‘Henti bangkit isu beri tanah’

Oleh Fazli Abdullah
fazliabdullah@bharian.com.my

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, diminta menghentikan permainan politiknya berhubung kesilapan kerajaan negeri terdahulu berkaitan pemberian tanah seluas 2.24 hektar kepada pengusaha kuari.

Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata permainan politik penggantinya itu akan menjejaskan kes berkenaan yang kini sudah dibawa ke mahkamah.

Katanya, tindakan Guan Eng membangkitkan kerajaan negeri kehilangan RM40 juta disebabkan kesilapan itu, memberi gambaran kerajaan negeri sekarang setuju dengan jumlah dituntut plaintif.

Tegasnya, kenyataannya mengganggu usaha kerajaan negeri terdahulu yang berusaha mengurangkan tuntutan plaintif.

“Adakah Guan Eng lebih berminat bermain politik dan cuba memalukan saya dan kerajaan negeri terdahulu daripada menyelamatkan wang kerajaan negeri.

“Yang mana lebih penting kepada beliau, bermain politik atau menyelamatkan wang negeri ini,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Ketika menggulung perbahasan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin lalu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan kehilangan RM40 juta berikutan kesilapan kerajaan negeri terdahulu dalam proses pemberian tanah.

Dalam kes itu, kerajaan negeri dikatakan secara cuai meluluskan pemberian tanah seluas 2.24 hektar kepada pengusaha kuari dan membatalkannya apabila menyedari tanah itu milik orang lain.

Tinggalkan jawapan