Pas tolak kerjasama Umno: Hadi


Oleh Nazura Ngah dan Amin Ridzuan Ishak

bhnews@bharian.com.my

Parti pembangkang kekal bersama Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pas semalam menolak sebarang kerjasama dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan kerajaan campuran sama ada pada peringkat Pusat mahupun negeri, kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, Pas mengulangi pendirian parti itu untuk terus kekal menjalin kerjasama dengan Pakatan Rakyat dengan memainkan peranan aktif dan positif selaras dengan perjuangan bersama termasuk membuat perubahan kerajaan.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan serentak mesyuarat Majlis Syura Ulama dihadiri hampir semua pemimpin kanan parti itu kecuali Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Oleh itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak berbangkit,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Salleh.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, Isnin lalu, mengajak Pas bergabung bagi membentuk kerajaan negeri yang lebih kukuh di negeri itu dengan wakil Pas akan terus menjadi Menteri Besar.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, Pas akan terus membuka pintu rundingan dengan semua pihak termasuk Umno, parti politik bukan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO), institusi mahupun individu demi kepentingan negara dan ummah.

Beliau yang mempengerusikan mesyuarat itu ketika ditanya mengenai istilah yang boleh dirujuk pertemuan itu berkata, Pas tidak kisah apa juga istilah yang diguna pakai sama ada muqabalah atau muzakarah.

“Saya sebut pertemuan secara umum, nama itu buatlah nak buat apa pun, pertemuan akan ada tetapi dengan semua bukan saja dengan Umno, dengan semua parti politik yang bukan Pakatan Rakyat, NGO dan semua pihak,” katanya.

Abdul Hadi juga ditanya mengenai tindakan yang bakal diambil terhadap mana-mana pemimpin parti itu yang mungkin akan mengadakan pertemuan sulit dengan Umno bagi membincangkan tawaran parti lawan.

“Tidak ada sulit lagi, boleh diadakan pertemuan dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti dan selama ini pun memang dimaklumkan kepada parti,” katanya.

Ditanya mengenai usaha Pas untuk menghargai penyokong dan pengundi bukan Melayu pada pilihan raya umum lalu, beliau berkata Pas menghargai sokongan daripada masyarakat bukan Islam kepada parti itu dan akan meneruskan penghargaan kepada mereka.

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Harun Din memberikan taklimat berkaitan muqabalah kepada mesyuarat yang turut dihadiri Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: