Empat penjuru tanding ketua beri peluang Pemuda menilai pemimpin mereka


TANDA-TANYA sebelum ini, apakah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Ahli Parlimen Rembau menawarkan diri bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, ekoran penyandang Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengosongkan kerusi itu, terjawab, 17 Ramdan lalu, apabila secara rasminya mengumumkan hasratnya itu.

Menurut Khairy yang popular dengan nama KJ, setelah dia mengadakan lawatan ke seluruh negara untuk bertemu dari hati ke hati dengan pemimpin-pemimpin Pemuda di peringkat bahagian, maka atas semangat setiakawan, dia menyatakan sedia untuk dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Dihadiri sekitar 40 ketua Pemuda bahagian dan beberapa Exco Pergerakan Pemuda termasuk Penolong Bendahari, Penolong Setiausaha dan beberapa Exco Pemuda selain ketua Pemuda negeri, KJ berkata, “saya mengambil masa agak panjang untuk memikir dan membuat keputusan ini berbanding pemimpin lain yang sudah mengumumkan bertanding kerana saya perlu mengkaji dan mendapat pandangan akar umbi terlebih dahulu.

“Keputusan ini bukan keputusan saya seorang tetapi keputusan warga Pemuda di peringkat cawangan dan bahagian yang mahu dan menyokong saya untuk meneruskan kesimbungan perjuangan Datuk Seri Hishammuddin,” katanya di sidang media yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Rembau, bersamaan hari Nuzul Quran.

Sebenarnya, cakap-cakap mengenai KJ akan turut menawarkan diri bertanding sudah kedengaran sejak sekian lama, apabila sah Datuk Seri Hishammuddin mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno. Namun, KJ dilihat tidak terburu-buru untuk mengumumkan hasrat itu, seballiknya mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua Pemuda cawangan dan bahagian.

Apa yang menarik, KJ memberitahu wartawan yang memenuhi dewan sidang media diadakan petang Rabu itu, “saya bertanding atas semangat setiakawan,”. Walaupun media arus perdana tidak memetik kata-katanya itu, tetapi sesiapa sahaja yang hadir, KJ berpesan, “sampaikan kenyataan saya ini kepada rakan-rakan yang lain” kerana Pergerakan Pemuda Umno, memang memerlukan “semangat setiakawan” untuk teruk kekal sebagai sebuah entiti yang dihormati.
Melihat kepada cara dan semangat bekerja yang ditunjukkan dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, Pergerakan Pemuda Umno memang cukup selesa dengan KJ.

Malahan, d beberapa tempat Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah dipetik sebagai berkata, “saya seronok dengan cara KJ mengemudikan Pemuda ketika berdepan dengan pilihan raya,”

Setakat ini, sudah tiga nama disenaraikan sebagai calon yang menawarkan diri untuk jawatan ini, iaitu Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo, bekas MB Selangor dan bekas Exco Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainol Abidin.
Secara berseloroh, KJ memberitahu, sekitar 30 peratus kepimpinan Pemuda di peringkat bahagian bersama-samanya dan calon-calon yang lain juga turut mendapat sokongan serupa, namun terpulang kepada kerja-kerja masing-masing menarik sokongan.

Mendekati rekod pencapaian KJ, selama empat tahun sebagai Naib Ketua Pemuda dan empat tahun sebagai Exco Pemuda, tentunya kepimpinan Pemuda dapat mengukur dan menilai kemampuannya, terutama ketika berdepan dengan pelbagai isu termasuk isu-isu perkauman.
Tidak hairanlah, KJ mengingatkan rakan-rakannya dalam Pemuda, menjadi Ketua Pemuda Umno, sekaligus adalah Pengerusi kepada Pemuda Barisan Nasional. Maka, dia menawarkan diri setelah bersedia memimpin Pemuda BN, gabungan pelbagai kaum dalam suasana politik kini dan mampu untuk memperkasakan dan memperkukuhkan pergerakan itu.

Apa yang paling menarik, KJ adalah satu-satunya calon Ketua Pemuda yang masih berada di dalam kepimpinan Pemuda Bahagian kerana dia adalah Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Rembau, sedangkan saingannya, Mukhriz adalah AJK Umno Bahagian Kubang Pasu (setelah kalah dalam usaha merebut jawatan Ketua Pemuda Kubang Pasu), Dr. Khir adalah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar manakala Zahidi, adalah Ketua Umno Bahagian Padang Besar.

Rasanya, jika Pergerakan Pemuda Umno ‘komited’ mahu mengenengahkan kepimpinan Pemuda bahagian sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, KJ adalah pilihan tepat kerana sebelum ini, boleh dikatakan semua Ketua Pemuda Umno Malaysia, bukan dari penyandang jawatan Ketua Pemuda di peringkat bahagian.

Jika sokongan ini berterusan, ia bererti Pergerakan Pemuda Umno Malaysia mencipta sejarah tersendiri, seseorang anak muda yang sudah diberi kepercayaan di peringkat bahagian, mampu diketengahkan di peringkat nasional, bukan sebagai Exco biasa, tetapi sebagai Ketua.
Ketua Pemuda, adalah jawatan yang setanding dengan Naib Presiden Umno, duduk sebaris dengan ketua-ketua sayap parti lain, termasuk Wanita dan Puteri.

Jika dalam tahun 1993, Tan Sri Mohamad Isa Abd Samad terlepas peluang menjadi calon dari Negeri Sembilan pertama mengetuai Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, apabila dia tewas di tangan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, tidak mustahil, selepas 15 tahun, Umno Negeri Sembilan menghantar seorang lagi calon yang berkaliber untuk jawatan tersebut.

Oleh Hassan Md Hussein (Sandakan)

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: