Musa saman Anwar


Oleh Norhashimah Mohd Radzali

bhnews@bharian.com.my


Tan Sri Musa Hassan

Ketua Polis Negara dakwa tohmahan jejas reputasi, imej

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, semalam memfailkan saman malu terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan memalsukan keterangan mengenai insiden ‘mata lebam’ di Bukit Aman, 10 tahun lalu.

Saman itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman Tetuan Kamarul Hisham dan Hasnal Rezua.

Musa menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk, faedah lapan peratus, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah serta perintah injunksi menghalang Anwar atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan berunsur fitnah terhadapnya.

Bagaimanapun, jumlah ganti rugi tidak dinyatakan dalam pernyataan tuntutan Musa.

Dalam laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Selangor pada 1 Julai lalu, Anwar mendakwa Musa dan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mereka-reka keterangan serta menyembunyikan fakta siasatan berhubung serangan fizikal terhadapnya oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor.

Anwar juga memohon supaya siasatan dijalankan terhadap Musa dan Abdul Gani atas dakwaan pemalsuan bukti dalam penyediaan laporan perubatan kedua terhadap beliau.

Laporan itu menyimpulkan kecederaan dialami Anwar tidak konsisten dengan pukulan secara langsung, tetapi sebaliknya berkemungkinan disebabkan kemalangan dan perbuatan sendiri.

Musa dalam pernyataan tuntutannya berkata, Anwar berniat jahat apabila membuat laporan polis terhadapnya dan Abdul Gani bagi mengalihkan perhatian masyarakat umum berhubung dakwaan terbaru kes liwatnya.

Pada 28 Jun lalu, bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, membuat laporan polis mendakwa diliwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di sebuah kondominium di Damansara di sini, 26 Jun lalu.

Musa berkata, laporan polis itu juga bertujuan mempengaruhi masyarakat bahawa tuduhan liwat terhadapnya adalah satu lagi konspirasi politik, selain cubaan memusnahkan kredibiliti saksi serta bukti dan keterangan yang dikumpul polis sekiranya Anwar dituduh meliwat Saiful.

Beliau menegaskan perkataan berunsur fitnah yang merujuk kepadanya tidak berasas, tidak benar dan pemfitnahan yang teruk untuk menjejaskan reputasi, imej, ketulusan dan nama baiknya di kalangan masyarakat umum dalam kapasiti profesional beliau.

“Tuduhan dan tohmahan terhadap saya bersifat jenayah dan amat serius, malah penerbitan laporan polis itu mengakibatkan reputasi saya dalam Polis Diraja Malaysia dan di kalangan masyarakat direndahkan dan diaibkan,” katanya.

Beliau menegaskan, Anwar tidak mempunyai fakta mencukupi untuk membuat komen, pendapat, kesimpulan, inferens, kritikan atau pemerhatian dalam perkataan fitnah yang diterbitkan dalam blognya dan Malaysia Today, laman web Majlis Peguam Malaysia, The Malaysian Insider, The Global Media Channel dan The Politickler.

Musa menjelaskan beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan Anwar diserang dan dicederakan oleh Abdul Rahim pada 20 September 1998, malah tidak pernah menyembunyikan fakta mengenainya kepada masyarakat umum.

Beliau juga menafikan berkomplot dalam apa cara sekalipun untuk mereka-reka keterangan palsu dan menyembunyikan fakta berhubung insiden itu atau mengarahkan laporan perubatan kedua disediakan.

Musa yang ketika itu pegawai penyiasat kes rasuah dan liwat membabitkan Anwar berkata, beliau tidak pernah menyalahgunakan kuasanya dalam siasatan itu dan tidak berniat untuk merosakkan kredibilitinya.

Beliau juga tidak pernah berniat untuk menyebabkan laporan polis dibuat Anwar pada 27 September 1998 mengenai serangan Abdul Rahim dikira sebagai laporan palsu supaya defendan boleh didakwa dengan tuduhan membuat laporan palsu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Musa turut menegaskan tohmahan lisan yang dibuat Anwar dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR sejurus selepas membuat laporan polis di IPK Shah Alam pada 1 Julai lalu, adalah salah, tidak tepat dan tidak berasas dari segi fakta.

Pada 11 Julai lalu, Musa melalui peguamnya menghantar surat tuntutan meminta Anwar menarik balik fitnah dan tohmahan lisan itu serta memohon maaf, memberi aku janji untuk tidak mengulangi fitnah itu selain membayar RM5 juta sebagai ganti rugi.

Anwar bagaimanapun melalui surat bertarikh 14 Julai lalu menafikan semua tuntutan Musa.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: