Pertahankan perpaduan – Tuanku Mizan


Tuanku Mizan Zainal Abidin diiringi Abdullah Ahmad Badawi bersalaman dengan qari Malaysia, Shamsul Saban dan Syarifah Khasif Fadzillah (baju biru kanan) pada perasmian Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-50 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, semalam.



KUALA TERENGGANU 18 Ogos – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menggesa rakyat terutama umat Islam di negara ini agar sentiasa mengutamakan perpaduan bagi mempertahankan kedamaian dan keharmonian yang dikecapi selama ini.

Seri Paduka bertitah, keadaan aman dan damai perlu dikekalkan bagi membolehkan negara ini mengharungi serta mengatasi cabaran abad ke-21.

Tuanku Mizan juga meminta rakyat menghayati maksud tersurat dan tersirat tema Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun ini, iaitu Menjana Ummah Gemilang supaya kesan positifnya dapat meresap ke dalam jiwa dan sanubari masing-masing.

”Malaysia dikenali di peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara yang aman, makmur, selesa dan maju dengan rakyat berbilang bangsa.

”Justeru, keadaan ini hendaklah dikekalkan dan dipertahankan,” titah baginda ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-50 di Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Seri Paduka meminta rakyat sentiasa meningkatkan usaha dan mengatur strategi bagi memajukan agama, bangsa dan negara sehingga mencapai tahap yang dihormati dan dicontohi oleh negara lain.

”Umat Islam di negara ini mesti mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain dalam pelbagai aspek kehidupan.

”Justeru, segala usaha, tenaga, fikiran dan tindakan mesti digembleng untuk melaksanakannya secara berterusan bagi memaju dan membangunkan negara sehingga mencapai tahap negara maju dan bertamadun,” titah baginda.

Tuanku Mizan juga menyeru supaya penghayatan kandungan al-Quran dipertingkatkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

”Melalui perisai iman yang teguh dan ilmu yang memberi manfaat, kita mampu menjadi sebuah ummah yang terbilang dan sentiasa mendepani cabaran semasa.” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka melahirkan kesyukuran kerana kerajaan sentiasa mengambil berat kepentingan penganjuran tilawah peringkat antarabangsa berkenaan setiap tahun.

”Beta berasa amat bertuah kerana Malaysia merupakan negara yang mula memperkenalkan penganjuran majlis ini sejak 1960 dan berkekalan sehingga kini sehingga dijadikan contoh oleh negara Islam lain,” titah Seri Paduka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: