Henti isu kaum: PM


Oleh Fazli Abdullah dan Fazallah Pit
bhnews@bharian.com.my


PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Negeri di pejabat Umno Bahagian Tasek Gelugor, semalam.

Pak Lah beri amaran jangan perbesarkan isu sensitif, agama

TASEK GELUGOR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengingatkan semua pihak supaya tidak mensensasikan isu sensitif berkaitan kaum dan agama bagi mengelak ia menimbulkan kemarahan mana-mana kaum.

Ingatan itu juga ditujukan kepada media, pengendali blog dan penghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) supaya tidak mereka cerita yang bukan-bukan sehingga menimbulkan kemarahan.

Perdana Menteri menegaskan perbuatan menimbulkan kemarahan sehingga mencetuskan pergaduhan kaum tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya membawa kerugian kepada negara dan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, adalah penting supaya semua pihak dapat mengawal dan mengawasi sesuatu isu daripada digembar-gemburkan.

“Kita tidak mahu negara kita menjadi kelam kabut. Kalau negara kita kelam kabut, tiada siapa yang menang, semuanya akan kalah, yang rugi kita semua. Kita semua akan terima kerugian, negara akan menerima masalah.

BERI PENJELASAN: Abdullah berbincang dengan Ahmad selepas mesyuarat Umno Bahagian Tasek Gelugor di Pejabat Umno Tasek Gelugor, petang semalam.

“Dengan itu, amat penting pihak akhbar memahami perkara ini dan kebebasan bukan boleh digunakan untuk menyatakan dan membuat berita ikut suka saja tentang apa juga perkara. Untuk mensensasikan perkara yang sensitif bukan perkara yang wajar dilakukan.

“Sepatutnya mesti ada kewajaran untuk tidak menyiarkan perkara yang berkaitan dengan isu sensitif supaya tidak menimbulkan keadaan yang tidak baik di kalangan rakyat,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di sini, semalam.

Abdullah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang membuat kenyataan itu berikutan timbul kemarahan masyarakat Cina berhubung kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail, yang menyebut orang Cina adalah menumpang di negara ini.

Ahmad membuat kenyataan itu ketika berceramah politik dalam kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, bulan lalu.

Kenyataan Ahmad itu merujuk kepada keadaan sebelum merdeka dan ia adalah fakta sejarah. Bagaimanapun, sebuah akhbar didakwa memanipulasi kenyataan itu sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat Cina.

Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Ahmad sudah memberi penjelasan mengenai kenyataannya yang dibuat ketika ceramah politik itu.

Katanya, Ahmad bercakap berdasarkan fakta sejarah dan menjelaskan beliau bukan seorang yang bersifat perkauman.

“Beliau melahirkan rasa kesal yang amat sangat dan rasa tidak senang hati langsung kerana apa yang beliau cakap itu adalah fakta sejarah tetapi disalahertikan oleh sebuah akhbar,” katanya.

Abdullah berkata, sejak kebelakangan ini isu berkaitan kaum, agama dan kontrak sosial menjadi perkara yang menimbulkan keresahan dan tidak senang hati kaum di negara ini.

Apa yang berlaku, katanya, dalam kebebasan untuk bercakap dan memberi pandangan, ada yang melakukannya sesuka hati sehingga menimbulkan kemarahan kaum lain.

“Saya harap akhbar tidak menggembar-gemburkan dan tidak menjadikan sebagai agenda tertentu untuk menimbulkan keresahan dan tidak senang hati dan marah kaum lain.

“Kita mesti tahu negara kita terdiri daripada pelbagai bangsa. Negara kita sentiasa menguruskan isu perhubungan kaum dengan begitu baik sejak menubuhkan Perikatan sebelum merdeka hinggalah hari ini. Maka, ini adalah satu kejayaan kita selama ini,” katanya.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap semua pihak memahami perkara itu dan adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menyelamatkan negara daripada berlaku pergaduhan kaum.

“Ini yang kita tidak mahu berlaku dan saya harap perkara itu dapat difahami semua pihak, sama ada pertubuhan bukan kerajaan, persatuan, akhbar dan individu.

“Kita mesti berhati-hati dalam perkara ini kerana perkara yang berkait dengan sensitiviti agama dan kaum adalah amat penting bagi kita, untuk keselamatan negara pada masa depan,” katanya.

Abdullah berkata, bagi pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mendapat mandat daripada rakyat, akan meneruskan usaha membangunkan negara dan memenuhi keperluan rakyat.

“Inilah negara yang kita cintai dan kepada negara inilah kita memberi sumbangan,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: