Razali tawar diri tanding Naib Ketua Pemuda UMNO


Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim, 38, hari ini menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Disember ini. Pengumuman itu dibuat oleh Razali yang juga Ketua Pemuda UMNO Johor selepas mempengerusikan mesyuarat pergerakan itu di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini petang ini.

Menurutnya, beliau menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan supaya dapat membantu siapa sahaja ketua pergerakan itu yang dipilih bagi memantapkan Pemuda UMNO dan bersama-sama mengembalikan sokongan rakyat khususnya generasi muda terhadap perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Selepas kerusi itu kosong apabila saudara Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat bertanding jawatan Ketua Pemuda, saya mengambil masa yang panjang untuk memikir dan membuat keputusan bagi menawarkan diri bertanding jawatan ini.

“Setelah mendapat sokongan daripada rakan-rakan dalam Pemuda UMNO Johor, saya hari ini dengan lapang dada menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua dan berharap keputusan yang dibuat ini tepat untuk sama-sama membantu mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO dan BN,” katanya.

Jawatan nombor dua Pemuda UMNO itu kosong setelah penyandangnya, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau menyatakan hasrat bertanding jawatan ketua pergerakan itu pada 17 September lalu.

Selain Khairy, tiga calon lain yang telah mengumumkan untuk merebut jawatan yang dikosongkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Menurut Razali yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, jika terpilih memenangi jawatan tersebut beliau ingin bersama-sama pemimpin di peringkat tertinggi untuk mengembalikan kefahaman mengenai teras perjuangan sebenar UMNO kepada orang ramai.

“Kita harus ingat bahawa UMNO dibentuk pada 1946 bagi menentang Malayan Union untuk kebaikan dan kebajikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.

“Jadi apa juga kelemahan dan kejayaan UMNO adalah untuk rakyat Malaysia. Tetapi kini, apa kekurangan UMNO orang perkatakan, namun kejayaannya sudah mula dilupakan.

“Justeru, menjadi tugas kita pemimpin UMNO untuk memperingatkan kembali teras perjuangan UMNO iaitu bukan sahaja untuk orang Melayu, malah semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bergandingan dengan salah seorang empat calon jawatan ketua pergerakan itu, Razali yang merupakan lulusan undang-undang daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, beliau lebih senang bertanding atas kapasitinya sendiri.

“Saya bertanding atas diri sendiri dengan sokongan Pemuda Johor tanpa berganding dengan mana-mana calon jawatan ketua berkenaan,” katanya.

Namun, menurut beliau, jika memenangi jawatan nombor dua itu, beliau sanggup bekerjasama dengan siapa sahaja Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang dipilih oleh para perwakilan pada pemilihan hujung tahun ini.

Selain Razali, turut dilaporkan berhasrat menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Pemuda itu ialah anggota Exco pergerakan tersebut, Datuk Reezal Merican Naina Merican.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: