PM mahu Zaid kekal


Oleh Zulkofli Jamaludin, Abdul Razak Raaff, Shaarani Ismail dan Hanneeyzah Bariah Baharin
bhnews@bharian.com.my


Zaid Ibrahim

Peletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri belum diputuskan

PUTRAJAYA: Sehari selepas menyuarakan bantahannya ke atas tindakan polis menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap tiga individu, Jumaat lalu, Datuk Zaid Ibrahim semalam menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Surat peletakan jawatannya itu diserahkan oleh setiausaha politiknya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Seri Perdana di sini pada jam 2.40 petang.

Di KUALA TERENGGANU, Abdullah pada sidang media selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Abidin malam tadi, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Zaid tetapi belum membuat keputusan sama ada menerima atau menolaknya.

Perdana Menteri berkata, dalam pertemuan dengannya di Seri Perdana petang semalam, beliau meminta Zaid berfikir betul-betul berhubung keputusannya itu.

Ditanya apakah alasan Zaid untuk meletak jawatan, Abdullah berkata beliau belum melihat surat peletakan jawatan itu yang dihantar ke pejabatnya.

Abdullah bagaimanapun berkata, anggota Kabinet bebas meletak jawatan dan keputusan itu tidak akan melemahkan kerajaan.

Ditanya adakah beliau meminta Zaid bercuti dan memikirkan semula keputusan itu, Abdullah berkata: “Sekarang bulan Ramadan… duduk di rumah je.”

Bagaimanapun, difahamkan Abdullah meminta Zaid bercuti selama dua minggu.

Kelmarin, Zaid yang dilantik sebagai Senator selepas pilihan raya umum lalu, menyatakan kesediaannya dipecat atau diarah meletak jawatan jika kerajaan terus melakukan tangkapan mengikut ISA terhadap kes bukan membabitkan anasir komunis dan pengganas.

Zaid berkata beliau tidak dapat menerima alasan penggunaan ISA yang diberikan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar dan membantah tangkapan mengikut akta berkenaan kerana undang-undang itu menimbulkan lebih banyak masalah dan tidak membawa keadilan.

Sementara itu, menurut sumber, selepas menerima surat peletakan Zaid, Perdana Menteri menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu untuk memintanya datang ke kediaman rasminya bagi membincangkan perkara itu.

Zaid yang menaiki kenderaan rasminya, Proton Perdana V6 dengan nombor pendaftaran WRD1940, dilihat memasuki Seri Perdana kira-kira jam 3.50 petang.

Beliau kelihatan serius ketika melalui sekumpulan wartawan yang menunggu di situ sejak jam 2.30 petang apabila sidang medianya yang dijadualkan pada jam 2 petang dibatalkan. Pada jam 4.40 petang, Zaid meninggalkan Seri Perdana tanpa berhenti menemui wartawan.

Beberapa minit kemudian, Perdana Menteri meninggalkan kediaman rasminya mengikut pintu lain untuk ke Kuala Terengganu.

Zaid adalah bekas Ahli Parlimen Kota Bahru tetapi digugurkan pada pilihan raya umum Mac lalu. Beliau adalah pengerusi firma guaman terbesar di negara ini, Zaid Ibrahim & Co. Pada pemilihan peringkat cawangan yang baru berakhir, beliau gagal mendapat pencalonan yang cukup bagi bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: