Hindraf haram


Oleh Jalal Ali Abdul Rahim dan Ifwan Tun Tuah
bhnews@bharian.com.my


Datuk Seri Syed Hamid Albar

Kegiatan pertubuhan memudaratkan ketenteraman awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengisytiharkan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) sebagai pertubuhan haram berikutan kegiatannya bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) serta boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai moral negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata perisytiharan itu diwartakan dan berkuat kuasa mulai semalam. Dalam kenyataannya, Syed Hamid menegaskan, tindakan pengharaman itu diambil bukan berasaskan satu atau dua kegiatan pertubuhan terbabit yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua aktivitinya sejak ia ditubuhkan.

“Perintah ini dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan mengenai kegiatan Hindraf sejak ditubuhkan sehingga sekarang.

“Setelah menimbang dengan teliti segala fakta dan bukti yang ada, saya berpendapat dan berpuas hati bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud yang memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara serta akhlak.

“Oleh yang demikian, berdasarkan kuasa Menteri Dalam Negeri mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), saya mengisytiharkan Hindraf sebagai sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Hindraf mula dikenali apabila kumpulan itu memfailkan saman menuntut pampasan 4 trilion pound sterling (RM27.7 trilion) daripada kerajaan Britain yang didakwa membawa dan membiarkan masyarakat India terpinggir di negara ini.

Pada 25 November lalu, Hindraf mencetuskan kekacauan dalam perhimpunan haram di sekitar ibu negara dalam usaha mendesak Ratu Elizabeth II menyokong tuntutan itu.

Terbaru, kumpulan itu melakukan kekecohan di Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Perdana Menteri dan Menteri Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, 1 Oktober lalu bagi mendesak lima pemimpinnya dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Syed Hamid menasihatkan orang ramai agar tidak membabitkan diri dalam apa cara sekalipun dalam kegiatan Hindraf yang diharamkan itu.

“Saya berpendapat jika kegiatan ini tidak dibendung, ia akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara, malah menjejaskan keharmonian hidup masyarakat berbilang kaum,” katanya.

Beliau berkata, Hindraf mempunyai ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana ia mengemukakan permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, 16 Oktober lalu.

“Walaupun permohonan belum diluluskan, pertubuhan itu sudah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demonstrasi tanpa permit dan mengeksploitasi isu perkauman sehingga mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian keturunan India terhadap kerajaan dan menimbulkan kebencian di antara masyarakat Melayu dan India negara ini.

“Hindraf juga berusaha mendapatkan sokongan negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan mereka. Kegiatan dan aktiviti ini memberi kesan buruk kepada imej negara,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: