Hormati Perlembagaan Persekutuan: Agong


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan rakyat jelata supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan berharap tidak ada sebarang percubaan untuk mewujudkan undang-undang lain yang bertentangan dengan keluhuran Perlembagaan.

Baginda bertitah sejarah kemerdekaan dan Perlembagaan Persekutuan perlu dijelaskan kepada golongan muda supaya mereka lebih memahami asas pembentukan negara.

“Generasi muda merupakan pelapis dan harapan masa depan negara. Prinsip-prinsip Rukun Negara hendaklah difahami dan dihayati oleh segenap lapisan rakyat,” titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini, semalam.

“Beta ingin menegaskan bahawa kerajaan Beta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan rakyat demi memastikan keharmonian kaum dan keamanan negara dikekalkan,” titah baginda sambil menerima tepukan meja yang gemuruh daripada anggota dewan.

“Sehubungan ini, Beta menyeru semua rakyat bersama-sama meningkatkan perpaduan demi kestabilan dan kemakmuran negara. Kepelbagaian kaum dan budaya yang dimiliki hendaklah digembleng menjadi kekuatan negara kita,” titah Seri Paduka.

“Sesungguhnya kita harus belajar daripada sejarah di mana kejatuhan sesebuah empayar dan tamadun adalah berpunca daripada fitnah, hasad dengki dan perpecahan di kalangan rakyat,” titah baginda.

Baginda juga mahu pengamal media termasuk penulis blog supaya lebih beretika dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan yang diberikan demi mengekalkan keharmonian dalam masyarakat.

Seri Paduka turut menyambut baik penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membuktikan keikhlasan dan iltizam kerajaan mengotakan janji untuk membanteras rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Bagi memastikan usaha pembanterasan rasuah dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, SPRM perlu dianggotai oleh pegawai-pegawai profesional, berkemahiran dan berkeupayaan tinggi serta terlatih dalam pelbagai bidang.

“Langkah kerajaan ini akan memantapkan lagi agenda negara dan seterusnya melonjakkan martabat negara di persada antarabangsa,” titah baginda.

Baginda turut memuji tindakan tepat kerajaan yang mengadakan sidang khas Parlimen pada 12 Januari lepas bagi mengutuk tindakan Israel menyerang rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

“Kerajaan Beta sentiasa siap sedia berinteraksi supaya negara-negara kecil khususnya tidak ditindas atau ditekan atas alasan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.

“Beta berbangga di atas kejayaan Malaysia mengusulkan supaya diadakan sesi khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membincangkan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza,” titah Seri Paduka.

Di akhir titah ucapan itu, Seri Paduka merakamkan penghargaan kepada anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat, anggota perkhidmatan awam, Angkatan Tentera Malaysia, polis serta seluruh rakyat jelata yang bersama-sama menyumbang kepada pembangunan, kemakmuran dan keselamatan negara yang dicintai.

“Semua pihak hendaklah terus meningkatkan usaha menyokong kerajaan bagi menangani cabaran terutamanya yang timbul akibat daripada kelembapan ekonomi global. Ini kerana tanpa sokongan padu semua pihak segala usaha tersebut tidak akan berjaya,” titah baginda. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: