‘Pertahan kedaulatan negara’



BERKATI MAJLIS: Lebih 2,000 orang hadir pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena Hari Pahlawan, di Masjid Negara, malam tadi. Antara yang hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab Hakim Borhan.

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, meminta pasukan keselamatan negara sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang cabaran yang mendatang serta mempertahankan kedaulatan negara sehingga ke ‘titisan darah terakhir’.

Baginda bertitah, kecemerlangan dan pengorbanan perwira-perwira terdahulu dalam memastikan agama, bangsa dan negara serta kedaulatan negara dipertahankan, wajar menjadi sumber inspirasi dan contoh kepada pasukan keselamatan negara sekarang.

“Beta ingin mengingatkan, walaupun negara kita adalah sebuah negara yang sentiasa cintakan kedamaian dan kesejahteraan serta menjalin hubungan baik dengan semua negara, isu keselamatan global dan serantau memerlukan pasukan keselamatan yang kuat dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman ke atas kedaulatan negara yang tercinta ini,” titah baginda sempena Hari Pahlawan 2008.

Titah baginda disiarkan melalui RTM1 malam tadi.

Baginda juga meminta rakyat menghayati semangat taat setia tidak berbelah bahagi oleh pasukan keselamatan terdahulu apabila hasil perjuangan dan pengorbanan mereka menyebabkan negara aman dan sejahtera.

Baginda bertitah sempena sambutan Hari Pahlawan yang disambut hari ini, rakyat perlu mempertingkatkan lagi semangat kepahlawa nan, patriotisme, kesetiaan dan sanggup berkorban demi mempertahankan kedaulatan negara yang tercinta.

“Semua rakyat perlu mempunyai iltizam yang murni ini kerana tugas dan tanggungjawab memelihara kedaulatan negara bukan hanya terletak di bahu pasukan keselamatan semata-mata, tetapi ia menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia,” titahnya.

Baginda juga berharap pada masa sama kredibiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan perlu ditingkatkan agar menjadi sebuah organisasi yang sentiasa digeruni, dikagumi dan disegani.

“Perkara ini sudah terbukti pada peringkat nasional, serantau dan antarabangsa seperti dipamerkan anggota pasukan keselamatan dalam melaksanakan tugas mereka di luar negara, terutama dalam pasukan tugas pengaman antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Penugasan tugasan awam, di United Kingdom oleh Batalion Istiadat dari Tentera Darat Malaysia misalnya sudah mempamerkan tahap disiplin dan profesionalisme yang tinggi di mata dunia,” titah baginda.

Tuanku Mizan bertitah, secara langsung penugasan itu memperkenalkan negara ke mata dunia dan seterusnya menarik ramai pelancong dari luar negara.

Selain itu, baginda meminta rakyat Malaysia supaya tabah menghadapi kemelesetan ekonomi dunia yang berpunca daripada kenaikan harga bekalan makanan dan harga minyak global.

Baginda bertitah, dalam menghadapi ekonomi dunia tidak begitu memberangsangkan, rakyat diminta sama-sama berdoa semoga keadaan itu akan dapat diatasi dalam masa yang singkat.

“Beta berasa amat bersyukur kerana situasi di negara ini jauh lebih baik berbanding negara lain.

“Justeru, beta berharap keadaan ini tidak akan mencetuskan situasi yang menjadikan negara kita tidak stabil, kacau-bilau serta huru-hara,” titahnya.

Tuanku Mizan bertitah sempena Hari Pahlawan, semua pihak di negara ini perlu mengenang dan menghargai jasa pahlawan negara terdiri daripada anggota tentera dan polis yang terkorban dan tercedera demi mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara untuk kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Nilai pengorbanan mereka dalam memperjuangkan kemerdekaan serta kedaulatan negara amat tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

“Keberanian mereka dalam memerangi musuh dan menjaga keselamatan negara memang tiada tolok bandingnya dalam menentukan rakyat jelata dapat menikmati kehidupan yang aman dan makmur,” katanya.

Titah baginda, bagi menghargai mereka, pahlawan yang masih hidup, termasuk balu dan keluarganya yang berkorban wajar diberikan sokongan dalam sebarang bentuk. � Bernama

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: