DAP susun strategi pancing Melayu


malaysiakini

Setelah menang besar dalam pilihanraya umum lalu atas sokongan pengundi bukan Melayu, DAP menegaskan kembali percubaannya menarik pengaruh Melayu untuk menguatkan parti itu yang kini membentuk kerajaan campuran di tiga negeri, khususnya Pulau Pinang.

“Yang penting, seperti ditimbulkan perwakilan, kita perlu pendekatan lebih menarik untuk menarik penyertaan pelbagai pihak khususnya kaum Melayu,” kata setiausaha agungnya Lim Guan Eng di kongres parti ke-15 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, turut mengalu-alukan penyertaan ahli dan penyokong MCA dan Gerakan yang bersedia menyokong prinsip-prinsip yang diperjuangkan parti itu.

“Kalau Tunku Abdul Aziz (Ibrahim) pun boleh masuk DAP, itu menunjukkan DAP merupakan pilihan utama untuk mereka yang mahukan demokrasi.”

Tunku Abdul Aziz, pemimpin berprofil tinggi dalam aktivisme menyokong integriti dan ketelusan bersama badan antarabangsa Transparency International, semalam mengisi borang menyertai DAP dan terus dilantik sebagai naib pengerusinya.

Lim bagaimanapun tidak memberikan butiran strategi DAP untuk menarik sokongan Melayu dalam ucapannya itu.

Dalam sidang media sebelum penggulungan, pengerusi DAP Karpal Singh berharap dengan penyertaan Tunku Abdul Aziz (foto bawah, bertali leher), lebih ramai Melayu menyertai parti itu.

dap 15th congress 240808 tunku abdul aziz“Saya gembira Tunku (Abdul Aziz) menyertai DAP. Saya harap ia turut menjadi langkah orang Melayu yang lain.

“Kita adalah parti pelbagai kaum. Kita mendukung pelbagai kaum. Dan kita menjemput lebih ramai orang Melayu menyertai kita kerana BN mengekploitasi kita sebagai parti chauvanis (Cina).

“Ia tidak begitu, kerana saya bukan orang Cina dan saya menjadi pengerusi DAP,” kata Karpal.

“Kita harap, harapan saya, dalam beberapa hari dan minggu, lebih ramai orang Melayu menyertai kita. Tunku Abdul Aziz adalah intelektual yang meningkatkan DAP sebagai sebuah parti pelbagai kaum. Hari ini merupakan yang hebat untuk DAP.”

Dalam ucapannya itu, Lim menambah, mereka yang ingin menyertai parti itu mestilah sanggup menyokong dasar-dasar kerajaan Pulau Pinang yang mengguna pakai pendekatan pentadbiran berkompeten, bertanggungjawab dan telus (CAT).

Beliau bagaimanapun berkata, DAP perlu lebih memilih sewaktu menapis kemasukan ahli-ahli baru.

“Jangan sebab kita sudah jadi kerajaan di Pulau Pinang dan kerajaan bersama di negeri-negeri Pakatan Rakyat, baru mereka hendak masuk,” katanya semasa menggulung perbahasan laporan setiausaha agung petang ini.

Menyentuh isu bantahan pemakaian songkok oleh seorang wakil rakyat DAP di Johor yang dibahaskan perwakilan-perwakilan semalam, Lim berkata “perkara itu bukanlah satu isu”.

Beliau sendiri, katanya, memakainya tanpa ragu dan kekok.

“Kalau turban boleh pakai, kenapa songkok tidak boleh,” katanya menjelaskan beliau pernah memakai turban semasa menghadiri majlis anjuran penganut Sikh di kuil sebagai ketua menteri.

Pada 23 Jun lalu, pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri Johor yang disempurnakan oleh Sultan Iskandar Alhaj Sultan Ismail, Gwee Tong Hiang (wakil Bentayan) dihalau keluar oleh speaker sebelum majlis kerana memakai kot tanpa songkok.

Lim berkata, wakil rakyatnya membantah pemakaian itu berlaku apabila terdapatnya unsur-unsur pemaksaan.

“Jangan paksa, kalau paksa semua tidak setuju,” katanya.

Pada hari kejadian, tiga lagi wakil rakyat DAP – Dr Boo Cheng Hau (Skudai), Ong Kow Ming (Senai) dan Ng Lam Hua (Mengkibol) – memakai songkok yang menjadi pakaian rasmi perasmian DUN itu.

Setiausaha agung itu turut menyarankan akhbar rasmi partinya Roket supaya membuat “revolusi dalam laporan” dengan menjadikannya lebih bebas untuk menarik pembaca.

“(Roket) jangan terlalu dilihat sebagai akhbar parti,” katanya di hadapan kira-kira 200 perwakilan yang masih setia menunggu sehingga kongres tahunan parti itu selesai.

Ucapan Lim, yang dijadualkan dibuat menjelang tengah hari, berlarutan pada sebelah petang sehingga sebahagian besar daripada lebih 500 perwakilan meninggalkan majlis itu lebih awal.

Akhbar itu juga, tambahnya, perlu disebarkan meluas untuk memberi kefahaman tentang perjuangan parti di kalangan ahli.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: