Arkib untuk 7 November 2009

‘Usah lari dari kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah’

Posted in MEDIA on 7 November 2009 by zanas

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Pemikir kontemporari dikhuatiri tidak faham maksud Islam progresif, naif intelek

JANGAN menginjak daripada kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pembentuk tamadun Islam sejak di Madinah hingga sekarang kerana tiada apa yang salah, malah tiada masalah dalam kerangka ilmu serta sistem sedia ada itu.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata untuk mendepani pelbagai aliran baru, masyarakat perlu kembali kepada jati diri rantau ini yang sejak asal berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Tempat kita adalah rantau Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam akidah, cara faham fekah, bentuk peribadi manusia, interaksi antara pemimpin dan rakyat semua dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Malah, mendepani isu globalisasi, percambahan ilmu, berdepan dengan masalah yang mengganggu juga dalam kekuatan intelektual Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dengan cara itu akan timbul suasana keseragaman, kebenaran dan keharmonian terjaga,” katanya.

Beliau berkata, tidak sukar untuk memenuhi kehendak masyarakat atau perubahan hidup hari ini kerana semua boleh dilakukan berpandu kepada jati diri serta kerangka peradaban yang sudah menjadi pegangan sejak dulu.

Dr Muhammad Uthman berkata, setiap ilmu yang baru boleh dipelajari serta terbuka kepada ruang perbahasan kerana tidak semua yang diperoleh itu sesuai tetapi mana yang baik dan boleh diterima tanpa merosakkan akidah, tidak menjadi kesalahan mendalaminya.

Katanya, kata kunci yang perlu diberi penekanan ialah apakah yang datang itu sesuai, dapat diterima dan paling penting tidak mengganggu keharmonian serta ketenangan masyarakat keseluruhannya.

“Contohnya, mengetahui serta menggunakan teori quantum itu memang perlu tetapi hendaklah dijelaskan. Begitu juga dengan falsafah pasca modenisme. Persoalannya, adakah ia sesuai untuk kita di sini.

“Maknanya bukan tidak boleh membincangkan ilmu baru kerana saya juga membicarakan mengenai pelbagai bidang baru dan tidak perlu pula mengganggu kerangka ilmu serta sistem yang ada,” katanya.

Beliau berkata, golongan pemikir kontemporari hari ini jangan terlalu terkesan dengan terma digunakan bagi menggambarkan Islam atau daya intelektual kerana takut apa yang dikatakan tidak seperti gambaran sebenar.

Begitu juga dalam memahami Islam yang progresif kerana dibimbangi konsep itu tidak difahami sepenuhnya tetapi lebih kepada mencari populariti dengan memberikan hujah yang mudah diterima orang lain.

“Orang yang bercakap mengenai progresif itu tahu ke maksud perkataan berkenaan, sudah ke merujuk kepada kamus Oxford. Saya takut mereka ini terperangkap dalam apa dikatakan kenaifan intelektual. Fikiran tidak jauh dan muflis kerohanian.

“Saya hormat dengan Said Nursi yang baru muncul di Turki tetapi masih setia dengan kerangka asal. Orang Turki maju dalam kerangka asal. Kita juga begitu dengan kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kita ada Bank Islam, takaful, malah sistem pendidikan kita mendapat perhatian,” katanya.

Dr Muhammad Uthman berkata, pendekatan golongan membawa aliran pemikiran kontemporari ini mudah diterima kerana mereka menyeru kepada khayalan sosial yang dibentuk media Barat dan sebaiknya dikaji susur galur asal pemikiran itu serta kesannya.

Katanya, media juga terbabit dalam menyebarkan pandangan berkenaan apabila mereka kadang-kadang mengutip ‘Syeikh’ daripada media asing seperti Reuters, Associate Press (AP), sedangkan ramai ilmuwan di negara ini mereka tidak nampak.

Menjawab soalan mengenai kecenderungan sesetengah pihak menjemput penceramah luar negara untuk menyampaikan ilmu mengenai Islam, beliau menjawab, “Ini mainan psikologi, biasalah orang lebih suka dukun luar daripada dukun kampung. Tidak semestinya dukun luar itu lebih bagus.”

Oleh itu katanya, menjadi tanggungjawab pemimpin, ulama, guru dan ibu bapa termasuk media cetak dan elektronik kembali mendidik kerangka pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah supaya masyarakat dapat hidup mengikut prinsip tamadun serta kerangka intelektual yang asal.  “Ungkapan orang tua, hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum, hukum bersendikan syarak, syarak bersendikan Kitabullah.  “Ramai orang tidak faham. Ertinya, perlu didik orang kita menjaga integriti budaya dan intelektual umat,” katanya.

Hadi umpama ‘Pak Lah versi PAS’

Posted in MEDIA on 7 November 2009 by zanas

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga beliau boleh diumpamakan “Pak Lah versi PAS”, kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Dr Abdul Aziz berkata, kekalahan bertubi-tubi PAS di Terengganu – negeri Abdul Hadi sendiri – pada pilihan raya umum 2004, selepas menawannya pada 1999, dan tahun lepas serta kemerosotan dalam beberapa pilihan raya kecil menyebabkan beliau meyakini bahawa kritikan tersebut mempunyai asas.

“Kemudian di Bagan Pinang, maaflah, sudah banyak sangat (kalah). Kali ini mungkin betul, bila sudah ada orang sebut, kita ada versi Pak Lah dalam PAS sendiri,” katanya.

“Dan memang, kalau tengok kenyataan dia (Abdul Hadi), sama ada yang terbaru ini atau beberapa bulan ini, sudah jelas. Maksudnya, kenyataan tentang UG (kerajaan perpaduan) itu, bukan macam orang politik.”

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi dianggap “beban” parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam “politik baru” Pakatan Rakyat.

“Kita tidak peduli sama ada kumpulan dia (Abdul Hadi) masih bercinta dengan Umno. Itu kita tidak peduli. Tetapi bagi saya, dalam politik, tidak ada peluang kedua.

“Kamu sudah buat, (kemudian) gagal, keluar (berundur). Hendak bertengkar tentang dia jumpa lagi (dengan Umno atau) tidak, imej itu sudah terpalit kepada dia dan kumpulan dia, terutamanya (timbalan presiden) Nasharuddin (Mat Isa),” tambahnya.

‘Sudah hilang stim’

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu “sudah hilang stim”.

“Dia sudang hilang stim. Sebahagian daripada tindak-tanduknya tidak datang daripada dia atau cuma disuap dalam mulutnya. Contoh yang paling jelas, (idea) kerajaan perpaduan,” katanya.

“Tengok, atau kita banding dengan apa yang dibuat sekitar tahun 1980-an dengan amanatnya (petikan ucapan yang dilabel ‘Amanat Hadi’). Ini secara efektifnya mengkafirkan Umno. Sekarang kenapa hendak bekerjasama dengan Umno?”

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan itu mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai “tokoh nombor satu” diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti Nasharuddin dan setiausaha agung Datuk Mustafa Ali.

Diminta mengulas sejak bila tokoh PAS itu “hilang stim”, Dr Abdul Aziz berkata: “Sebelum (era) reformasi (1998) dia tidak ada peranan yang penting, (sebagai) naib presiden saja atau timbalan presiden.

“Jadi, saya rasa, masalah atau isunya sekarang ini dia seorang timbalan yang bagus. Itu yang selalu disebutkan. Dan itu saya setuju.

“Kalau dia (pada jawatan) nombor dua, dia seorang yang setia dan dapat melaksanakan apa yang disuruh. Tetapi kalau letak dia (sebagai) kapten, setakat ini memang jelas tidak dapat.

“(Keadaan) itu menjelaskan kenapa dia tidak dapat membalas serangan terhadap ‘Amanat Hadi’ itu. Jadi, serangan itu sudah bersifat politik dan dia sudah tidak dapat main lagi.”

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti “PAS untuk semua” dan “negara berkebajikan”. Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

‘Ciuman maut’

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan untuk mengadakan muktamar khas bagi membincangkan “beberapa pemimpin bermasalah”.

Ditemui di pejabatnya di kampus Gombak pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

“Semua orang tahu (kelemahan ini), tetapi siapa berani cakap dalam parti yang tema wala’-nya (kesetiaannya) cukup kuat,” katanya.

Mengulas isu kerajaan perpaduan, Dr Abdul Aziz menyifatkan ia sebagai “ciuman maut” dan perangkap musuh politiknya Umno untuk terus mengkucar-kacirkan parti Islam itu.

“Kalau yang berunding itu (penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (mursyidul am, Datuk) Nik Aziz (Nik Mat) atau (tokoh popular DAP) Lim Kit Siang, tidak ada masalah.

“Tetapi kalau dia dengan Nasharuddin ataupun yang lain-lain, (mereka ini) akan dilipat, diduduk oleh Umno (kerana kelemahannya),” katanya.