Lembaga Disiplin UMNO : bertanggungjawab atau `double standard’ ?


ImageSUDAH ada yang mempersoalkan kredibiliti Lembaga Disiplin UMNO. Telah kedengaran cakap-cakap bahawa lembaga ini membuat tindakan terpilih dengan mengambil tindakan terhadap orang-orang tertentu sahaja. Pemimpin yang rapat dengan kepimpinan tertinggi parti ataupun yang boleh memberikan kepentingan kepada ahli-ahli lembaga akan dilepaskan ataupun segala aduan yang membabitkan ahli berkenaan tidak akan diambil sebarang tindakan.

Malah kita difahamkan banyak Bahagian UMNO di seluruh Negara membuat aduan dengan berserta bukti terutama sekali yang membabitkan politik wang dalam pemilihan UMNO baru-baru ini namun setakat hari ini tidak ada tindakan yang dibuat oleh Lembaga ini walaupun Badan Pencegah Rasuah telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

Lembaga Disiplin UMNO yang seharusnya berfungsi serta bertindak dengan lebih efisien bagi menjaga maruah dan kepentingan parti agar UMNO tidak terlibat ataupun dilibatkan oleh pemimpin yang rakus mahu berkuasa ataupun mendapatkan jawatan dan penubuhan lembaga ini bukanlah untuk melindungi orang-orang tertentu tapi lebih kepada mahu menjaga disiplin anggota-anggota UMNO di semua peringkat.

Kalau sebelum ini Lembaga ini dilihat begitu bermaruah dan tegas apabila menghukum bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Isa Samad tetapi sejak akhir-akhir ini lembaga ini semakin hilang arah, lembaga ini seakan menjadi bacul dan tidak berani bertindak terhadap pemimpin yang mengamalkan politik wang, gengsterisme dan sebagainya yang boleh memudaratkan UMNO itu sendiri.

UMNO Malaysia selain mempunyai Perlembagaan tetap turut mengeluarkan Kod Etika Ahli UMNO yang perlu dipatuhi oleh semua pihak dan setiap kali pemilihan dibenarkan, setiap kali itulah Kod Etika diperkemas serta diperketat namun apakah Lembaga Disiplin UMNO bertindak dengan berpandukan kod etika ini ataupun Kod Etika ini hanyalah sekadar dokumen untuk bacaan semata-mata dan akhirnya menjadi bahan senda pemimpin yang tahu memperalatkannya.

Kita melihat Lembaga Disiplin UMNO kini hanyalah menjadi alat ataupun instrumen kepada ahli-ahli yang berjawatan dalam parti dan mereka ini ditubuhkan hanya untuk menakutkan ahli-ahli biasa di peringkat akar umbi supaya menjaga tata susila parti tetapi untuk kalangan pemimpin atasan ataupun ahli yang memiliki keupayaan memenuhi agenda ahli lembaga, tidak akan diambil sebarang tindakan walaupun ada di antara mereka yang terang-terangan telah menyalahi Kod Etika UMNO itu sendiri.

Bamyak suara kita dengar dan sejak akhir-akhir ini sudah ada yang berani memperlekehkan fungsi dan tanggungjawab lembaga ini malah keberanian ahli-ahli UMNO menyalahi Kod Etika membuktikan bahawa mereka tidak bimbang untuk dikenakan tindakan serta yakin tindakan tidak akan diambil di atas segala aduan yang dibuat.

Menurut sumber daripada Ibu Pejabat UMNO, sehingga ke hari ini berlambak aduan demi aduan dibuat oleh ahli di semua peringkat terhadap pencabulan Kod Etika UMNO oleh ahli-ahli parti tetapi malangnya sehingga ke hari ini, Lembaga Disiplin UMNO menjadi seperti tikus jatuh ke beras dan lembaga ini juga hanya dilihat lebih memfokuskan kepada pemilihan UMNO di peringkat nasional dan menganggap segala salah laku di peringkat cawangan ataupun Bahagian tidak perlu dilayan dan diambil tindakan.

Kebimbangan ahli UMNO terhadap nasib dan masa depan parti mereka seakan tidak memberikan kesan kepada lembaga Disiplin untuk turut sama menjaga keutuhan parti ini daripada tercemar oleh pemimpin yang kemaruk serta gila kuasa dan Lembaga Disiplin seakan melihat sahaja dengan mata terbuka serta mulut ternganga segala salah laku dan aduan tanpa sebarang tindakan susulan.

Lembaga Disiplin UMNO seharusnya seaktif BPR, menerima aduan, menyiasat dan mengambil tindakan termasuk mendakwa di mahkamah mana-mana pemimpin yang terlibat dalam rasuah politik dan fungsi ataupun tanggungjawab lembaga ini seakan sudah dirampas oleh BPR dan kalau benar lembaga ini sudah menjadi melukut di tepian gantang, elok juga ada pihak lain yang mengambil alih peranan itu.

Tetapi dalam masa yang sama, ramai ahli UMNO mahu tindakan ataupun hukuman dibuat dalam lingkungan ataupun peradaban parti itu dan tidak mahu pihak lain yang tidak mempunyai kepentingan mengambil tindakan serta menghukum ahli-ahli mereka namun mengharapkan Lembaga Disiplin UMNO mengambil tindakan terhadap aduan mereka, ahli-ahli ini bolehlah menganggap seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

Tindakan lembaga Disiplin begitu efisien, sepantas kilat, segarang petir di langit apabila ada aduan terhadap ahli biasa yang hanya bekerja sebagai Tukang Kebun Sekolah, Kontraktor Kelas F ataupun ahli-ahli marhaen tetapi bila membabitkan pemimpin tertinggi parti yang mampu menaja tiket penerbangan ke luar negeri, yang boleh tolong rekomen meluluskan projek itu dan ini ataupun lain-lain yang bernilai tinggi, mereka tutup sebelah mata dan secara pantas juga membuat keputusan, pemimpin ini tidak salah dan mereka cuba difitnahkan ataupun dinafikan hak untuk bertanding dan memegang jawatan dalam parti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: