Ukuran keadilan ala PKR…’ hak engkau hak aku…hak aku tetap hak aku’


Jika dahulu, sebelum menguasai kerajaan negeri dan berjaya memperolehi kerusi yang banyak di Dewan Rakyat sehingga boleh mengisi jawatan Ketua Pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sering membawa isu berkaitan dengan keadilan dan perjuangan yang lebih baik.Moto yang sering digunakan mesti dikaitkan dengan demokrasi, kepentingan dan hak rakyat serta penindasan terhadap rakyat.Namun setelah hampir satu tahun menguasai sebuah negeri iaitu Selangor dan menjadi rakan kongsi dalam tiga lagi negeri iaitu Perak, Pualau Pinang dan Kedah, rasanya elok dilihat apakah ukuran mengenai keadilan, kebenaran dan ketelusan PKR masih sama seperti sebelum mendapat sedikit kuasa.

UKURAN MENGENAI PERJALANAN PILIHAN RAYA DAN SPR

Sebelum pilihanraya umum ke-12, antara isu yang sering dibangkitkan ialah SPR tidak telus, wujudnya pengundi hantu dan SPR bersekongkol dengan kerajaan.

Selepas pilihan raya umum ke-12 setelah lima negeri dikuasai oleh barisan pembangkang yang membentuk kerajaan campuran di Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah serta PAS menguasai Kelantan, tidak timbul isu pengundi hantu, SPR tidak telus dan meragui keputusan pilihan raya umum ke-12.

Namun menjelang pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, gegak gempita negara dibuatnya dengan isu pengundi hantu, senarai daftar pemilih tidak bersih.

Bagaimanapun apabila menang di kedua-dua kerusi, tidak juga dapat dibuktikan wujudnya pengundi hantu malah mereka lupa apa yang disuarakan kerana asyik meraikan kejayaan.

Terbaru, apabila SPR memutuskan tiada pilihan raya kecil di DUN Behrang dan Changkat Jering seperti yang diharapkan, SPR kembali dituduh melampaui batas kuasa mereka dan mulalah lagu lama dinyanyikan kembali.

AKUAN BERSUMPAH, TUDUHAN DAN SIASATAN

Sejak mula ditubuhkan, PKR amat dikenali dengan dokumen yang namanya akuan bersumpah. Semua diakuankan secara bersumpah.

Walaupun daripada sudut perundangan, akuan bersumpah boleh dibuat oleh sesiapa sahaja dan kemudiannya membayar RM5 kepada pesuruhjaya sumpah untuk dicop, ia seolah-olah menjadi dokumen yang telah membuktikan tuduhan.

Setelah tuduhan, akuan bersumpah dibuat dan desakan agar siasatan siasatan dijalankan, ukuran yang digunakan oleh PKR terutama kepada musuh politkknya ialah :

Belum pun kertas siasatan dibuka, desakan pertama ialah digantung tugas kerana ini untuk keadilan.

Jika orang yang dituduh itu ada kaitan dengan sebarang kes yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang yang dituduh tidak boleh campur tangan dalam sebarang kes yang melibatkan Anwar (Contoh kes liwat yang terbaru terahdap Anwar, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara langsung sebagai institusi langsung tidak boleh ada kaitan dengan kes berkenaan hanya semata-mata Anwar membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (BPR ketika itu) terhadap kedua-dua pegawai terbabit.

Terbaru, desakan Angkatan Muda PKR yang mahu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak digantung tugas hanya kerana ada seorang pemimpin Bahagian PKR buat dakwaan berhubung dengan tawaran RM50 juta.

Namun, jika ada yang membabitkan pemimpin PKR :

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bukan sekadar ada aduan atau laporan tetapi telah pun disiasat, beliau masih boleh meneruskan tugas dan tidak perlu digantung tugas.

Anwar sendiri ada kes di mahkamah, beliau sepatutnya ‘bercuti’ dahulu daripada tugas Ketua Pembangkang. Itu pun kalau mengikut standard keadilan dan ketelusan PKR sendiri namun ia tidak berlaku.

Malah dalam kes Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu sendiri -semasa mereka jadi Exco Kerajaan Negeri Perak sebelum ini – PKR dan kerajaan Perak mengenepikan dan pandang remeh semua desakan agar ‘ bercuti’ dulu sehingga kes mahkamah atas dakwaan rasuah keatas mereka selesai.

Namun kini bila kedua mereka beralih angin – PKR dan kerajaan Perak menyerang mereka habis-habisan.

DEMOKRASI, HAK DAN KEBEBASAN

Dalam konteks demokrasi, PKR mahu dilihat sebagai jaguh mempertahankan prinsip demokrasi di negara ini.

Sebelum memperolehi sedikit kuasa , PKR sering mempertahankan hak sesorang untuk berpersatuan atau berpertubuhan (jika menyokong mereka) namun jika ada penyokong mereka keluar parti untuk menyertai parti lain (sesuai dengan hak berpesatuan yang diperjuangkan oleh PKR sendiri) ia dianggap satu pengkhianatan dan wujudnya sogokan.

Namun kini setelah berkuasa sedikit, dalam perkembangan terbaru, perkara yang ditentang dahulu iaitu lompat parti kini telah menjadi sesuatu yang begitu demokratik di mata PKR. Contohnya ADUN BN Bota, Nasaruddin Hashim yang melompat diangkat sebagai hero oleh PKR.

Malah Anwar sendiri secara terbuka mengakui menjalankan usaha melobi serta mengajak wakil rakyat Barisan Nasional untuk melompat parti bagi memenuhi impian peribadinya menjadi Perdana Menteri. Namun ia dibuat atas nama rakyat kononnya.

Begitulah demokratiknya PKR dalam soal hak berpertubuhan jika ia menguntungkan mereka.

Namun dalam isu dua ADUN PKR di Perak iaitu ADUN Behrang dan Changkat Jering belum pun meninggalkan atau melompat parti hanya berbeza pendapat dengan kepimpinan, mereka rupanya telah diikat dengan ‘surat kosong’ perletakan jawatan. Adakah ini satu tindakan demokratik.

Malah, pelbagai usaha dibuat bagi ‘mematikan’ kedua-dua ADUN itu dengan berusaha untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan. Alasannya, perlu mendapat mandat rakyat. Lagi sekali rakyat dijadikan alasan.

Namun jika itu ukuran PKR kenapa tidak melaksanakan perkara yang sama di Bota. Minta Nasaruddin letak jawatan bagi bolehkan pilihan raya kecil diadakan untuk mendapat mandat rakyat.

Agaknya ukuran yang digunakan oleh PKR dalam konteks demokrasi, hak dan kebebasan ialah seperti ungkapan yang selalu digunakan “ hak engkau hak aku, hak aku tetap hak aku”.

Maknanya. apabila ada wakil rakyat melompat sertai mereka ia satu amalan demokrasi, hak dan kebebasan yang perlu dihormati. Namun jika ada wakil mereka pula cuba untuk menyertai parti lain, mereka diikat dengan surat letak jawatan (ini demokratik ke) dan pelbagai tohmahan dilemparkan (seperti diugut, disogok) dan didesak adakan pilihan raya kecil bagi mendapat mandat rakyat katanya. –

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: