Budaya Popular Melayu

BUDAYA POPULAR MELAYU DALAM PROSES GLOBALISASI

Perkembangan ekonomi global atau proses globalisasi dalam ekonomi membawa kesan yang ketara dalam perubahan budaya. Dalam perkembangan ekonomi global itu memberikan kekuatan kepada negara maju. Hakikatnya penyebaran pasaran yang tidak mempunyai batasan memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara-negara maju, khususnya barat. Sedangkan sebelum runtuhnya sekatan atau blok ekonomi yang berasaskan kepentingan politik, negara-negara maju itu telah pun menguasai ekonomi di peringkat internasional. Kekuasaan ekonomi itu boleh dikesan sebagai persambungan sejak pemerintahan kolonial dahulu lagi.

Perkembangan ekonomi global itu turut menyebarkan bahan-bahan budaya, terutama atas kepentingan komersial. Bahan-bahan budaya yang dibawa dari negara-negara maju itu, terutama barat sentiasa dianggap mempunyai nilai-nilai sosial yang tinggi, iaitu dianggap moden dan maju. Malahan bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari barat sentiasa menarik perhatian golongan muda mudi. Anggapan seperti itu bukanlah suatu nilai-nilai sosial yang baru, nilai-nilai demikian telah dipupuk sejak zaman pemerintahan kolonial dahulu lagi.

Golongan muda merupakan majoriti penduduk negara. Oleh itu penyebaran budaya di kalangan muda mudi itu dengan mudah pula dapat berkembang sebagai budaya popular. Pengaruh budaya barat itu tidak terbatas di kalangan golongan muda sahaja. Gaya hidup barat juga telah meresap di kalangan golongan elit bangsawan tempatan. Mereka mempertahankan bahawa kemajuan dan kemodenan yang dibawa oleh barat itu mempunyai kedudukan sosial yang tinggi. Bahan-bahan budaya dari barat itu telah diterima dengan meluas sebagai lambang sosial. Suasana demikian yang mempengaruhi golongan muda tidak boleh dianggap sesuatu yang baru.

Budaya barat yang menjadi ikutan golongan muda itu meliputi pula bahan-bahan budaya yang tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan. Antaranya gaya hidup penyanyi dan pemain muzik barat yang mempengaruhi kumpulan muda mudi tempatan yang bercanggah dengan nilai-nilai tempatan. Apabila keadaan itu berlaku, maka golongan tua/dewasa menentang perlakuan demikian. Sedangkan golongan muda mudi itu didedahkan dengan perkembangan budaya popular barat yang keterlaluan sifatnya. Golongan dewasa/tua adalah bertanggungjawab dalam menyebarkan bahan-bahan budaya secara meluas itu atas kepentingan komersial.

Penyebaran bahan-bahan budaya barat itu membawa dan menyalurkan bersamanya nilai-nilai sosial berasaskan budaya barat itu. Selalunya melalui bahan-bahan yang disebarkan itu terdapat nilai-nilai yang baik patut menjadi ikutan anggota-anggota masyarakat, terutama golongan muda. Tetapi kerapkali nilai-nilai yang baik itu diketepikan, sebaliknya nilai-nilai yang tidak baik mempengaruhi perlakuan golongan muda mudi Melayu.

Orang ramai selalu beranggapan, bahan-bahan budaya popular yang dibawa dari barat itu membawa kesan-kesan buruk kepada masyarakat tempatan, terutama golongan muda. Misalnya, budaya barat itu selalu dikatakan budaya kuning, dan dianggap tidak sesuai dengan kehidupan orang Melayu. Tetapi aspek kebaikan, terutama nilai-nilai sosial yang patut menjadi teladan, seperti pembinaan hubungan sosial, kekeluargaan, budaya ilmu, menjaga kebersihan dan sebagainya kurang mendapat perhatian. Perkara yang menjadi perhatian ialah berkaitan dengan nilai-nilai buruk yang dianggap boleh membawa kesan-kesan buruk kepada generasi muda.

Penyebaran bahan-bahan budaya popular moden kini membawa perubahan besar kepada kehidupan orang Melayu. Bahan-bahan budaya popular dapat memberikan saluran penting kepada orang ramai untuk mengisi keperluan hiburan, kepuasan individu, dan mengisi masa lapang. Dengan itu dapat mengurangkan tekanan hidup kepada anggota-anggota masyarakat. Orang ramai, sebagai pengguna bahan-bahan budaya popular boleh membuat pilihan mengikut kemampuan dan keperluan masing-masing.

Penawaran bahan-bahan budaya itu dalam berbagai jenis dan bentuk yang dilakukan secara komersial, sebagaimana bahan-bahan pengguna yang lain mampu dibeli untuk penggunaan orang ramai. Perbelanjaan terhadap bahan-bahan budaya popular merupakan sebahagian daripada keperluan kepenggunaan orang ramai. Perbelanjaan itu menjadi sebahagian dariapda keperluan harian setiap orang. Peruntukan perbelanjaan untuk itu merupakan sebahagian daripada rancangan perbelanjaan orang ramai.

Bahan-bahan budaya popular itu dihasilkan oleh kegiatan industri budaya. Perkembangan industri itu sebagaimana industri lain mempunyai pengurusan yang berusaha memasarkan keluaran mereka kepada ramai. Sebagai industri, maka usaha promosi, misalnya dengan iklan, pameran, demostrasi dan sebagainya dilakukan bagi menarik pengguna atau audien. Kejayaan sesuatu industri budaya itu sangat bergantung kepada sambutan yang diberikan oleh para pengguna. Sedangkan pengguna itu mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan sendiri. Walau bagaimanapun, melalui promosi dapat mempengaruhi nilai-nilai sosial orang ramai.

Perkembangan industri budaya popular itu memberikan sumbangan ekonomi yang penting kepada negara. Di samping itu industri itu juga dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada mereka yang berkebolehan dan berminat. Malahan, industri budaya ini turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, misalnya dalam membawa perubahan nilai-nilai sosial dan world-view.

Pesatnya penyebaran budaya popular kini sehingga ke kawasan-kawasan pendalaman dapat menyalurkan proses urbanisasi dan modenisasi dengan lebih berkesan. Misalnya, dengan pendedahan yang disalurkan melalui TV dapat membuka minda dan mencabar anggota-anggota masyarakat untuk memperbaiki kehidupan mereka. Nilai-nilai yang dipupuk itu dapat mendorongkan mereka untuk mengubah sikap, misalnya dengan bekerja lebih kuat, yang dapat meningkatkan produktiviti.

Budaya popular sekian lama telah memainkan peranan dalam mengurangkan kedudukan jurang sosial di kalangan anggota-anggota masyarakat. Ini dapat dikaitkan dengan peranan media massa yang menawarkan bahan-bahan budaya popular kepada semua peringkat anggota masyarakat tanpa mengira kedudukan kelompok-kelompok sosial. Semua anggota masyarakat menghayati bahan budaya sama yang disalurkan oleh media popular itu. Dengan itu dapat membina dan memupuk nilai-nilai sosial yang lebih kurang sama.

Industri budaya popular di negara ini telah bermula sejak pemerintahan kolonial, apabila berkembangnya ekonomi kapitalis dan teknologi moden. Tetapi pemilikan modal dan teknologi moden itu, seperti filem dan piring hitam dikuasai orang bukan Melayu. Orang Melayu yang terlibat hanya memberikan sumbangan tenaga dalam bentuk upah atau gaji. Oleh itu, industri budaya popular Melayu yang pesat berkembang di bandar-bandar besar di negara ini merupakan kegiatan orang bukan Melayu. Pada peringat awal, orang Melayu boleh dikatakan terlibat dalam indsutri Bangsawan. Apabila industri itu memerlukan modal yang besar dan teknologi moden, maka orang Melayu tidak mampu untuk turut serta dalam membina industri demikian. Malahan pembangunan industri itu memerlukan kepakaran dan pendidikan, terutama dalam usaha pengurusan industri itu.

Pembinaan industri budaya sebagaimana juga industri yang lain memerlukan susunan strategi pengurusan yang berkesan. Walaupun kepentingan utamanya ialah untuk mendapatkan keuntungan, tetapi pengusaha industri itu juga mempunyai peranan dan tanggungjawab sosial.

Dalam perjalanan sesebuah industri budaya itu, melibatkan pengumpulan modal dan tenaga pekerja. Dalam sistem kapitalis, kegiatan yang berkaitan itu berusaha memaksimum keuntungan. Atas kepentingan ini, pengusaha industri itu berusaha menawarkan sesuatu bahan budaya yang dapat menarik perhatian orang ramai. Bahan-bahan budaya yang baru atau dianggap moden itu kerapkali dapat menarik perhatian orang ramai. Oleh itu, pengusaha sentiasa peka kepada perubahan selera orang ramai. Penwaran bahan-bahan budaya di pasaran sentiasa berubah menyesuaikan dengan kehendak dan kepentingan orang ramai dari masa ke masa.

Adakala pengusaha industri budaya popular itu menggunakan strategi mengeksploit keinginan semula jadi manusia bagi menimbulkan minat orng ramai, terutama golongan muda. Aspek-aspek yang boleh menimbulkan rangsangan keinginan manusia itu ialah seks dan keganasan sebagaimana yang selalu dipaparkan dalam filem. Filem-filem yang dikeluarkan di barat selalu menimbulkan adegan-adegan yang berkaitan bagi menimbulkan sensasi. Namun, tumpuan yang diberikan itu agak keterlaluan, dan kerapkali pula tidak sesuai dengan nilai-nilai sosial tempatan. Oleh itu, kerajaan telah menetapkan syarat dan peraturan dalam mengawal bahan-bahan budaya yang boleh menimbulkan percanggahan dengan nilai-nilai sosial tempatan. Misalnya, badan penapis filem diberikan kuasa dalam menentukan kesesuaian bahagian-bahagian tertentu dalam filem itu. Ini dilakukan bagi mengawal moral dan akhlak penduduk tempatan, terutama orang Melayu yang beragama Islam. Kini, penyebaran bahan-bahan budaya semakin meluas, melalui perkembangan teknologi moden yang boleh membawa kesukaran dalam melakukan kawalan terhadap bahan-bahan budaya itu.

Pembangunan teknologi moden yang sangat pesat kini memainkan peranan penting membawa kepada proses globalisasi budaya popular. Teknologi moden, dengan perkembangan media elektronik dan penyebaran melalui satalite membolehkan penyebaran bahan-bahan budaya dapat disebarkan dengan meluas. Dalam perkembangan itu, menjadikan negara maju, terutama barat mempunyai kedudukan yang semakin kukuh dalam ekonomi dan budaya. Kekuatan ekonomi barat dalam menguasai ekonomi dunia, turut mempengaruhi pula penyebaran budayanya. Budaya popular barat yang dihasilkan oleh pembangunan industri budaya itu dapat menyalurkan bahan-bahan budaya itu ke seluruh dunia. Seterusnya, penyebaran yang meluas itu dapat memperkukuhkan kedudukan ekonominya.

Kekuatan ekonomi dan pembangunan teknologi negara-negara maju itu seterusnya dapat menguasai budaya di peringkat global dan dapat pula mempengaruhi dan menyalurkan ideologi politiknya. Pencapaian itu menyatakan kedudukan global itu hakikatnya membawa kesan yang amat baik kepada negara-negara maju. Namun, asas pembinaannya itu telah bermula sejak pengaruh politik kolonial yang menyebarkan konsep moden tehadap penduduk di negara-negara dunia ketiga, yang masih di peringkat sedang membangun.

Pengaruh budaya barat yang telah bermula sejak zaman pemerintahan kolonial di negara ini turut mempengaruhi perkembangan budaya Melayu. Penyebaran budaya popular barat memainkan peranan penting dalam pembinaan budaya popular Melayu. Teknologi moden yang dibawa dari barat seperti piring hitam, filem, radio dan sebagainya turut diisi dengan kandungan Melayu, tersebar luas, terutama di kalangan orang Melayu. Budaya popular itu sentiasa dianggap sebagai sesuatu yang baru, dan seterusnya membawa bersamanya nilai-nilai kemodenan. Sesuatu yang popular dari barat mudah ditiru dan diikuti bagi menyesuaikan dengan kehendak tempatan. Perkembangan budaya popular Melayu itu sangat dipengaruhi perkembangan budaya popular barat. Kini dengan pesatnya penyebaran budaya dalam proses globalisasi itu tetap memainkan peranan dalam mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu.

Dengan kekuatan asas yang telah dibina dalam proses modenisasi semenjak pengaruh budaya kolonial dahulu, dalam keadaan yang sama berlaku dalam proses globalisasi budaya kini. Unsur-unsur atau bahan-bahan budaya yang dibawa dari barat itu sentiasa dipandang tinggi dan dianggap moden. Walaupun berbagai usaha dilakukan untuk menggalakkan orang ramai menggunakan bahan-bahan tempatan, tetapi kesannya tidak begitu ketara.

Bahan-bahan budaya popular barat itu kini didapati tersebar luas dan pelbagai, memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk melakukan pilihan. Tetapi pembangunan industri budaya popular barat yang telah kian meningkat, telah memupuk nilai-nilai sosial yang tinggi kepada penduduk tempatan. Pendedahan yang sangat meluas itu tidak dapat dinafikan turut mempengaruhi cita rasa budaya tempatan. Orang Melayu turut mempunyai peluang untuk menghayati berbagai bentuk dan jenis penawaran budaya popular yang dibawa dari negara-negara maju. Berasaskan pengalaman itu mereka mengharapkan penawaran bahan-bahan budaya popular tempatan juga tidak jauh berbeza dengan bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju itu. Suasana demikian mempengaruhi perkembangan industri budaya popular Melayu. Bagi kepentingan komersial, industri budaya tempatan selalu meniru atau mengikuti perkembangan sebagaimana yang dinyatakan oleh negara-negara maju. Tetapi industri budaya tempatan terpaksa menyesuaikan dengan nilai-nilai sosial tempatan, misalnya tentang moral dan akhlak adalah berlandaskan kepada nilai-nilai Islam. Adakala terdapat bahan-bahan budaya popular itu yang kurang memberikan pertimbangan tentang nilai-nilai sosial itu yang boleh membawa kepada kesan-kesan sosial yang kurang baik. Namun masyarakat Melayu selalu memberikan tekanan terhadap bahan-bahan budaya yang didapati agak keterlaluan tidak memberikan perhatian kepada nilai-nilai sosial tempatan.

Penyebaran bahan-bahan budaya popular dari negara-negara maju dalam proses globalisasi itu memberikan kesan yang menyeluruh terhadap budaya Melayu tradisi. Generasi muda didapati kurang memberikan perhatian terhadap hasil seni Melayu tradisional, malahan tradisi seni itu semakin dipinggirkan. Persaingan dengan perkembangan budaya popular di peringkat global membawa kesan kepada tradisi budaya tempatan, iaitu apabila unsur popular itu digunakan sebagai nilai-nilai kemajuan dan kemodenan kini. Segala warisan tradisi dianggap sebagai ketinggalan zaman dan tidak dinamiks mengikut pembangunan pesat kini.

Penyebaran budaya popular dari negara-negara maju, terutama barat itu menekankan nilai-nilai sosial yang kerapkali bercanggah dengan nilai-nilai sosial tempatan, malahan tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam. Misalnya, kepentingan kepada nilai-nilai material dan mementingkan diri keterlaluan boleh menjejaskan kurangnya pertimbangan sosial dan nilai-nilai moral dan akhlak. Sedangkan budaya popular itu sangat berkesan kepada generasi muda, yang lebih mementingkan hiburan. Mereka kurang memberikan perhatian terhadap masalah-masalah sosial. Adakala penyelewengan/devian yang disalurkan melalui budaya popular menjadi ikutan kepada generasi muda di negara ini. Eksploitasi unsur-unsur sensasi boleh membawa kesan-kesan sosial yang kurang baik.

Penyebaran budaya popular sangat dinamiks, sentiasa berubah menyesuaikan dengan permintaan orang ramai. Penyebaran bahan-bahan budaya itu memberi peluang kepada orang ramai mempelajari dan memahami masyarakat dan budaya lain di dunia ini, yang boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Pendedahan yang meluas dapat mempercepatkan proses modenisasi dan globalisasi. Tetapi perubahan yang dilalui orang Melayu itu perlu dikawal, yang boleh membawa terbinanya manusia yang berfikiran luas. Mereka perlu mempelajari dari masyarakat dan budaya lain yang membolehkan mereka mengalami perubahan nilai-nilai sosial.

Pesatnya perkembangan dan penyebaran budaya popular itu boleh mempengaruhi pembangunan ekonomi negara. Di samping itu anggota-anggota masyarakat juga boleh melibatkan diri dalam pembangunan industri itu mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

MENDAULATKAN MARTABAT BANGSA

Adat bersaudara, saudara dipertahankan; adat berkampung, kampung dijaga; adat berbangsa, perpaduan bangsa diutamakan.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,176 other followers

%d bloggers like this: