Kenapa Dr. Mahathir tuduh calon bodoh dan perasuah?


HINGGA hari ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti tidak berani mengulangi kata-katanya, terhadap calon Timbalan Presiden Umno selain dari Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin ‘adalah jokers’.

Dr. Mahathir mungkin tahu, ada bahagian-bahagian yang menyokong Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, turut menyokong anaknya Datuk Mukhriz, bertanding kerusi Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Rugilah dia, kalau bahagian-bahagian yang menyokong Mohd Ali atau Muhammad, Pemudanya tidak menyokong anaknya – yang boleh menyebabkan anaknya, yang tidak berani menyahut cabaran berdebat, mendapat kurang sokongan.

Maklumlah, kebanyakkan Pemuda-Pemuda bahagian, masih ‘malu alah’ dengan kepimpinan bahagian. Kalau bahagian itu mencalonkan (baca: menyokong Mohd Ali) biasanya Pemuda pun akan mengikut sahaja. Tiba-tiba, Dr. Mahathir merendah-rendahkan Mohd Ali, kononnya ‘tidak layak bertanding’, tentulah sedikit sebanyak akan menggugat sokongan terhadap anaknya.

Dr. Mahathir tentunya tahu, apabila terlibat dalam pertandingan, bukan undi penyokong sahaja yang dikehendaki, malahan undi penentang juga diperlukan.

Khabarnya Dr. Mahathir turut menyebut perkataan ‘bodoh’ dan ‘rasuah’ kepada Mohd Ali dan Muhammad ketika menyampaikan ucapan di luar negara, di hadapan pelajar-pelajar Malaysia.

Mungkin, Dr. Mahathir merasakan, selain dari Muhyiddin yang pandai dan tidak rasuah, anaknya Mukhriz juga ‘bersih’ seperti salji.

Dari sumber-sumber Pemuda Umno pula, ada yang menceritakan Mukhriz juga bersetuju dengan pendapat bapanya terhadap Mohd Ali dan Muhammad yang kononnya tidak layak bertanding jawatan Timbalan Presiden, jauh sekali memegang jawatan tersebut. Betul ke Mukhriz? Kalau tidak betul dakwaan ini, kena perbetulkan. Jangan biarkan ia merebak kerana ia tidak sihat kepada politik Umno.

Begitu juga Dr. Mahathir. Kalau dia merasakan dia tersilap cakap, dia tersebut perkataan ‘bodoh dan rasuah’ yang ditujukan kepada dua calon lain, selain dari Muhyiddin, kenalah dia perbetulkan. Jika tidak, terserahlah kepada para penyokong Mohd Ali dan Muhammad untuk ‘mengajar’ Dr. Mahathir dan anaknya, Mukhriz.

Sebenarnya, Umno memerlukan semua golongan berada di dalam parti ini. Bukan keluarga Dr. Mahathir sahaja yang layak menjadi peneraju Umno kerana Umno adalah parti untuk semua orang-orang Melayu.

Dr. Mahathir sedikit sebanyak berperanan memecah-belahkan perpaduan dalam Umno. Ketika dia sukan Tun Musa Hitam, dia mengecewakan Tengku Razaleigh Hamzah dan para penyokong anak Raja Kelantan itu.

Ketika dia bergaduh dengan Musa, Ghafar Baba dijadikan regunya untuk berhadapan dengan Musa. Bukan sedikit penyokong Musa ‘merajuk’ apabila Dr. Mahathir dan Ghafar menang pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

Begitu juga apabila Dr. Mahathir bermasalah dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Umno yang teruk menerima kesannya walaupun Dr. Mahathir masih boleh kekal menjadi Perdana Menteri.

Cuma, ahli-ahli Umno perlu ingat dan sedar, kesan dan akibat perbuatan Dr. Mahathir itu, Parti keADILan ditubuhkan hingga menyebabkan hari ini, Barisan Nasional (BN) terancam dan PKR diwujudkan kesan dari ‘legasi peninggalan’ Dr. Mahathir. Ketika semua orang enggan mempercayai dakwaan Dr. Mahathir terhadap Anwar, sekarang Dr. Mahathir dan anaknya Mukhriz bukan ‘menyerang Anwar’ sebagai musuh Umno dan BN, sebaliknya dua beranak ini menjadikan Presiden Umno dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai ‘musuh dan sasarannya’.

Ketika Dr. Mahathir tidak berkeyakinan terhadap Mohd Ali dan Muhammad, banyak pihak mendakwa Mukhriz juga turut tidak berkeyakinan terhadap Mohd Ali dan Muhammad. Walaupun tidak ada kenyataan secara terang-terangan dibuat oleh Mukhriz, tetapi tidak juga kedengaran Mukhriz mempertahankan Mohd Ali dan Muhammad sebagai ‘berhak untuk bertanding’ jawatan Timbalan Presiden, seperti dirinya berhak untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Oleh Zainal Yusof

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: