Pandangan semua kaum diambil kira: Abdullah


Oleh Azman Zakaria
azmanz@bharian.com.my


CANGGIH: Abdullah bersama wakil Lotus, Don Graunstadt (kanan) dan Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (tiga dari kanan) melihat kereta Lotus, semalam.

Kerajaan laksana dasar pastikan penyertaan seluruh rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan semua kaum dalam menentu dan melaksanakan dasar yang meliputi seluruh rakyat.

Perdana Menteri berkata, beliau menyedari penyertaan bukan Melayu pada peringkat tertentu perkhidmatan awam belum mencukupi dan beberapa mekanisme sudah dibentuk membabitkan penyertaan mereka serta pihak swasta yang mengemukakan pandangan dalam membuat keputusan.

Sambil menegaskan perkhidmatan awam ‘buta warna’, beliau berkata, semakin banyak perubahan dilakukan untuk memastikan dasar dilaksanakan kerajaan mengambil kira pandangan wakil pelbagai kaum.

“Kita tidak mempunyai bilangan bukan Melayu mencukupi dalam beberapa bidang perkhidmatan awam tetapi kita mewujudkan mekanisme lain untuk memasukkan pandangan bukan Melayu dalam proses membuat keputusan.

“Satu daripada contoh ialah Jawatankuasa Membendung Inflasi yang membabitkan penyertaan sektor swasta turut dianggotai bukan Melayu. Kami mahu penyertaan dan pandangan rakyat Malaysia dalam membuat dasar kerana apa yang dilaksanakan ialah untuk semua rakyat,” katanya ketika sesi soal jawab dengan peserta pada Sidang Kemuncak Pemimpin Mahasiswa Malaysia 2008, di sini, semalam.

Beliau juga berkata, keputusan Kabinet, termasuk mengenai isu sensitif dicapai secara konsensus selepas menteri daripada pelbagai kaum menyampaikan pandangan masing-masing.

“Kita mahu membuat keputusan terbaik untuk semua… kita bertindak sebagai satu pasukan pelbagai kaum yang mempunyai hak sama untuk menyuarakan pandangan, bercakap tanpa takut atau pilih kasih,” katanya.

Mengenai sistem kuota, beliau berkata, ia untuk mewujudkan keadilan bagi semua dengan memberi pertimbangan dan bantuan sewajarnya kepada golongan yang memerlukan sama ada berdasarkan kaum atau wilayah.

Abdullah juga berkata, Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia negara maju boleh dicapai jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang pada kadar enam peratus setahun sehingga 2020.

Katanya, masalah yang dihadapi sekarang ialah kenaikan harga minyak mentah dunia, inflasi dan kenaikan harga bahan binaan.

“Bagaimanapun, kita sudah memperuntukkan sejumlah besar wang untuk mencapai kadar pertumbuhan itu,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Barisan Nasional (BN) akan menunaikan janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya umum 2004 kerana manifesto itu bukan untuk satu penggal saja tetapi sehingga 2020.

Katanya, kerajaan mula melaksanakan beberapa janji seperti pembaharuan badan kehakiman, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis.

“Pembaharuan akan diteruskan dan disesuaikan dengan peredaran masa, kita juga sudah melakukan perubahan dalam sektor kewangan dan pendidikan,” katanya.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: