Bawah pokok ke hotel


Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abllah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my


V SIVAKUMAR bersama 23 Adun Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di Ballroom Hotel Heritage selepas mereka dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.

Adun Pakatan Rakyat Perak terus adakan sidang DUN

IPOH: Selepas mengadakan ‘sidang Dewan Undangan Negeri’ (DUN) di bawah pokok pada Mac lalu, Pakatan Rakyat (PR) Perak semalam meneruskan pula mesyuarat sama di sebuah hotel di sini.

Persidangan itu diadakan di Ballroom, Hotel Heritage, Jalan Raja DiHilir Perak, kira-kira jam 11.30 pagi selepas 27 Adun pembangkang dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin menolak permohonan bekas Speaker Perak, S Sivakumar, supaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim tidak menghalang Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bangunan berkenaan.

Pada 3 Mac lalu, Adun Pakatan Rakyat juga cuba memasuki bangunan itu tetapi tidak berjaya menyebabkan mereka mengadakan sidang DUN di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Bagaimanapun, kali ini Pakatan Rakyat lebih bersedia dengan menempah hotel bagi mengadakan sidang DUN itu.

Malah, mesyuarat di hotel itu dipercayai sudah diatur lebih awal kerana ballroom berkenaan menyediakan susunan tempat duduk Adun DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Barisan Nasional (BN) yang lengkap dengan tanda nama kawasan DUN masing-masing, kecuali untuk tujuh Adun BN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang digantung dan tiga Adun Bebas yang didakwa sudah meletak jawatan.

Sivakumar yang mempengerusikan sidang itu duduk di pentas utama, tempat paling tinggi seperti susun letak dalam Sidang DUN sebenar, manakala Adun pakatan pembangkang duduk di sebelah kanan bekas speaker itu yang biasanya dikhaskan untuk wakil rakyat kerajaan.

‘Setiausaha DUN’, Misbahul Masduki Munir pula duduk di depan Sivakumar, manakala Adun Pasir Panjang (Pas), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin duduk di kerusi paling dekat dengan ‘speaker’, tempat yang secara tradisinya dikhaskan untuk Menteri Besar.

Hanya 23 Adun Pakatan Rakyat menghadiri sidang berkenaan selepas tiga lagi Adun pembangkang ditahan polis, manakala Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim mengerjakan umrah.

Sebelum ditangguhkan pada jam 1.37 petang, Sivakumar yang juga Adun Tronoh-DAP, mengumumkan sidang meluluskan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang antara lain menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker, Datuk R Ganesan dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang juga Timbalan Speaker.

Sidang selama dua jam itu juga meluluskan pelantikan anggota tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru, iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap serta dan usul tergempar mengutuk tindakan polis menghalang Adun PR memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Terdahulu, kira-kira jam 10 pagi, suasana di hadapan Bangunan Darul Ridzuan tegang apabila Adun pakatan pembangkang tidak menghiraukan amaran polis supaya beredar dari kawasan berkenaan, sebaliknya cuba merempuh barisan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Pertikaman lidah turut berlaku antara Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan polis sehingga menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal.

Berikutan itu, polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menahan Ngeh serta Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Adun Malim Nawar, Keshvinder Sigh kerana berkelakuan agresif.

Ngeh ditahan pada jam 10.04 pagi, diikuti Chan tiga minit kemudian serta Keshvinder. Jurugambar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan See Yee turut ditahan kerana cuba melanggar arahan polis yang meminta orang ramai bersurai.

Lebih 100 anggota polis dan FRU mengadakan sekatan laluan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan seawal jam 7 pagi bagi mengawal keadaan.

Dua trak FRU dilengkapi meriam air, enam trak polis dan lebih lima unit peronda serta motosikal berkuasa tinggi turut ditempatkan di beberapa lokasi utama sekitar bangunan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga.

Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi Mohammad Nizar dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming serta beberapa Adun pembangkang kelihatan tiba di bangunan FRU, Kampung Simee dipercayai bagi membebaskan tiga Adun yang ditahan polis.

Keadaan sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan pula kembali tenang sekitar jam 11.30 pagi, namun polis masih meneruskan kawalan bagi menjamin keselamatan awam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: