengembirakan pemimpin pembangkang terbabit kecuali Tian Chua.

Beliau mungkin kehilangan jawatan sebagai ahli parlimen memandangkan dalam Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, seorang ahli parlimen yang dikenakan hukuman penjara lebih dari setahun atau denda melebihi RM2,000 akan digugurkan dari jawatannya.

Tian Chua pasti akan merayu ke Mahkamah Persekutuan dan terakhir Mahkamah Rayuan jika Mahkamah Tinggi menolak rayuan beliau dan mengekalkan hukuman tersebut. Siapa tahu beliau akan mengikut jejak Anwar yang berdepan kes dakwaan meliwat apabila kes itu belum dibicarakan dengan pelbagai rayuan. Bayangkanlah jika kes seumpama itu berlaku pada pemimpin Barisan Nasional (BN) maka pembangkang akan bising dan mendesak pemimpin terbabit meletakkan jawatan bagi membolehkan pilihan raya kecil.

Namun, pembangkang di negara ini tidak sanggup menerima hakikat dijatuhi hukuman bersalah apatah lagi akan hilang kerusi sebagai wakil rakyat. Kebetulan tidak lama selepas jam selepas tersebar berita Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman keatas Tian Chua ,kelibat Ketua UMNO Bahagian Batu Yahaya Ghani kelihatan di lobi parlimen.

Beliau bergegas ke Parlimen untuk mendapat khabar terkini mengenai kesan hukuman dari kalangan rakan-rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang hadir pada sidang Dewan Rakyat. Mungkin juga beliau ingin jenguk gelagat Tian Chua yang dikenali selalu ‘tunjuk aksi hero’ semasa demonstrasi anjuran pembangkang selepas dikenakan hukuman itu.  Sekalipun sedar proses rayuan dari Mahkamah Majistret ke mahkamah yang lebih tinggi mungkin memakan masa yang panjang namun Yahaya yang baru mengetuai UMNO Bahagian Batu nampaknya seperti tidak mahu ambil mudah.

“Dalam politik semua perlu diambil kira,”katanya kepada Agendadaily selepas hampir setengah jam berbual serius dengan Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian di satu sudut bilik rehat Ahli Parlimen.  Baginya kes Tian Chua adalah kes jenayah dan dari segi moralnya beliau sepatutnya terus melepaskan kerusi itu agar rakyat di Batu pula dapat ‘ buat penghakiman’.

“Kalau dia anak jantan sangat…lepas jawatan biar BN dapat bertarung balik dengan pakatan pembangkang di situ,”kata Yahaya. Jika katakan proses itu tidak selesai sehingga Mac 2011 maka sekalipun beliau hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen tetapi pilihanraya kecil tidak perlu diadakan. Ini kerana adanya peraturan dimana pilihanraya kecil tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun menjelang habis penggal parlimen kali ini iaitu Mac 2013.

Sebagai rekod kawasan parlimen Batu yang terletak di Kuala Lumpur sekian lama menjadi kubu BN.Hanya pada pilihanraya umum Mac 2008 saja ia terlepas ke tangan pembangkang.Di pihak BN kerusi itu sejak dulu ditandingi oleh calon dari parti Gerakan. Tian Chua menewaskan Lim Si Pin,anak kepada bekas Presiden Gerakan Tan Sri Lim Kheng Yaik. Kawasan itu mempunyai 70,544 pengundi.Tian Chua dapat 29,785 manakala lim 20,330. Majoriti PKR 9.455. “ Bayangkan masa kemuncak reformasi tahun 1999 pun BN boleh mempertahankan kerusi Batu.Cuma pada tahun 2008 ada sikit masalah mood dan soal calon membuatkan BN tewas,”kata Yahaya.

Pada pilihanraya umum 2004 BN mempertahankan kerusi Batu menerusi calon Gerakan Ng Lip Yong yang dapat 28,718 menewaskan calon Keadilan Chua Tian Chang 17,201.Majoriti BN ialah 11,517 undi. Beliau yakin BN mampu merampas balik kerusi parlimen Batu berdasarkan mood semasa orangramai kawasan itu yang semakin hilang keyakinan pada pembangkang.

Ahmad Maslan menegaskan ahli parlimen Batu itu sepatutnya akur keputusan mahkamah itu.“Kalau kena ahli parlimen atau ADUN BN, bukan main lagi mereka mendesak (letak jawatan). Kalau libatkan mereka, macam-macam mereka katakan. Kes mengigit polis ini sesuatu yang pelik tetapi benar,” katanya. Beliau berharap Tian Chua sedar kesalahan itu manakala pengundi di parlimen Batu menilai hukuman yang sudah diputuskan pada wakil rakyat mereka. Ahmad memberitahu BN bersedia jika ada pilihanraya kecil di kawasan itu berdasarkan hukuman tersebut.

“Kita sebenarnya menghormati keputusan mahkamah dan memahami hakikat jika tiada rayuan atau rayuan ditolak akan ada pilihan raya kecil. Saya sudah jumpa Ketua UMNO Batu bertanya khabar apa berlaku dan bertanya pandangan beliau. Kita kena bersedia jika ada kemungkinan pilihanraya kecil,” katanya. Bagaimanapun, ramai yang mengandaikan bukan sesuatu yang mudah bagi pembangkang melepaskan kerusi parlimen Batu begitu sahaja kecualilah jika Anwar mahu ‘ korbankan’ Tian Chua menguji kekuatan pakatan pembangkang atau mengekalkan momentum selepas PAS tewas di Bagan Pinang baru-baru ini.

____________________________________________________________________________________________

Gigitan yang membawa padah

Ahli Parlimen PKR kawasan Batu, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari Khamis kerana didapati bersalah mencederakan seorang konstabel polis dengan menggigit tangan polis berkenaan pada satu perhimpunan haram dua tahun lalu di luar kawasan Parlimen. Hukuman diputuskan Majistret Mohd Faizi Che Abu yang memerintahkan hukuman berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa hari ini.

Tian Chua bagaimanapun memohon penangguhan hukuman tersebut dan akan membuat rayuan terhadap keputusan yang dijatuhkan ke atasnya itu.  Mengikut undang-undang dengan hukuman yang diterima, keanggotan Tian Chua sebagai Ahli Parlimen gugur dan pilihan raya kecil perlu diadakan di kawasan Parlimen Batu.  Bagaimanapun pilihan raya kecil tidak boleh diadakan sehingga proses rayuan selesai. Jika hukuman ke atas Tian Chua dikekalkan hingga semua proses rayuan diselesaikan, barulah pilihan raya kecil akan diadakan.Mohd Faizi embenarkan kedua-dua hukuman itu ditangguhkan, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

“Dalam menjatuhkan hukuman mahkamah tidak memandang sebarang keistimewaan terhadap beliau yang merupakan Ahli Parlimen dan beliau bakal kehilangan kerusi sebagai Ahli Parlimen,” katanya, yang membuat keputusan selepas pihak pembelaan yang diketuai peguam bela Harjit Singh gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Anggota Parlimen itu.

Perkara 48 (1)(e) menyebut seorang itu hilang kelayakan menjadi Anggota Parlimen jika dia disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.

Dalam penghakimannya, Mohd Faizi berkata mahkamah lebih mempercayai dan mengambil kira keterangan saksi pendakwaan kedua iaitu Konstabel Mohd Rosyaidi Anuar, 22, yang juga mangsa, bahawa beliau telah dicederakan oleh tertuduh.  Keterangan tertuduh dalam prosiding membela dirinya tidak konsisten dan bercanggah menyebabkan mahkamah tidak boleh mempercayainya, kata Mohd Faizi.  Katanya tayangan video yang diambil ketika kejadian itu jelas menunjukkan polis menjalankan tugas mengikut bidang kuasanya, dan ia adalah di luar bidang mahkamah.

“Pihak pembelaan telah menunjukkan tayangan mengenai video yang diambil ketika kejadian ketika prosiding membela diri tetapi klip video itu lebih memihak kepada pihak pendakwaan,” kata Mohd Faizi.  Mahkamah tidak dapat menerima keterangan Chua yang menyatakan penahanannya oleh polis adalah salah ketika kejadian itu berdasarkan tayangan video itu jelas menunjukkan keengganan tertuduh untuk menyerahkan kad pengenalan dan arahan polis untuk memberhentikan kereta.

“Keterangan tertuduh yang enggan keluar dari keretanya akan menyebabkan semua orang di situ mengerumuninya di mana dakwaannya orang awam akan beranggapan bahawa dia yang mencetus perhimpunan haram juga tidak boleh diterima oleh mahkamah,” katanya.  Ketika hujahan mitigasi, peguam bela Harjit Singh berhujah bahawa jika mahkamah mengenakan hukuman penjara, masyarakat akan berdepan dengan pilihan raya kecil baru, yang akan menyukarkan keadaan.

“Tertuduh yang merupakan Ahli Parlimen telah menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin dan pertuduhan ke atas anak guam saya adalah mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan, ini jelas menunjukkan mahkamah boleh mengenakan hukuman antara pilihan itu,” kata Harjit Singh.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanafiah Zakaria bagaimanapun membantah dengan menyatakan mahkamah perlu memberikan keutamaan terhadap kepentingan awam ketika itu di samping ia juga melibatkan sikap individu berkenaan terhadap pematuhan undang-undang negara. “Tertuduh sepatutnya menghormati dan mematuhi arahan mahkamah dan polis ketika itu supaya memberi kerjasama dan kejadian itu jelas menunjukkan tertuduh memandang remeh dan mahkamah harus mengenakan hukuman berat.

“Permintaan polis hanya meminta tertuduh mengemukakan kad pegenalan dan keluar dari kereta tetapi (tertuduh) tidak mengendahkannya dan ini menyukarkan polis menjalankan tugas,” katanya.-22/10/2009

Sumber : Agenda Daily

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: