Adakah kafir harbi lebih jujur ?


malaysiahariini
Thursday, 24 July 2008

ImageISU muzakarah atau muqabalah antara UMNO dan PAS bergema sekali lagi di sebalik kekalutan dalaman kedua-dua parti tersebut. UMNO kalut dengan kekecewaan dalam Pilihan raya ke 12 yang lalu sehingga memaksa sesetengah pihak mendesak Presiden UMNO bertanggungjawab sepenuhnya dan meletakkan jawatan. Keadaan semakin kalut dengan pertandingan dalam parti yang telah bermula sekarang ini sehingga memaksa pelbagai etika, kenyataan dan pandangan dikeluarkan oleh pucuk pimpinan bagi meredakan keadaan.

PAS pula kalut dengan hubungan yang ‘tidak berapa mesra’ dalam Pakatan Rakyat (PR) kerana sering dipinggirkan dalam perkara-perkara tertentu dan hanya dianggap ‘penumpang’ dalam hubungan tersebut di samping perbezaan pendapat secara terangan di antara tokoh-tokoh ternama mereka dalam isu muzakarah yang telah mendapat reaksi positif dari rakyat marhaen.

Secara keseluruhannya, PAS di negeri-negeri lain yang di luar dari Kelantan menyambut baik cadangan tersebut dan berbeza dengan pemimpin PAS di Negeri Kelantan yang dilihat lebih ‘angkuh’ kerana telah hampir 20 tahun memerintah negeri tersebut. Kenyataan-kenyataan dari Nik Aziz, Husam Musa dan Zaki Ibrahim dilihat memperlihatkan ‘keangkuhan’ mereka untuk tidak menerima idea muzakarah tersebut.

Secara puratanya, pemimpin-pemimpin UMNO menerima baik idea ‘duduk semeja’ antara PAS dan UMNO bagi membincangkan kepentingan Islam dan Melayu tanpa bersyarat sementara di pihak PAS pula, Presiden PAS dilihat lebih terbuka dalam isu tersebut manakala Mursyidul Am pula dilihat lebih mementingkan politik sempit beliau. Beliau menyandarkan pengalaman lampau PAS dengan UMNO sebagai ‘sumber rujukan utama’ dalam menentukan keikhlasan ‘kepimpinan UMNO sekarang’.

Mungkin sejarah boleh berulang tetapi UMNO tidak pula mempersoalkan sejarah PAS yang pernah mengkafirkan UMNO suatu ketika dulu. Mungkin lebih teruk kalau dikatakan bahawa UMNO juga menderita akibat tindakan beberapa pemimpin PAS yang mewujudkan ‘parti dalam parti’ semasa bersama UMNO dulu. Apa pun sejarah dan pengalaman pahit yang pernah dilalui bersama itu seharusnya telah dilupakan oleh kedua-dua pihak sekiranya ikhlas untuk melihat kepentingan Melayu dan Islam dipelihara di negara ini.

Ibarat bekas suami isteri yang ingin rujuk semula, kenapa dipersoalkan tabiat dan perangai zaman umur 20an dengan keadaan umur sekarang 50an, tentunya pengalaman dan liku-liku hidup akan menjadi sempadan bagi memulakan langkah baru.

PAS dan UMNO perlu sedar bahawa gaya dan keutamaan kepimpinan pada waktu terdahulu mungkin telah berbeza dengan gaya kepimpinan sekarang. Zaman Panca Sitara dan zaman Carburetor Dung tentunya memperlihatkan perbezaan nyata tersebut.

Nik Aziz perlu imbas kembali bahawa semasa beliau mula-mula memerintah Negeri Kelantan pada tahun 1990, beliau telah mengharamkan semua bentuk hiburan dalam negeri Serambi Mekah tersebut. Namun begitu, larangan tersebut semakin dilupakan dan PAS telah menelan ludah sendiri dengan menjemput Mawi membuat persembahan di Kota Bharu sempena perisytiharan Kota Bharu sebagai sebuah Bandaraya Islam iaitu mungkin satu-satunya Bandaraya yang bertaraf Majlis Perbandaran.

Bandaraya bertaraf Majlis Perbandaran itu juga telah membenarkan pusat snooker di buka untuk ‘aktiviti sukan dan riadah’ bagi anak-anak muda di negeri tersebut dan khabarnya Nik Aziz sendiri yang merasmikan sebuah pusat snuker di sebuah pusat membeli-belah dalam Bandaraya tersebut.

Rakyat marhaen difahamkan bahawa isu muzakarah ini sebenarnya bukanlah membicarakan penggabungan antara dua parti politik yang boleh dikatakan parti politik ‘Melayu’ tetapi lebih merupakan perbincangan tentang apa yang boleh dilakukan bersama bagi menjaga dan memelihara kepentingan Melayu atau Islam sebagaimana yang PAS sentiasa heboh-hebohkan.

Persoalan sama ada PAS dan UMNO akan bergabung sebagai satu parti atau setidak-tidaknya sebagai satu ‘gabungan’ mungkin terlalu idealis untuk dibincangkan dalam waktu terdekat ini. Setidak-tidaknya PAS masih lagi ‘berlakikan’ PKR dan ‘bermadu’ dengan DAP. Atau mungkin juga ‘berlakikan’ DAP dan ‘bermadu’ PKR?

Rakyat marhaen melihat bahawa sudah sampai masanya PAS dan UMNO duduk semeja membincangkan isu kepentingan Islam dan Melayu secara serius dan jujur. Kalaulah Dewan Perniagaan Cina boleh duduk semeja membincangkan kepentingan kaum mereka, kenapa tidak kedua-dua parti politik berteraskan Melayu tersebut mengatur langkah memulakan rentak baru?.

Kenapa tidak kita menghayati politik matang di mana kepentingan politik hanyalah bermusim dan kepentingan agama dan bangsa lebih diutamakan dalam setiap hal?

UMNO perlu mengetepikan semua ‘permainan politik’ sekiranya ada dan PAS pula perlu lebih terbuka menerima ‘tangan persahabatan’ tersebut. Apakah mampu kedua-dua parti politik ini bertolak ansur demi kepentingan agama dan bangsa melampaui kepentingan politik sendiri? Keadaan semasa menunjukkan bahawa UMNO sebenarnya lebih terbuka dalam soal tersebut tetapi PAS mengambil pendekatan ‘lebih berhati-hati’ dan menganggap UMNO, parti yang majoriti ahlinya adalah juga beragama Islam dan berbangsa Melayu semata-mata sebagai ‘musuh’ yang tidak boleh dipercayai. Peliknya, DAP yang secara puratanya dianggotai oleh ‘kafir’ yang tidak sebangsa dengan PAS dilihat lebih mulia dan ikhlas dari UMNO.

Mungkin benarlah kata orang, PAS sedang ‘berdakwah’ melampaui sempadan bangsa dan agama.

Rakyat marhaen menggesa supaya Nik Aziz dan pimpinan PAS yang masih bertuankan beliau supaya melihat ke hadapan dengan penuh kritikal. Apakah satu waktu nanti keistimewaan dan kepentingan Melayu di negara ini akan disamaratakan kerana mengikut kehendak dan kepentingan ‘madu’ (atau laki) PAS tersebut?

Apakah hidup dalam dunia politik ini perlu memikirkan kepentingan politik semata-mata? Apakah mereka yang sebangsa dan seagama kita lebih teruk sifatnya dari mereka yang diluar ikatan agama tersebut? Apakah kerana telah lama memerintah menyebabkan pemimpin PAS di Kelantan merasakan bahawa mereka telah cukup kuat dan tidak perlu kepada sokongan rakan sebangsa dan seagama lagi?

PAS perlu ingat bahawa keadaan di Kelantan berbeza dengan di negeri-negeri lain dimana majoriti rakyatnya adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam. Tidak timbul persaingan besar dalam perkara ekonomi dan kepentingan agama di negeri tersebut walaupun pemaju perumahan terbesar di Kelantan sekarang ini mungkin bukan sebangsa dengan pemimpin PAS.

PAS juga mungkin terlupa bahawa lebih dari ¾ pengusaha dan tuanpunya emporium dan supermarket di negeri tersebut sebenarnya bukan orang yang seagama dengan mereka. Rakyat marhaen mencadangkan kepada Kerajaan Kelantan untuk membuat bancian keseluruhan berkenaan para peniaga dan pengusaha perniagaan di sana. Mungkin ketika itu PAS akan sedar akan ‘jasa-jasa’ mereka membantu rakyat marhaen yang seagama dengan mereka.

Sediakanlah satu statistik yang lengkap dan menyeluruh dan biarkan kita bersama meneliti perubahan ekonomi di sana setelah hampir dua abad PAS memerintah Kelantan. Kalaulah benar PAS telah membantu melahirkan lebih ramai Melayu dan Islam yang berjaya di sana, UMNO seharusnya melupakan soal muzakarah tersebut kerana PAS telah berjaya memperkuatkan agama dan bangsa tanpa sokongan dan bantuan UMNO.

Ketepikan soal siapa dan apa sejarahnya tetapi yang pasti jalan untuk ke ‘syurga’ mungkin terlalu banyak tetapi ianya bukan dengan melalui jalan yang disediakan oleh mereka yang bukan sebangsa dan seagama dengan kita. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.Kucabagha.blogspot.com

Comments
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: