‘Hari ini atau esok’


Oleh Saufi Hamzah dan Nazura Ngah
bhnews@bharian.com.my


SIDANG akhbar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan Panel Penasihat Antarabangsa Biotechnology, di Kuala Lumpur semalam.

Pak Lah buat keputusan pertahan jawatan Presiden Umno atau tidak

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan selewat-lewatnya esok sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada Perhimpunan Agung parti itu, Mac depan, atau sebaliknya.

“Esok (hari ini) atau Rabu, anda tunggulah. Kenapa anda sungguh tidak sabar? Kalau saya cakap sekarang bermakna saya umum sekarang.

“Apapun dua, tiga atau empat hari tak begitu lama,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi (Bio-IAP) Malaysia 2008 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini semalam.

Perdana Menteri berkata, beliau akan memberi taklimat mengenai pelan peralihan kuasa kepada semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pada mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN esok.

Pada mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno akhir bulan lalu, Abdullah berkata beliau akan mengumumkan sama ada mempertahankan jawatan Presiden Umno atau sebaliknya sebelum mesyuarat perwakilan bahagian bermula Khamis ini.

SEBAHAGIAN penyokong Hindraf yang hadir pada Rumah Terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

Ditanya sama ada Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak akan menentang beliau atau diberi laluan untuk mengambil alih kepemimpinan parti, Perdana Menteri berkata: “Awal sangat lagi.”

Mengenai pertemuan dengan pemimpin parti komponen BN esok, Abdullah berkata mesyuarat khas itu diadakan kerana pemimpin BN sudah membayangkan keinginan mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai peralihan kuasa dan segala pelannya kerana Presiden Umno lazimnya juga adalah Pengerusi BN.

“Mereka nak dapat maklumat dan apa yang akan berlaku,” katanya.

Mengulas beberapa pemimpin Umno yang membuat pengumuman awal untuk merebut jawatan Timbalan Presiden, Abdullah berkata: “Itu terserah kepada mereka sepenuhnya.”

Mengenai kemungkinan ramai calon merebut jawatan Timbalan Presiden Umno, beliau berkata: “Selepas satu ketika, ada yang akan berundur dan akan tinggal dua atau satu saja.”

Setakat ini, tiga pemimpin – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Ditanya apakah yang akan dilakukannya sebelum menyerahkan kepemimpinan parti dan kerajaan, Abdullah berkata:

“Saya akan meneruskan tugas bagi memastikan janji BN kepada rakyat menerusi manifesto pilihan raya umum Mac lalu ditunaikan.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: