Ketua UMNO Bahagian bukan jaminan jadi calon pilihanraya


  ucapan-perasmian-UMNO-053XX
Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan menjadi tema ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 hari Khamis. Sebagai ucapan dasar sulung beliau selaku Presiden UMNO, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya menyentuh mengenai UMNO sahaja. Beliau menggariskan dengan jelas usaha yang perlu diambil bagi memperkasakan UMNO dan memastikan UMNO terus relevan sesuai dengan agenda pembaharuan dan perubahan yang hendak dibawa.

Malah secara tegas, ucapan dasar itu mengimbas asas penubuhan UMNO, jasa dan bijaksananya UMNO mentadbir negara, tingginya toleransi orang Melayu sebagai pembuktian Melayu bukanlah rasis, terbukanya UMNO yang menjadi lembayung kepada semua golongan masyarakat, tingginya tahap pengorbanan ahli-ahli terdahulu hinggalah kepada cabaran yang perlu ditangani serta perubahan yang wajib dilaksanakan.

Menurut Najib, UMNO perlu meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa.

“Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu,” katanya.

Sebagai pembuktian kepada perubahan itu, beliau menegaskan pindaan perlembagaan UMNO bukanlah satu usaha tempelan tetapi pembuktian suburnya demokrasi dalam parti itu malah “nyatanya tidak ada mana-mana politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa”.

ucapan-perasmian-UMNO-020XX

Justeru sebagai pembuktian kepada kesungguhhan UMNO melakukan perubahan dengan mengutamakan rakyat, ia bukan sahaja akan mempertingkatkan usaha dan meneruskan tradisi membela mereka akan tetapi kriteria memilih calon bagi mewakili parti itu pada pilihan raya juga akan diubah.

Menurut Najib, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) termustahak bagi sesebuah parti politik ialah memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

“Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon. Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyrakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting yakni peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

“Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya,” katanya.

Seterusnya, Najib mengulangi perlunya UMNO bersifat inklusif dan bukannya insular atau terpulau dengan memperbanyakkan program yang capaiannya bukan sahaja di kalangan ahli UMNO semata-mata tetapi seluruh orang Melayu dan bukan Melayu.

Menurut beliau, UMNO perlu dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri.

ucapan-perasmian-UMNO-047XX

“Maka persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan,” ujar beliau lagi.

Menjelaskan betapa inklusifnya UMNO, Najib berkata, UMNO adalah parti siasah yang semesta dengan semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung parti berkenaan.

“Semenjak penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan. Termasuk jugalah golongan pemikir dan pedagang, pendidik, pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam UMNO.

“Tuan-tuan dan puan-puan inilah kekuatan UMNO, inilah lambang kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat,” tambah beliau.

Menggariskan keterbukaan UMNO dan orang Melayu, Najib menempelak pihak-pihak tertentu yang dengan sewenang-wenangnya menuduh UMNO sebagai sebuah parti perakuman dan meminta mereka mencermin diri mereka secara ikhlas.

“Jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah-sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

“Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku bahawa mereka kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini,” kata beliau sambil menambah, pihak berkenaan harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan.

__________________________________________________________

Amaran Najib kepada ahli Umno

Datuk Seri Najib Razak memberi amaran supaya tidak ada pihak dalam Umno yang cuba merosakkan sistem baru yang bakal dilaksanakan untuk memulihkan sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

“Jangan sesekali nak rosakkan sistem baru ini. Kita serius kali ini, minta maaf, kalau cuba (merosakkannya) akan tanggung (akibatnya),” kata presiden Umno ketika menggulung perbahasan di perhimpunan agung ke-60, petang ini.

Beliau mengingatkan bahawa apa yang rakyat mahu melihat ialah imej Umno bersih dan benar-benar mahu membantu mereka dan menjadi juara rakyat.

Oleh itu, Najib mahu semua peringkat ahli dan pemimpin parti itu supaya mengambil semangat baru bagi memperkukuhkan parti dan mengikis sikap-sikap lama dan negatif yang boleh menjejaskan parti.

Sehubungan itu, katanya, Umno akan kembali kepada matlamat asal penubuhannya sebagai sebuah parti pergerakan massa.

Dahulunya, katanya, Umno jadi kuat kerana ia merupakan parti pergerakan massa, bukan parti golongan elitis atau golongan bangsawan.

Sebaliknya, Umno adalah satu perhimpunan segala pimpinan Umno dari segala peringkat latarbelakang dan bergerak satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu.

Sempena perlembagaan baru, kita buang fe’el (kelakuan) lama. Kita lakukan perubahan dalam Umno bukan setakat (pindaan) perlembagaan sahaja, (tetapi) budaya kita, sikap kita. Jadi kita bersikap inklusif,” katanya .

Menurut Najib lagi, pindaan perlembagaan juga memberi kedudukan istimewa kepada Wanita dengan diberi tambahan perwakilan di peringkat bahagian.

Katanya, ini kerana Wanita menjadi nadi dan penggerak kepada Umno, termasuk dalam menggerakkan jentera pilihanraya.

Najib juga menyifatkan perhimpunan agung ke-60 ini sebagai yang terbaik pernah dihadirinya sejak tahun 1976.

“Selama satu tahun saya merasa begitu agak gusar, agak gundah gulani hati saya melihat  sama ada anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat, sudah boleh bangkit semula atau tidak, sudah sedar atau tidak, sudah insaf atau pun tidak.

“Hari ini, bila saya berdiri di depan tuan-tuan, segala kesangsian itu telah luput sama sekali. Saya berani katakan dan cukup yakin bahawa Umno pada saat ini bersedia untuk bangun sebagai satu kekuatan baru,” katanya.

__________________________________________________________

Perubahan perlu lalui ‘tempoh sakit’

Timbalan presiden Umno menggesa anggota parti itu supaya menghadapi tempoh ‘sakit’ yang perlu ditahan sebelum perubahan dapat dirasai.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses perubahan yang sering disebut oleh tokoh-tokoh dunia juga memakan masa dan perubahan itu perlu melalui ‘tempoh sakit’.

“Kerana apa yang dikehendaki orang Melayu, khususnya yang dapat dilihat pada keputusan pilihanraya dulu, kita sedar di hadapan kita ada perkara amat kritikal,” katanya ketika menggulung perbahasan di perhimpinan agung parti itu petang ini.

Katanya lagi, beliau dapat memerhatikan ramai perwakilan yang telah menyatakan kesanggupan dan kesediaan untuk berubah dan ini harus dilakukan dengan pantas.

“Kita sedar kalau kita tidak buat (dengan) pantas, masa tidak menyebelahi kita, dan kita tidak akan dilihat sudah mula berubah,” katanya.

Katanya lagi, ucapan dasar oleh presiden telah menyuntik semangat baru di kalangan perwakilan yang hadir.

“Ini beri dorongan yang kuat untuk bekerja keras untuk pikul amanah yang lebih besar bagi pastikan kelangsungan umno dan teras di tanah air,” katanya lagi.

Ubah kelakuan

Tambahnya, beliau akan bertemu pemimpin parti itu di semua peringkat untuk melihat komitmen yang telah dijalankan oleh di setiap negeri.

Jelasnya lagi, kejayaan yang diraih calon BN dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang hujung minggu lalu juga menunjukkan kesan bahawa sokongan ke atas parti itu telah meningkat..

“Ada kawasan peti undi yang dulunya hitam legam (penyokong pembangkang) dan kawasan ladang yang hitam legam menjadi putih melepak (penyokong BN), semuanya kita menang,” katanya.

Katanya lagi, usaha-usaha untuk perubahan di kalangan Umno tidak akan berjaya sekiranya anggota-anggota parti itu masih berbalah sesama sendiri.

“Perubahan tidak akan berlaku kalau kita berbalah, kalau ada masih di kalangan kita puak-puak, team-team, dan usaha-usaha yang tidak membantu perpaduan.

“Tapi bersediakah kita untuk tinggalkan feel (kelakuan) yang buruk-buruk ini. Fe’el lama yang mengongkong kita inilah yang menghalang kita berubah,” tambahnya.

Katanya lagi, kerja-kerja parti perlu ditumpukan untuk mengenalpasti titik-titik sentuhan dalam masyarakat untuk mengenalpasti kesan tindakan parti itu ke atas masyarakat.

“(Perlu tahu) apakah kesan yang dirasakan masyarakat. Mungkin (ianya perkara) kecil tapi ada kesan besar kepada masyarakat,” tambahnya.

Dalam ucapan itu, Muhyiddin juga berkata Umno telah bersetuju untuk memberikan peruntukan (kepada bahagian-bahagian) bagi mengadakan aktiviti-aktiviti parti, mengikut program-program yang dirancangkan.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: