Muqabalah demi umat Islam


Oleh Faiza Zainudin dan Nazura Ngah

bhnews@bharian.com.my

Pertemuan pemimpin Pas, Umno bantu perkukuh kekuatan Melayu

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menyambut baik persetujuan pemimpin tertinggi Pas untuk mengadakan muqabalah dengan Umno bagi membincangkan isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mustapa Mohamed, berkata walaupun konsep muzakarah ditukar kepada muqabalah, yang penting ialah keikhlasan pemimpin tertinggi kedua-dua parti untuk menyatupadukan orang Melayu.

“Apa juga usaha untuk memantapkan perpaduan amat dialu-alukan kerana jika Melayu bersatu, perpaduan negara akan dapat dicapai. Malah ia juga menjadi asas kepada perpaduan antara orang Melayu dengan kaum lain,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persetujuan empat pemimpin tertinggi Pas untuk meneruskan perbincangan dengan Umno berhubung isu membabitkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat yang dihadiri Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Timbalannya, Datuk Dr Haron Din serta Timbalan Presiden parti itu, Nasharuddin Mat Isa, di Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.

Mustapa yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Malaysia dirahmati dengan pelbagai sumber kekayaan yang berpotensi besar untuk dimajukan oleh itu kestabilan politik serta perpaduan wajar diberi perhatian serius.

Pakar sosiologi yang juga bekas Pengarah Eksekutif Yayasan Strategik Sosial, Datuk Dr Denison Jayasooria, berkata pihaknya mengalu-alukan persetujuan pemimpin tertinggi Pas untuk berbincang dengan Umno.

“Perbincangan sebegini tiada masalah, tetapi berbincang untuk meminggirkan kaum lain, ia boleh menjejaskan perpaduan nasional. Hubungan erat antara orang Melayu memberi kesan baik kepada perpaduan kaum lain dan pembangunan negara.

“Kalau Melayu dan umat Islam yang menjadi kaum dominan di negara ini, berpecah belah, ia akan mewujudkan ketidakstabilan politik dan memberi imej tidak baik kepada negara,” katanya.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata pihaknya tidak menghalang mana-mana pemimpin parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) asalkan membawa manfaat kepada rakyat.

“Kita tidak kisah dan tidak ada masalah, asalkan pertemuan itu membawa manfaat dan keadilan kepada semua pihak, bukannya berbincang untuk bergabung (parti).

“Kami juga sudah lama bersedia (mengadakan pertemuan dengan Umno), bercakap atas dasar keadilan yang membincangkan bukan saja isu Melayu dan Islam tetapi isu kepentingan semua kaum,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: