Isu perkauman atau parti komponen?


     
 

ImageAKHIRNYA kemelut ‘isu perkauman’ yang menjadi perbualan dan perbahasan hangat di mana-mana ruang dalam negara mengundang padah pada seorang pemimpin ‘kecil’ UMNO di peringkat bahagian. Datuk Ahmad Ismail, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam yang dikatakan ‘punca’ kepada kemelut perkauman itu dijatuhkan hukuman oleh pimpinan UMNO dan hilang haknya selama 3 tahun dari bertanding atau memegang apa-apa jawatan dalam parti.

Bagi sesetengah kalangan terutamanya orang Melayu, Ahmad adalah ‘Hero Melayu’ yang telah dikorbankan oleh UMNO untuk mengambil hati kaum Cina dan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Bagi sesetengah yang lain, Ahmad adalah pencetus kemarahan kaum lain dan ada yang lebih berani mengatakan bahawa Ahmad adalah punca kekalahan BN di Pilihan raya kecil Permatang Pauh. Beliau telah di kambing hitamkan oleh komponen parti yang lain untuk menutup kelemahan dan ketidakcekapan sendiri seolah-olah isu tersebutlah yang semata-mata menyumbang kepada kekalahan BN yang memang telah diduga sejak dari awal.

Apa pun tohmahan, kenyataan atau pandangan siapa pun dalam hal ini, suatu perkara yang pasti bahawa Ahmad akhirnya terpaksa melepaskan jawatan sebagai Ketua Bahagian dalam suasana ‘wrong time and at wrong place and venue’. Ahmad menerima hukuman dalam keadaan semua komponen parti dalam BN masing-masing masih terpinga-pinga mencari sebab musabab BN ditolak oleh rakyat.

Ahmad dihukum dalam keadaan setiap parti komponen menuding jari sesama sendiri mencari kesalahan parti lain. Ahmad menerima nasib buruk hanya kerana masa beliau membuat komen adalah tidak bersesuaian.

Rakyat marhaen melihat isu perkauman yang dikatakan ini sebenarnya lebih merupakan isu yang dilencongkan untuk menutup kelemahan parti-parti dalam komponen BN. Ianya bukan soal bangsa Cina, India atau seumpamanya ‘terasa hati’ dengan bangsa Melayu. Ianya lebih kepada menuding jari kepada siapa yang boleh disalahkan dalam Pilihan raya Umum yang lepas atau pilihan raya-pilihan raya kecil selepas itu.

Setiap kenyataan, komen atau pandangan yang ada menyebut pasal ‘kaum’ akan sentiasa menjadi ‘isu perkauman’ walau dari sudut mana pun ianya disebut. Mengingati sejarah kemerdekaan, menyusuri kontrak sosial malah menyebut atau membicarakan perihal Artikel 152 dan 153 Perlembagaan Negara pun akan difahami sebagai isu perkauman kepada mana-mana kaum di Malaysia. Ironinya, kaum Melayulah yang sentiasa beralah dan ‘apologetik’ dalam isu tersebut walau apa situasinya. Melayulah yang dikatakan mencetus isu perkauman dan pemimpin Melayulah yang akan sentiasa meminta maaf.

Mungkin disedari atau tidak, menyelidiki secara mendalam isu Ahmad Ismail ini, kita sebenarnya hanya membincangkan isu perkauman dalam konteks parti komponen BN sahaja. Ianya tidak pernah keluar dari kepompong tersebut. Kesalahan besar Ahmad adalah mencabar Parti Gerakan keluar dari komponen BN dan cabaran besar tersebut ditujukan khas kepada pemangku Presiden parti Gerakan. Isu ‘menumpang’ yang sebelum ini dikatakan punca sebenar telah pun diperjelaskan oleh beliau dan mendapat sokongan semua Ketua-ketua UMNO Bahagian di Pulau Pinang. Pemberita yang dikatakan salah lapor tersebut hanya didiamkan oleh kaum cina. Beliau tidak pernah pun dipersoalkan dalam isu tersebut. Fokus ‘isu perkauman’ tersebut hanya ditujukan kepada kenyataan Ahmad mencabar parti Gerakan keluar dari komponen BN.

Apakah berbaloi beliau dihukum sedemikian hanya kerana mencabar komponen parti BN? Apakah beliau sahaja yang pernah berbuat demikian? Bagaimana dengan pemimpin-pemimpin parti komponen lain yang pernah menyebut perkara yang sama sama ada dalam waktu terdekat atau beberapa ketika dahulu?

Kalau ingin disenaraikan cabaran dan ugutan yang pernah dibuat oleh pemimpin parti komponen yang lain dalam BN terhadap isu keluar dari parti BN, rasanya parti Gerakan lebih menjuarai cabaran tersebut. Gerakan Perak sebelum ini pernah menggesa pucuk pimpinan mereka meninggalkan BN malah Pemangku Presiden Gerakan dalam waktu terdekat ini pernah menyuarakan bahawa parti itu akan mengkaji kedudukan mereka dalam BN. Bukankah kenyataan tersebut juga berbentuk mengugut dan mencabar sama seperti kenyataan Ahmad? Beliau mungkin ingin meletakkan kekalahan dalam PRU lepas atas bahu UMNO seolah-olah beliau tidak sedar bahawa beliaulah yang mengepalai BN dalam PRU tersebut.

Paling terbaru, bekas Ketua Pemuda MCA Perak yang tidak mempertahankan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini meminta pucuk pimpinan MCA mempertimbangkan untuk keluar dari BN. Beliau secara jelas menyebut bahawa pimpinan BN khususnya UMNO tidak sensitif dan tidak mementingkan kepentingan kaum lain dalam BN. Bukankah ucapan tersebut juga bertujuan menyalahkan parti komponen lain dan bertujuan mengugut komponen BN yang lain?

Apakah ugutan dan ancaman tersebut berbentuk perkauman atau semata-mata cabar mencabar dalam parti komponen BN? Kalau Ahmad disalahkan kerana mencabar parti lain dan dikenakan hukuman, kenapa mereka yang pernah berbuat perkara yang sama dari parti komponen BN tidak dikenakan apa-apa tindakan? Oleh itu adakah benar isu yang hangat dibincangkan ini adalah isu perkauman atau isu parti komponen BN sahaja?

Isu perkauman sebenar sepatutnya tidak berkisar kepada kehendak parti komponen untuk menghukum ahli parti yang lain tetapi lebih merupakan soal keselamatan, sensitiviti dan kemarahan kaum terhadap kaum lain. Isu perkauman bukan semata-mata isu cabar mencabar parti atau isu mencabar pemimpin parti lain meletak jawatan. Isu perkauman adalah isu yang akan mengucar-ngacirkan ketenteraman dan kestabilan negara. Isu tersebut bukan hanya isu politik semata-mata malah mungkin melampaui pejuang-pejuang parti berdasar ras kaum.

Rakyat marhaen masih ingat bagaimana seorang pemimpin kanan Pemuda Gerakan pernah menyebut bahawa kaum India dilayan sebagai warga kelas keempat dalam negara ini sebelum ini. Malangnya kerana kenyataan tersebut terlalu hampir dengan Pilihan raya Umum, isu tersebut didiamkan dan sampai sekarang tiada apa-apa tindakan disiplin pernah diketahui dikenakan oleh parti tersebut terhadap pemimpin berkenaan.

Kenyataan tersebut mungkin lebih tepat dikatakan isu perkauman dari kenyataan Ahmad sebelum ini tetapi Gerakan tidak pernah pun mengambil peduli walaupun didesak oleh Pemuda UMNO. Bagaimana pula pihak berkuasa negara mengklasifikasikan kenyataan tersebut. Bukankah ianya lebih berbau perkauman dari kenyataan Ahmad tersebut?

Pemimpin pembangkang, Teresa Kok pernah membawa isu ‘wanita China dibogelkan’ dalam tahanan sehingga ke perbincangan dalam dewan Parlimen dan memaksa Menteri Melayu meminta maaf kepada kerajaan China. Penyiasatan lanjut akhirnya membuktikan bahawa wanita yang dibogelkan tersebut adalah dari kaum Melayu. Isu tersebut juga telah diertikan oleh Bangsa Cina sebagai isu perkauman sebelum itu. Teresa telah membangkitkan kemarahan dan sensitiviti kaum Cina walaupun realitinya tidak benar tetapi apakah beliau pernah dihukum kerana pendedahan tersebut?

Isu perkauman dan sensitiviti pernah juga disuarakan oleh masyarakat Cina sehingga melangkaui budaya dan amalan orang Melayu malah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pernah terpaksa meminta maaf dari kaum Cina dalam isu mencium keris dalam Perhimpunan Agung UMNO. Keris yang memang telah menjadi warisan Melayu turun temurun secara tiba-tiba dipersoalkan kehadirannya dalam Perhimpunan umat Melayu terbesar di dunia. Bukankah isu tersebut lebih berbau perkauman kerana mempersoalkan budaya dan amalan kaum lain?

Pernah seorang pelajar Malaysia di Taiwan yang berbangsa Cina menunjukkan kreativiti dengan mempersendakan lagu Negaraku dan Agama Islam tetapi apakah tindakan yang pernah diambil terhadap beliau? Kenapa parti komponen seperti Gerakan tidak bersungguh mendesak pelajar berkenaan diambil tindakan sedangkan telah secara jelas mencipta isu perkauman?

Namun begitu, perkara yang berkaitan juga dalam isu perkauman ini adalah apakah isu perkauman tersebut hanya tertumpu kepada kaum Melayu perlu menjaga hati kaum lain? Apakah isu perkauman hanya wujud bila orang Melayu beria-ia mempertahankan keistimewaan Melayu yang dijanjikan oleh Perlembagaan? Apakah isu perkauman bilamana orang Melayu bersuara mengingatkan sensitiviti mempersoalkan perkara yang telah diputuskan? Apa sebenarnya isu perkauman?

Janganlah nanti kerana mempersoalkan parti komponen lain dalam BN pun sudah boleh dianggap isu perkauman. Jangan nanti kita terkeliru antara keselamatan negara dengan kepentingan parti politik dalam BN.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: