IMEJ ANWAR – BIADAP TAK KENA TEMPAT


Sunday, 17 August 2008

ImageSETELAH menonton tayangan video U-Tube, paparan di TV, meneliti komen-komen dalam blog, di akhbar dan gambaran dari kawan-kawan yang melihat sendiri keadaan di hari penamaan calon semalam di Permatang Pauh, ternyatalah kumpulan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tersalah didik.  Mereka jadi biadap kepada semua orang termasuk pihak berkuasa yang ada sebelah mereka menunjukkan sifat samseng mereka.

Kalau inilah apa yang PKR bawa dalam pembentukan demokrasi, Anwar patut tambahkan rasa malunya walaupun dia memang tidak tahu malu.  Kalau polis bertindak dari kelakuan tidak senonoh, maki hamun dan hingga ada yang berjoget-joget sambil mengejek kehadiran parti lawan, tentunya akan menimbulkan kekecohan yang boleh menggagalkan penamaan calon itu.

Tetapi, kita semua kena terima bahawa apa yang berlaku itu menunjukkan perangai orang PKR sudah berada di peringkat serius.

Tidak pasti mereka itu datang dari mana yang tidak mungkin anak tempatan kesemuanya, ia membawa imej calon PKR yang bertanding.  Kalau begitulah rupa penyokong pemimpin PKR, penduduk kawasan parlimen Permatang Pauh seharusnya jadikan ukuran apakah pemimpin seumpama ini mahu diberikan kemenangan.

Nampak jelas penyokong PKR tidak berpedoman lagi melayani nafsu ketaasubannya terhadap pemimpin mereka.  Ia tidak langsung menggambarkan keharmonian pada hari penamaan calon yang sepatutnya tidak begitu rupa.  Ia seolah-olah satu demonstrasi provokasi kepada pihak BN yang nampaknya cukup tenang dalam menghadapi situasi seperti itu.

Amat jelas, penyokong BN begitu sopan dan tidak bertindak menyambut provokasi dari pihak lawan.  Kalau penyokong BN bertindak membalas maki hamun, akan berlaku insiden tidak elok dan menakutkan pengundi. Nampaknya sia-sialah sahaja kalau Anwar diberi juga kemenangan jika Anwar sendiri tidak langsung menasihatkan penyokongnya supaya bertenang sementara proses penamaan calon berjalan dalam suasana harmoni.

Kemungkinan besar, kekecohan ini dirancang atau tidak keterlaluan kalau dikatakan mereka diupah untuk memprovokasi suasana dan bersedia mencetuskan insiden hingga menggagalkan penamaan calon semalam.  Siapa tahu sekiranya ini adalah benar belaka.  Tetapi mujurlah orang BN dapat mengawal perasaan mereka.

Jadi, tidak salahlah kalau ada pihak yang mengatakan termasuk dari kalangan pembangkang sendiri dari parti PAS dan DAP turut terheret rasa malu mereka apabila penyokong PKR yang memakai baju berlambangkan PKR bertindak begitu agresif seperti ajak lawan berlengan dengan penyokong BN.  Tetapi bukan itu yang BN mahu.  BN mahukan keharmonian dan kesejahteraan.  Dan itulah mesej yang mahu dipanjangkan kepada pengundi pilihan raya kecil yang bakal menentukan wakil mereka di parlimen nanti.

Sebelum Anwar dapat gegarkan parlimen, penyokongnya sudah terlebih dahulu menggegarkan suasana awal dan tidak hairanlah kalau selepas ini setelah mendapat lampu hijau untuk berkempen nanti, penyokong PKR boleh bertindak lebih jauh dari itu terutama kepada peraih undi bagi pihak calon BN.

Sambil itu, bayangkan juga bagaimana orang-orang Anwar akan bertindak apabila di saat-saat akhir berkempen nanti.  Mereka akan secara terdesak boleh bertindak mengugut dan mengamuk tidak tentu pasal bagi memberikan gambaran Anwar seorang pemimpin lanun yang mesti diberikan kemenangan.

Bunyinya kasar, tetapi hakikatnya Anwar memang suka dengan kekecohan.  Dia mahu tunjukkan bahawa hanya dengan kekecohan sahaja akan memberi mesej kepada penduduk Permatang Pauh akan memilih beliau kerana takut kekecohan akan terus berlaku di kawasan mereka.

Pengundi yang berfikiran sempit akan tunduk dengan ‘ugutan’ sebegini.  Tetapi kalau sebaliknya jika pengundi berfikir panjang dan mahukan masa depan yang lebih terjamin, inilah masanya Anwar perlu dikorbankan untuk kesejahteraan.

Dari contoh-contoh di kawasan yang bukan di bawah pemerintahan BN, walaupun tidak semua kerana ada juga ahli parlimen BN yang lupa daratan, tetapi wajarlah penduduk Permatang Pauh mencuba calon BN yang sudah mendapat kepercayaan di DUN Permatang Jaya.  Penduduk Permatang Pauh sepatutnya membuat renungan sedalam-dalamnya apa yang calon BN gambarkan jika BN menang.  Kesemuanya adalah demi masa depan yang menjanjikan yang terbaik.

Kalau Datuk Ariff Shah Omar Shah tidak dapat tunaikan janji-janjinya untuk membawa Permatang Pauh ke taraf yang lebih baik dari sekarang, penduduk sendiri boleh menghukumnya dengan pelbagai cara kerana sekarang ini, kita bukan lagi dalam dunia terkongkong.  Penduduk boleh dedahkan perasaan mereka melalui banyak saluran yang terbuka jika seseorang wakil rakyat itu lupa daratan dan lupa diri.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: