Arif Shah calon BN


Oleh Fazli Abdullah, Fazallah Pit dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my


SEPAKAT: Najib menjulang tangan Arif Shah (dua dari kanan) bersama Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (kiri) dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid di Seberang Jaya, malam tadi. – Foto Rosli Ahmad

Adun Seberang Jaya tanding kerusi Parlimen Permatang Pauh

BUTTERWORTH: Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah, 52, dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh (P44), pada 26 Ogos ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN Permatang Pauh di Pusat Konvensyen Sunway Carnival di Seberang Jaya di sini, malam tadi.

Najib yang juga Pengarah pilihan raya kecil itu berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan beliau sudah memperhalusi dan membuat pertimbangan dari pelbagai sudut dan kriteria untuk memilih calon BN.

“Walaupun menghadapi kesukaran, keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira keadaan setempat. Kalau memilih orang luar, akan banyak masalah. Kalau pilih orang dalam pun juga ada masalah tetapi keputusan perlu dibuat.

“Jadi, bagi pihak Presiden Umno dan juga Pengerusi BN, saya umumkan calon BN adalah Datuk Arif Shah,” katanya disambut tepukan gemuruh kira-kira 3,000 penyokong BN yang memenuhi pusat konvensyen itu.

CALON Barisan Nasional Parlimen Permatang Pauh, Datuk Arif Shah Omar Shah.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil itu.

Dalam ucapannya, Najib menasihatkan pemimpin yang tidak terpilih supaya tidak kecewa, sebaliknya terus bekerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

“Saya nak kata di sini, kalau yang tidak terpilih sebagai calon, bukan bererti sudah kelam masa depan. Kalau kita pilih, bukan bererti beliau juga disahkan sebagai ketua bahagian.

“(Pemilihan) bahagian dan politik perlu dipisahkan untuk pastikan kerja bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan. Jangan ada pertimbangan lain,” katanya.

Beliau juga menasihatkan calon BN supaya mengetepikan segala soal pemilihan peringkat bahagian dan bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Jangan sombong dan perlu merendah diri dalam menyusul parti,” katanya yang turut meminta maaf bagi pihak Perdana Menteri kepada mereka yang tidak terpilih sebagai calon.

Pada sidang media selepas itu, Najib berkata, pemilihan Arif Shah bukan satu tradisi Umno, tetapi tidak ada halangan dan tidak bertentangan dengan perlembagaan bagi seorang Adun untuk bertanding kerusi Parlimen.

Katanya, pemilihan Arif Shah dibuat berdasarkan kejayaannya pada pilihan raya umum lalu dan mampu memberi khidmat kepada pengundi.

“Pembangkang pun buat, termasuk Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng yang menjadi Adun Air Puteh dan Ahli Parlimen Bagan). Bagi pembangkang, ia bukan satu perkara luar biasa,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: