Mudahlah cakap kalau belum berkuasa – Nalla


EZAM Md. Noor dan K.S. Nallakarupan di bilik gerakan Barisan Nasional Cawangan Simpang Tiga Kubang Ulu, Permatang Pauh, Pulau Pinang, kelmarin.



UMUM mengetahui Datuk K.S. Nallakaruppan suatu ketika adalah rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim. Keakraban itu ketara hinggakan beliau dipenjarakan kerana mempertahankan perjuangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Bagaimanapun Mei tahun lalu, bekas Ketua Bahagian PKR Kepong itu membuat keputusan mengejut keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Anwar.

Pada kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh ini, meskipun mendakwa nyawanya diugut, Nallakaruppan tetap muncul untuk membantu jentera Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan kampung sekitar Permatang Pauh.

Ditemui selepas berceramah di Kampung Kubang Ulu, Bukit Mertajam semalam, beliau memberitahu wartawan Utusan Malaysia, ABDUL MUIN SAPIDIN mengenai peluang bekas rakan rapatnya itu pada pilihan raya tersebut.

Dulu Datuk rakan karib Anwar selama lebih 30 tahun. Mengapa sekarang menentang perjuangan beliau?

NALLAKARUPPAN: Saya mengenali Anwar bukan sekejap tapi lebih 30 tahun. Saya menghormatinya bukan sahaja sebagai seorang sahabat tetapi seorang pemimpin. Malah, saya masuk penjara Sungai Buloh semata-mata mahu mempertahankan perjuangannya.

Tetapi melihat tindak-tanduknya sejak beberapa tahun lalu, saya dapati beliau bukan lagi seorang rakan dan pejuang negara yang pernah saya kenal. Beliau hanya mementingkan diri sendiri yang bercita-cita besar untuk menjadi Perdana Menteri.

Ada menganggap keputusan anda keluar daripada PKR kerana dipengaruhi pihak tertentu untuk menjatuhkan Anwar.

NALLAKARUPPAN: Seperti yang saya nyatakan, saya mengenali beliau cukup lama. Saya tidak berniat hendak menyerang peribadi beliau. Namun pendirian saya itu berubah setelah saya tidak tahan melihat rakyat terus tertipu dengan janji-janji kosongnya untuk memenuhi impian menjadi Perdana Menteri.

Sebenarnya, bukan mudah membuat keputusan keluar parti (PKR), tetapi saya fikir masak-masak bahawa saya mesti mempertahankan apa yang sepatutnya saya perjuangkan. PKR bukan berjuang untuk rakyat tetapi berjuang untuk Anwar Ibrahim. Sebab itu ramai mengatakan beliau ‘pelakon nombor satu’.

Kenapa anda berkata demikian?

NALLAKARUPPAN: Saya tahu benar bahawa beliau hanya berbohong kepada masyarakat semata-mata untuk mendapatkan undi mereka sahaja. Paling jelas bagaimana beliau mahu meraih sokongan masyarakat India. Sentimen yang Anwar buat ialah mencetuskan ketegangan sehinggalah wujudnya kumpulan yang menentang kerajaan seperti Hindraf. Anwar berlakon sebagai pejuang untuk rakyat.

Sejauh mana maklum balas daripada masyarakat India?

NALLAKARUPPAN: Orang India perlu fikir apakah sumbangan Anwar kepada masyarakat India terutama ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sekarang pula beliau bangga mendakwa beliau seperti Sivaji the boss kononnya mahu menyelamatkan orang India. Ini semua dilakukan untuk menarik sokongan orang India dan berharap dengan sokongan itu membantu beliau jadi Perdana Menteri. Tapi saya fikir lama kelamaan orang India akan sedar bahawa ini sekadar permainan politik Anwar.

Anwar nampaknya yakin akan menang dalam pilihan raya kecil ini dan mahu menjadikan kemenangan itu platform mengetuai kerajaan bulan depan. Benarkah?

NALLAKARUPPAN: Saya fikir rakyat Malaysia perlu membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatan Anwar selama ini. Dalam semua ceramahnya, Anwar bercakap beliau mahu buat itu, buat ini untuk tarik sokongan. Kita yang dengar ceramah Anwar memang seronok, sedap mendengarnya. Tapi memanglah mudah bercakap kalau kita belum berkuasa.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: