Bajet makmurkan rakyat


Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my


NAJIB menunjukkan beg berisi teks ucapannya mengenai Bajet 2010 di Kementerian Kewangan, malam tadi.

Tingkat kecekapan ekonomi, kesejahteraan semua kaum

KUALA LUMPUR: Bajet sulung Datuk Seri Najib Razak yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, dijangka menggariskan beberapa strategi baru bagi meningkatkan kecekapan ekonomi negara dan meneruskan agenda memelihara kesejahteraan rakyat semua kaum selaras konsep 1Malaysia.

Bajet 2010 itu dikatakan akan terus memberi keutamaan terhadap usaha memperkasa agenda sosial, termasuk program perumahan, membasmi kemiskinan, pendidikan dan latihan kemahiran, penyediaan kemudahan awam di luar bandar, pembangunan wanita, pengurangan kadar jenayah dan rasuah serta peningkatan kecekapan pengangkutan awam.

Ia sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mencapai sasaran enam Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) yang diperincikan Perdana Menteri pada 27 Julai lalu. Walaupun bajet kali ini dijangka membabitkan pengurangan peruntukan perbelanjaan awam, ia akan diimbangi langkah strategik bagi memastikan momentum pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara dapat diperkukuhkan.

Sehubungan itu, Bajet 2010 dijangka lebih bertumpu kepada usaha meningkatkan kecekapan menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasi sektor awam dan pengurusan perbelanjaan pembangunan yang lebih berhemat.

Sumber memberitahu Berita Harian, Najib yang juga Menteri Kewangan, dijangka mengumumkan terbitan bon Islam dalam kategori Sukuk Simpanan Rakyat bagi membuka peluang kepada rakyat berbilang kaum menabung dan meraih pulangan yang berdaya saing. Bon yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu, dikatakan mampu menawarkan kadar pulangan yang kompetitif dengan purata yang lebih tinggi berbanding yang diraih menerusi simpanan tetap ketika ini.

Dari segi pembangunan, Bajet 2010 dijangka terus bersifat mengembang bagi meneruskan kesinambungan program pembangunan yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berjumlah RM230 bilion yang akan berakhir tahun depan.

Sebagai bajet yang menjadi asas pembentukan model ekonomi baru dan pembentukan kerangka Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10), Perdana Menteri dijangka mengumumkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi usaha memperkukuh sumbangan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan.

Seorang ahli ekonomi di sebuah firma penyelidikan, berkata sebahagian masyarakat global kini ingin melihat kebijaksanaan kerajaan dalam mengurangkan defisit setelah melaksanakan pelbagai suntikan fiskal untuk pembangunan.

Katanya, pelaksanaan pakej dua suntikan kecemasan berjumlah RM67 bilion untuk meminimumkan kesan kegawatan global kepada rakyat negara ini, telah melonjakkan kadar defisit kepada 7.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Langkah itu ternyata menampakkan kejayaan, kehidupan rakyat dan komuniti perniagaan negara ini tidak terjejas teruk ekoran kegawatan seperti yang dialami beberapa negara lain. “Kini, komuniti global ingin melihat keupayaan Malaysia mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Sebahagian besar pelabur kini menjangka kadar defisit pada tahun depan adalah sekitar 7.0-7.5 peratus.

“Jika mampu diturunkan lebih rendah daripada itu, maka ia menggambarkan komitmen kerajaan yang mengambil serius perkara itu di sebalik jangkaan penguncupan hasil cukai lebih tujuh peratus,” katanya.

Katanya, kadar defisit yang tinggi akan menggugat penarafan kewangan negara di peringkat antarabangsa, sekali gus menjejas nilai mata wang, perdagangan dan taraf pendapatan rakyat hingga boleh mengekang usaha transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi.

Seorang ahli ekonomi lain pula menjangka cukai korporat secara keseluruhannya tidak turunkan, sebaliknya kerajaan akan memberi insentif pengecualian cukai khusus kepada industri dan pelaburan berimpak tinggi bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi.

Menurut beliau, cukai pendapatan juga dijangka tidak dikurangkan, tetapi mungkin terdapat insentif cukai bagi golongan berpendapatan sederhana yang memiliki anak ramai.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan kerajaan menaikkan cukai rokok dan perjudian dalam usaha menggalakkan amalan hidup sihat.

Mengenai unjuran ekonomi, beliau, berkata, kerajaan mungkin menyemak semula jangkaan kadar pertumbuhan KDNK tahun ini susulan prestasi pemulihan ekonomi negara yang di luar jangkaan pada separuh kedua tahun ini.

“Unjuran rasmi awal adalah antara -4.0 hingga 5.0 peratus bagi 2009. Bagaimanapun, kerajaan mungkin menyemak semula kepada penguncupan yang lebih rendah. Pada tahun depan, kami menjangka ekonomi berupaya untuk kembali mencatat pertumbuhan positif iaitu lebih 1.5 peratus,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: