Ketua Pemuda : Perlu jaguh antara kerajaan dan Rakyat


malaysiahariini
Friday, 25 July 2008

ImageDALAM pada semakin ramai menyuarakan mahu bertanding jawatan Naib Presiden UMNO akan datang, jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pun sudah bertambah seorang lagi menyatakan kesediaan untuk menyertai senarai calon Ketua Pemuda yang kini terdiri daripada Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, Datuk Mukhriz Mahathir, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan yang terbaharu ahli UMNO Bahagian Teluk Intan, Perak, Mohd Ramlan Yunus.

Entah-entah, tidak lama lagi, adalah seorang dua atau tiga empat orang lagi akan mengumumkan kesediaan mereka menyertai kumpulan merebut jawatan yang bakal ditinggalkan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein kerana beliau sudah pun menyatakan mahu merebut kerusi panas Naib Presiden nanti.

Tidak tahulah Ramlan regu siapa tetapi yang nyata masing-masing nampaknya mempunyai matlamat yang paling utama akan memperjuangkan hak Melayu dan akan mempertahankan matlamat asal parti serta berjanji membawa perubahan yang sudah lama ahli inginkan. Bagaimanapun beliau tidak menyatakan apa yang ahli inginkan sebenarnya. Bab ini samar-samar.

Nampaknya ruang untuk Khairy melangkah anak tangga ke jawatan Ketua Pemuda sudah semakin sempit apabila semakin ramai yang meminati jawatan Ketua Pemuda dengan misi masing-masing. Namun ramai menjangkakan antara Khairy dan Mohd Khir, akan berlaku ‘tough fight’ sementara Mukhriz, Zahidi dan Ramlan hanya suka berhimpit-himpit mencuba nasib kalau-kalau menjadi. Kalau tak menjadi pun sekurang-kurangnya nama mereka akan tercatat dalam sejarah pemuda yang mereka pernah menawarkan diri. Lebih lagi kalau mendapat pencalonan yang cukup.

Pastinya membandingkan antara empat orang ini, Ramlan paling tidak dikenali lagi. Pastinya wajahnya wajah original tidak diubah kerana mahu bertanding, dia mungkin dikenali ramai di sebelah Perak terutama di tempatnya di Teluk Intan dan mungkin sudah cukup bersedia untuk menjelajah menemui perwakilan pemuda di seluruh Malaysia di musim ini.

Tidak keterlaluan kalau diteka pengumuman Ramlan ini sudah direstui kawan-kawan yang memberi jaminan beliau boleh mencelah mencuba nasib yang sekurang-kurangnya dapat memecah undi kalau berjaya di peringkat diberi pencalonan nanti. Untuk menang, boleh diramalkan Ramlan perlu banyak masa lagi walaupun pengumuman ini satu persediaan awal untuk beliau dikenali mengatur tapak dari sekarang untuk berada dalam politik yang lebih serius di masa akan datang.

Tidak dinafikan juga Ramlan mungkin sudah mempunyai pengaruhnya sendiri selain sementara yang lain sudah dikenali ramai tentang kebolehan, kecerdasan, kelulusan dan telah mendedahkan visi masing-masing untuk tujuan ditimbang oleh perwakilan nanti.

Mukhriz walaupun pada mulanya begitu agresif dan mempunyai platform yang setahap dengan Khairy sebagai Ahli Parlimen, tetapi bermirip pembangkang dalam banyak perkara apabila beliau berduet dengan ayahandanya Tun Mahathir dalam isu mendesak Perdana Menteri letak jawatan seolah-olah beliau mempunyai imuniti memperkatakan apa saja yang terlintas di fikirannya. Itu pun nasib baik tidak dipecat. Akhir bulan ini, kalau Pak Lah masih Perdana Menteri, Mukhriz kena keluar dari UMNO kalau mengikut ‘sumpah janji’nya sebelum ini.

Pastinya kalau tidak kerana beliau anak Mahathir, Mukhriz hari ini bukan di tempatnya sekarang. Beliau mungkin menjadi peniaga korporat biasa dalam bidang perkapalan. Sekurang-kurangnya menjadi saudagar kapal buruk kepada mana-mana syarikat perkapalan di seluruh dunia atas bantuan ayahandanya. MISC dah tak mahu beli kapal buruk lagi dah.

Khabarnya dari kawan-kawan pemuda, kehadiran Mukhriz ditakuti Ketua Pemuda Negeri yang membayangkan Mukhriz itu adalah wakil pembangkang dalam parti sendiri. Untuk menerima sokongan di peringkat negeri, beliau dapat, tetapi tidak seikhlas mana kerana memang siapa pun akan berada dalam keadaan serba salah berdepan dengan Mukhriz yang sepatutnya menjadi aset penting dalam pergerakan pemuda.

Tetapi malangnya telah dirosakkan dengan hatinya yang tidak seimbang dengan perjuangan parti yang sepatutnya bersatu, bersetia dan berkhidmat menjadi teras dalam dirinya untuk menjadi pemimpin parti Melayu.

Seperti Zahidi pula, beliau perlu cari tempat di mana sempat. Beliau perlu sangat ke hadapan walaupun popularitinya agak terhad di peringkat nasional. Tidak salah bagi beliau menyertai gelanggang perebutan jawatan Ketua Pemuda ini kerana beliau juga tidak asing bagi calon berpotensi lain.

Walaupun tidak ramai pemuda yang nampak Zahidi belum cukup layak lagi menduduki kerusi ketua pemuda, tetapi sangat menghormati keberanian dan kesungguhannya untuk merealisasikan jalan yang terbaik untuk beliau memulakan sesuatu sebagai pelapis sama-sama mengejar platform yang mana beliau layak berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan calon-calon lain di masa akan datang.

Sebagai seorang yang cepat mesra, kelihatan rajin dan tidak sombong, beliau juga bersedia untuk menerima kekalahan mahupun tidak cukup pencalonan akhirnya nanti apabila sampai masanya. Penerimaan inilah yang memberi markah bahawa Zahidi seorang yang berjiwa pemimpin berpotensi kalau tidak sekarang, mungkin di musim akan datang.

Mohd Khir pula walaupun begitu popular dan semua orang kenal nama beliau dan pada suatu masa dulu, orang kenal nama tetapi keliru dengan wajahnya yang berubah dengan tiba-tiba, beliau terlalu menampakkan sangat sedang sibuk menonjol diri. Beliau kelihatan seperti orang yang terlalu mahukan jawatan Ketua Pemuda itu seolah-olah mahu menebus ‘kehilangan’ besar apabila tercampak keluar menjadi pembangkang di negerinya sendiri.

Banyak perkara tempelak dan ungkit-mengungkit berlaku apabila pembangkang ambil alih Selangor yang beliau nampak sangat lambat mahu menjawab sesuatu tuduhan kerana menahan malu. Semua orang tahu bahawa Mohd Khir menderhaka dengan rakyat Selangor. Sial penyapu memberi impak cukup kuat pada kejatuhannya kerana semua kaum jelak dengan kisah penyapu itu tersebar luas.

Khairy pula sentiasa mendapat tohmahan sama ada dari kesemua calon ketua pemuda lain terutama Mohd Khir dan Mukhriz yang beliau menantu Perdana Menteri, tetapi dialah yang tidak mempunyai rekod nyata atau bukti kukuh beliau menggunakan nama bapa mertuanya untuk kepentingan politik. Memang dari dulu lagi beliau sudah berada di sebelah Tun Mahathir yang mengenalinya lebih awal yang Khairy bukan baru dalam politik negara ini.

Beliau lebih dulu membaca perjalanan politik dalam UMNO sebelum diberi tempat naib ketua pemuda melalui proses demokrasi biasa. Ketika itu pemuda lebih yakin beliau daripada Hishamuddin kerana pergerakan Hishamuddin amat terhad sebagai seorang menteri. Begitu juga Hishamuddin bagaikan terpaksa mengharapkan Khairy untuk menggerakkan pemuda supaya jangan sampai dilihat tidak bergerak langsung.

Sekarang ini, Khairy seorang Ahli Parlimen. Penampilannya di Parlimen menyerlah dalam membawa isu-isu besar negara. Dalam orang lain marah kerajaan kerana menaikkan harga minyak, beliau mendesak kerajaan supaya harga tol diturunkan dan tidak berhenti di situ sahaja. Beliau terus menerus mencari dan meluahkan cara-cara kerajaan boleh membantu rakyat yang tertekan dengan kenaikan harga minyak. Calon ketua pemuda lain terutama Mohd Khir Toyo dan Mukhris sibuk berkempen untuk mendapatkan tempat penting itu dulu baru nak bercakap pasal rakyat.

Jadi, melihatkan perkembangan di peringkat ini terhadap barisan pemuda yang sepatutnya menjadi tiang negara dan menjadi sayap penting dalam membantu kerajaan, tidak nampak yang Khairy macam terdesak mahukan jawatan yang orang lain sibuk-sibukkan. Walaupun nama Khairy tersenarai dalam merebut jawatan ketua pemuda, orang lain pula yang nampak lebih sibuk kononnya mahu membetulkan pemuda yang tidak rosak, sibuk mahu menukar haluan pemuda kononnya ke arah yang betul seolah-olah di bawah kepimpinan Hishamuddin pemuda telah terpesong.

Pemuda harus memberi pilihan adil kepada yang lain seperti antara Khairy atau Zahidi,Ramlan, Mohd Khir Toyo dan Mukhriz ataupun adakah antara mereka ini sudah patut dikategorikan dalam senarai ahli UMNO lusuh yang tidak akan memberi apa-apa keuntungan pada pergerakan pemuda yang sepatutnya menjadi jaguh antara kerajaan dan rakyat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: